Cetak       Kongsi


Langkah-langkah belanjawan bagi membantu individu dan PKS yang terjejas akibat COVID-19

No Ruj : 11/20/04 06 Nov 2020 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Susulan ucapan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) ingin menyampaikan maklumat tambahan tentang langkah-langkah yang diumumkan untuk isi rumah dan perniagaan yang terjejas akibat COVID-19.

Langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha yang berterusan oleh industri kewangan untuk membantu memulihkan ekonomi, di samping memelihara kesejahteraan sumber pendapatan rakyat Malaysia.

BNM menyedari bahawa situasi masih mencabar bagi sesetengah peminjam. Oleh itu, untuk membantu individu dan perniagaan yang pendapatan mereka terjejas akibat pandemik, BNM akan menyediakan kemudahan pembiayaan tambahan; fleksibiliti yang dipertingkat di bawah Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar; dan beberapa inisiatif lain.

A) Dana BNM untuk PKS

BNM akan menyediakan kemudahan pembiayaan tambahan bagi memberikan bantuan dan menyokong pemulihan PKS:

  1. Mewujudkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (Targeted Relief and Recovery Facility, TRRF) bernilai RM2 bilion

    Kemudahan bernilai RM2 bilion adalah untuk PKS yang layak yang hasil mereka telah terjejas akibat perintah kawalan pergerakan diperketat dan bersyarat baru-baru ini.

    Selain itu, PKS dalam sektor yang terjejas disasar, seperti subsektor perkhidmatan persendirian, perkhidmatan makanan dan minuman, kesihatan manusia, dan kerja sosial serta seni, hiburan dan rekreasi, juga layak memohon untuk TRRF.

    TRRF akan disediakan melalui institusi kewangan peserta pada kadar konsesi sehingga 3.5%, dengan perlindungan jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation (CGC). Kemudahan ini dijangka dibuka untuk permohonan mulai 1 Disember 2020.

    Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang TRRF, sila Layari https://www.bnm.gov.my/covid19/.

     
  2. Mewujudkan Kemudahan Teknologi Tinggi (High Tech Facility, HTF) bernilai RM500 juta

    Kemudahan bernilai RM500 juta ini adalah untuk membantu PKS dalam sektor teknologi tinggi, contohnya subsektor baja dan getah sintetik, bahan kimia asas, produk petroleum bertapis, farmaseutikal bioteknologi, serta penerbangan dan angkasa lepas. Memandangkan pentingnya sektor teknologi tinggi dan firma pemacu inovasi dalam merealisasikan peluang pertumbuhan baharu, HTF menyasarkan untuk mengekalkan kedudukan kompetitif Malaysia dalam rantaian nilai global dan melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi. Butiran lanjut mengenai HTF akan diumumkan pada 1 Disember 2020.
     
  3. Penambahan peruntukan Kemudahan Perusahaan Mikro (Micro Enterprises Facility, MEF) sebanyak RM110 juta

    Kemudahan ini akan dinaikkan nilainya daripada RM300 juta kepada RM410 juta dengan baki peruntukan yang tersedia sebanyak RM200 juta untuk menyokong perusahaan mikro termasuk pekerja sambilan (gig workers) yang menggunakan platform digital dan pekerja yang bekerja sendiri. Kemudahan ini adalah untuk modal kerja dan perbelanjaan modal.

    Untuk maklumat lanjut tentang MEF, sila layari https://www.bnm.gov.my/covid19/.

B) Penambahbaikan Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar (Targeted Repayment Assistance, TRA)

Industri perbankan telah bersetuju memberikan bantuan bayaran balik pinjaman bersasar tambahan untuk peminjam individu dan PKS. Kesemua penambahbaikan ini merupakan tambahan kepada bantuan yang diumumkan sebelum ini untuk mereka yang kehilangan pekerjaan, serta untuk individu dan PKS yang pendapatan mereka terjejas akibat pandemik. Peminjam juga boleh terus menghubungi bank mereka untuk bantuan bayaran balik yang sesuai mengikut keadaan kewangan khusus mereka, kerana semua bank terus bersedia memberikan bantuan kepada peminjam yang memerlukan.

Bantuan tambahan untuk peminjam golongan B40 dan perusahaan mikro

Bantuan bayaran balik pinjaman tambahan akan diberikan kepada peminjam dalam kategori yang berikut:

  • Individu golongan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH)/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR); dan
  • Perusahan mikro, menurut takrifan SME Corp., bagi kemudahan dengan jumlah yang diluluskan sehingga RM150,000.

