Print       Share


Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Secara Bersasar bagi memenuhi keperluan peminjam dengan lebih baik

Ref No : 10/20/04 19 Oct 2020 Embargo : For immediate release    

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin memberikan keyakinan kepada peminjam bahawa bantuan bayaran balik pinjaman akan terus tersedia untuk peminjam yang pendapatan mereka terjejas akibat pandemik ini. Bergantung pada keadaan mereka, peminjam yang menghadapi kesukaran pada amnya telah memohon agar bayaran balik ansuran bulanan dikurangkan atau moratorium dilanjutkan. Peminjam yang tidak memerlukan bantuan pada masa ini masih boleh memohon bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar sepanjang tahun 2020 hingga tahun 2021 jika keadaan kewangan mereka berubah pada masa hadapan.

Skala bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar seperti ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini dalam sejarah perbankan di Malaysia. Bantuan terus ditawarkan kepada peminjam dalam pelbagai kumpulan pendapatan dengan pertimbangan khusus diberikan kepada isi rumah dalam kategori B40, perniagaan mikro serta peminjam yang terjejas akibat sekatan pergerakan.

 

Pendekatan secara bersasar adalah untuk kepentingan peminjam, pendeposit dan juga ekonomi

Pendekatan secara bersasar bagi bantuan bayaran balik pinjaman menyediakan langkah-langkah bantuan yang lebih mampan, namun pada masa yang sama mempercepatkan pemulihan ekonomi.

  • Banyak peminjam yang kini mampu dan mula menyambung semula bayaran balik pinjaman. Bagi kumpulan ini, menyambung semula bayaran balik pinjaman adalah lebih baik buat mereka kerana tindakan ini akan mengurangkan kos pinjaman secara keseluruhan. Sekiranya keadaan kewangan mereka berubah pada masa hadapan, bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar masih tersedia.
  • Peminjam yang memerlukan bantuan pada masa ini mempunyai peluang untuk membuat penyesuaian pada pelan bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan mereka. Jika mereka terus menghadapi keadaan yang mencabar pada masa hadapan, mereka akan mempunyai rekod pembayaran balik pinjaman yang lebih terkini untuk memudahkan bantuan selanjutnya daripada bank.
  • Sumber kewangan sistem perbankan boleh memberikan keutamaan untuk membantu mereka yang paling terjejas akibat COVID-19. Apabila lebih banyak peminjam yang mampu membayar balik pinjaman mula berbuat demikian, lebih banyak bantuan boleh disediakan untuk peminjam yang memerlukan.
  • Bank-bank telah diamanahkan oleh orang ramai untuk menguruskan simpanan mereka. Sebagai pendeposit, orang ramai mengharapkan bank-bank melaksanakan tanggungjawab fidusiari mereka dengan menguruskan dana tersebut secara berhemat dan menggunakannya dengan memberikan pinjaman kepada ekonomi untuk tujuan yang produktif. Selain itu, bank-bank menjana modal daripada dana institusi, contohnya pertubuhan yang menguruskan skim pencen, persaraan dan pelaburan rakyat Malaysia. Oleh itu, budaya kredit yang kukuh perlu dikekalkan, iaitu peminjam yang mampu membayar balik pinjaman perlu berbuat demikian.

 

Apa yang akan berlaku apabila memohon bantuan bayaran balik pinjaman

BNM menggesa peminjam yang terjejas supaya memohon bantuan bayaran balik pinjaman daripada bank masing-masing melalui pelbagai saluran yang disediakan.

Pihak bank dikehendaki memaklumkan kepada peminjam mengenai keputusan permohonan mereka dalam tempoh 5 hari bagi peminjam individu dan dalam tempoh 14 hari bagi peminjam PKS. Peminjam yang tidak menerima jawapan daripada bank mereka dalam tempoh yang ditetapkan ini boleh menghubungi BNMTELELINK (bnm.my/RAsurvey) .

Peminjam yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) boleh memohon bantuan melalui proses yang segera dan lancar meskipun bank-bank dalam kawasan yang terjejas  terus beroperasi di bawah SOP yang bersesuaian. Mereka yang tidak boleh berurusan secara bersemuka atau tidak dapat mengemukakan dokumen disebabkan oleh sekatan pergerakan boleh menghubungi bank masing-masing melalui laman sesawang, e-mel atau telefon.

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga bersedia untuk memberikan khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya kepada peminjam individu dan PKS, termasuk pilihan untuk menstrukturkan semula hutang. Bagi peminjam yang telah menghadapi kesukaran kewangan sebelum berlakunya pandemik, pelanjutan moratorium bukanlah penyelesaian yang mampan. Dalam keadaan ini, peminjam juga boleh menghubungi AKPK untuk mendapatkan bantuan.

 

Bantuan Secara Bersasar meletakkan peminjam pada landasan pemulihan yang mampan

Industri perbankan secara aktif telah menghubungi peminjam dengan pelbagai cara termasuk melalui TV, radio, saluran berita, media sosial dan kempen bantuan bayaran balik pinjaman di seluruh negara. Bank-bank juga telah berhubung secara langsung dengan peminjam yang masih memerlukan bantuan bayaran balik pinjaman melalui panggilan telefon, e-mel dan SMS.

Lebih daripada 640,000 permohonan untuk bantuan bayaran balik pinjaman telah diterima, dengan kadar kelulusan kira-kira 98%. Jenis pakej yang ditawarkan oleh institusi perbankan mencerminkan keperluan dan kedudukan kewangan peminjam. Antara permohonan yang telah diluluskan:

  • 40% diberikan pelanjutan moratorium. Peminjam itu terdiri terutamanya daripada individu yang baru sahaja kehilangan pekerjaan serta perniagaan dalam sektor yang masih mengalami kekangan operasi yang nyata akibat pandemik.
  • 60% menerima pengurangan bayaran ansuran. Peminjam yang memohon pengurangan bayaran ansuran termasuk mereka yang berada dalam kumpulan B40. Pengurangan bayaran ansuran ini membolehkan peminjam mula membayar balik pinjaman mereka pada jumlah bayaran yang selesa.

Dalam kalangan individu yang memohon bantuan bayaran balik pinjaman sehingga kini, kira-kira 50% mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM5,000 atau kurang. Sementara itu, 28% adalah daripada mereka yang mempunyai pendapatan bulanan antara RM5,000 hingga RM10,000. Peminjam dalam segmen lain yang memerlukan bantuan juga tidak dipinggirkan, antaranya mereka yang mempunyai pendapatan tidak tetap dan mereka yang bekerja dalam sektor yang paling terjejas seperti sektor pelancongan.

 

Maklumat tambahan

  • Permohonan bantuan bayaran balik pinjaman yang dibuat pada bila-bila masa sebelum 30 Jun 2021 tidak akan dipaparkan dalam laporan CCRIS peminjam.
  • Tiada fi/caj pemprosesan bagi permohonan bayaran balik pinjaman untuk peminjam individu dan PKS.
  • Untuk mendapatkan bantuan secara bersasar, peminjam perlu memohon secara langsung dengan bank masing-masing.
  • Lawati https://www.bnm.gov.my/tra untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai sama ada anda memerlukan bantuan secara bersasar dan kelayakan untuk memohon.

Bank Negara Malaysia
19 Oct 2020

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.