Para peminjam dalam kedua-dua kategori ini boleh memohon sama ada untuk:

  • Menangguhkan ansuran bulanan selama 3 bulan; atau
  • Mengurangkan ansuran bulanan sebanyak 50% selama 6 bulan.

Bantuan ini akan disediakan untuk kemudahan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 yang tidak tertunggak selama lebih daripada 90 hari pada masa peminjam memohon bantuan bayaran balik. Peminjam B40 dan perusahaan mikro yang pernah menerima apa-apa bentuk bantuan bayaran balik bersasar yang lain, dan ingin memohon bantuan lanjutan di bawah langkah-langkah tambahan yang diumumkan pada hari ini, masih boleh berbuat demikian dengan menghubungi bank mereka.

Bagi memohon bantuan ini, peminjam yang layak hanya perlu mengesahkan pilihan bayaran balik dengan bank mereka. Bank-bank tidak memerlukan dokumen tambahan daripada peminjam untuk memberikan bantuan bayaran balik ini.

Walau bagaimanapun, bagi pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap, peminjam perlu menandatangani perjanjian baharu menurut Akta Sewa Beli 1967 dan keperluan Syariah.

Kesemua bantuan bayaran balik tambahan ini akan disediakan untuk peminjam yang layak antara 23 November 2020 hingga 30 Jun 2021. Para peminjam boleh menyatakan bantuan bayaran balik tersebut mulai 23 November 2020 melalui talian khidmat pelanggan bank-bank, perbankan dalam talian atau dengan melawat cawangan bank. Industri perbankan akan memberikan butiran terkini mengenai penambahbaikan ini minggu hadapan.

Penambahbaikan bantuan ini akan disediakan untuk ansuran mulai bulan Disember 2020 dan akan berkuat kuasa pada ansuran seterusnya selepas permohonan dan pengesahan peminjam diterima.

BNM juga telah bekerjasama dengan industri perbankan untuk menambah baik pelaksanaan bantuan bayaran balik pinjaman bersasar tersebut:

  1. Dokumentasi yang lebih mudah bagi peminjam segmen M40 yang merupakan penerima BPN

    Bagi peminjam M40 yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional, yang pendapatan isi rumah mereka telah berkurang akibat pandemik, bank-bank akan menerima permohonan mereka bagi mengurangkan bayaran ansuran bulanan. Permohonan ini akan berdasarkan pengisytiharan peminjam sendiri tentang pengurangan pendapatan mereka dan/atau pendapatan isi rumah mereka untuk mempercepatkan lagi pemberian bantuan. Bank-bank akan terus menghubungi para peminjam dalam kategori ini untuk mengkaji semula keadaan kewangan mereka.
     
  2. Meja Bantuan Perusahaan Mikro di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

    Selain menghubungi bank, satu saluran tambahan akan disediakan untuk perusahaan mikro memohon bantuan bayaran balik pinjaman melalui pusat bantuan khas untuk perusahaan mikro di AKPK bermula 9 November 2020 melalui www.akpk.org.my/microhelpdesk. Pusat bantuan maya ini menyediakan khidmat nasihat kewangan secara percuma dan memudahkan permohonan bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman.
     
  3. Penilaian pendapatan isi rumah peminjam secara keseluruhan

    Bagi peminjam individu yang memohon untuk mengurangkan bayaran ansuran mereka, amalan di seluruh institusi perbankan telah diperkemas untuk mengambil kira bukan hanya pendapatan peminjam tetapi juga pendapatan pasangan masing-masing yang turut terjejas akibat pandemik. Amalan ini telah pun dilakukan oleh kebanyakan bank dan kini telah dilaksanakan oleh semua bank bagi membolehkan penilaian yang lebih menyeluruh dibuat terhadap keadaan kewangan peminjam.

Penambahbaikan baharu ini berlandaskan usaha institusi perbankan yang sedia ada untuk memberikan bantuan yang lebih baik kepada peminjam yang menghadapi cabaran luar biasa ini.

BNM ingin memberikan keyakinan kepada peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan akibat pandemik bahawa bantuan bayaran balik pinjaman akan terus tersedia untuk individu daripada semua kumpulan pendapatan dan semua saiz PKS yang memerlukan bantuan. Bagi kebanyakan peminjam, bantuan yang disesuaikan dengan keadaan khusus masing-masing akan lebih membantu memenuhi keperluan mereka pada masa kini dan juga pada masa hadapan.

Meskipun pelbagai langkah sedang dilaksanakan bagi membendung penularan wabak COVID-19, penyambungan semula kegiatan ekonomi telah membolehkan banyak peminjam menyambung semula bayaran balik pinjaman mereka. Setakat ini, kira-kira 85% peminjam telah mula membayar ansuran bulanan mereka.

Bagi peminjam yang mampu berbuat demikian, tindakan ini adalah untuk kepentingan mereka sendiri kerana tindakan mengurangkan atau menangguhkan bayaran ansuran akan menyebabkan hutang keseluruhan menjadi lebih tinggi, yang akhirnya perlu ditanggung oleh peminjam pada masa hadapan. Peningkatan ini berlaku kerana faedah akan terus terakru ke atas mana-mana bayaran balik pinjaman yang telah ditangguhkan dan peminjam perlu membayarnya pada masa hadapan.

Pada masa yang sama, peminjam yang masih berhadapan dengan cabaran kewangan akan terus dibantu melalui bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar. Bantuan ini seterusnya membolehkan mereka membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi bergantung pada keperluan dan matlamat pengurusan kewangan mereka sendiri.

BNM menggesa peminjam yang menghadapi kesukaran membuat bayaran balik pinjaman mereka untuk berhubung dengan bank masing-masing, AKPK atau BNMTELELINK untuk mengetahui pilihan yang tersedia bagi membantu mereka mengurus hutang masing-masing. Bantuan bayaran balik pinjaman bersasar akan terus tersedia untuk peminjam yang terjejas sepanjang tahun 2020 dan 2021.

Peminjam yang menghadapi masalah dengan bank masing-masing boleh mengemukakan aduan kepada BNMTELELINK di bnm.my/RAsurvey. Peminjam juga boleh melayari www.bnm.gov.my/tra untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar.

C) Inisiatif Lain

Selain itu, Kerajaan, BNM dan industri kewangan sedang bekerjasama berhubung dengan beberapa inisiatif untuk memberikan bantuan selanjutnya kepada individu dan PKS:

  1. Peluasan program iTEKAD

    Proram iTEKAD, yang dilancarkan pada bulan Mei 2020, menggabungkan instrumen kewangan sosial seperti zakat, sedekah dan wakaf dengan pemberian pembiayaan mikro, latihan secara berstruktur dan bimbingan untuk memperkasa usahawan mikro daripada segmen B40 supaya dapat menjana pendapatan yang berterusan dan membina daya tahan kewangan.

    Sejajar dengan peningkatan peruntukan untuk MEF, program iTEKAD akan turut diluaskan dengan penyertaan lebih banyak institusi kewangan Islam melalui kerjasama rangkaian rakan pelaksana dan rakan negeri yang lebih meluas dalam program ini pada tahun 2021.

     
  2. Perlindungan Tenang untuk B40

    Bantuan kewangan akan disediakan oleh Kerajaan untuk golongan B40 dalam bentuk baucar bagi pembelian perlindungan insurans dan takaful di bawah skim Perlindungan Tenang daripada syarikat insurans dan pengendali takaful berlesen. Baucar bantuan kewangan sebanyak RM50 akan diberikan kepada golongan B40 yang layak bagi membantu mereka membeli produk Perlindungan Tenang bermula 1 April 2021.

    Produk Perlindungan Tenang merupakan produk yang diluluskan oleh BNM bagi memenuhi keperluan segmen masyarat yang kurang mendapat perkhidmatan. Produk ini mesti memenuhi kriteria yang ketat terhadap kemampuan dan nilai pelanggan, dengan pengecualian yang minimum bagi memudahkan tuntutan dan memastikan perlindungan yang bermakna, terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah. Produk tersebut merangkumi perlindungan takaful hayat dan kemalangan diri.

    Untuk maklumat lanjut tentang produk Perlindungan Tenang dan untuk mendapatkan senarai penyedia yang mengambil bahagian, orang ramai boleh merujuk https://www.mycoverage.my/web/mc/tenang.

Butiran lanjut mengenai semua langkah ini akan dikeluarkan oleh persatuan perbankan dan persatuan insurans tidak lama lagi. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnmtelelink@bnm.gov.my.

Bank Negara Malaysia
06 Nov 2020

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.