Cetak       Kongsi


Mesyuarat Gabenor-Gabenor EMEAP (Executives’ Meeting of East Asia-Pacific Central Banks) Ke-25 [Bahagian II]

No Ruj : 4|5151 17 Nov 2020 Embargo : Untuk Siaran Segera    

Mesyuarat Gabenor-Gabenor EMEAP ke-25 telah mengadakan sesi keduanya melalui persidangan video pada 16 November 2020. Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah Gabenor-Gabenor daripada sebelas anggota bank pusat EMEAP (Para Gabenor), serta wakil kanan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund) dan Bank untuk Penyelesaian Antarabangsa (Bank for Internasional Settlements). Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Encik Eddie Yue, Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority, sebagai Ketua Mesyuarat Gabenor-Gabenor EMEAP tahun ini.

Para Gabenor bertukar-tukar pandangan mengenai prospek ekonomi serantau dan implikasi jangka panjang pandemik COVID-19. Para Gabenor bersetuju bahawa kesan wabak itu terhadap ekonomi dan kewangan telah memberikan cabaran yang besar kepada pembuat dasar. Dalam persekitaran yang luar biasa ini, EMEAP telah memainkan peranan yang penting dalam mengenal pasti risiko dan keadaan mudah terjejas semasa dan juga yang mungkin berlaku, serta perubahan struktur ekonomi serantau dalam jangka masa lebih panjang. Mesyuarat juga bertukar-tukar pandangan mengenai bagaimana pembuat dasar perlu menyesuaikan langkah-langkah dasar, dan menyokong ekonomi serantau dengan membantu penyusunan semula ekonomi yang diperlukan melalui dasar-dasar yang dapat memperuntukkan sumber dengan cekap dan berkesan. Para Gabenor juga berkongsi pengalaman mereka sendiri ke arah pendigitalan yang lebih besar, termasuk cara yang praktikal untuk meningkatkan keupayaan mereka bagi memanfaatkan teknologi dalam perbankan pusat pada era moden ini.

Anggota bank pusat EMEAP telah bekerjasama rapat sepanjang tempoh tekanan pasaran kewangan pada tahun ini. Para gabenor menegaskan kembali pentingnya EMEAP sebagai platform yang berkesan untuk perbincangan dasar yang berterusan, memperkukuh kerjasama serantau, dan memberikan perspektif serantau yang memberikan maklumat dan membantu perbincangan pada forum global semasa tempoh yang mencabar ini. EMEAP akan terus memainkan peranan yang aktif dalam menggalakkan kerjasama serantau dalam kalangan institusi perbankan pusat bagi mengekalkan kestabilan kewangan dan menyokong pemulihan ekonomi.

Para gabenor juga mengalu-alukan maklumat yang telah dikemas kini oleh Jawatankuasa Kestabilan Monetari dan Kewangan (Monetary and Financial Stability Committee, MFSC) mengenai kegiatan pengawasan dan penyelidikan pasaran, termasuk inisiatif dalam data raya (big data) dan kewangan lestari.

Gabenor-gabenor menyambut baik tawaran Reserve Bank of Australia untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat Gabenor-Gabenor EMEAP ke-26 pada tahun 2021.

 

Bank Negara Malaysia
17 November 2020

 

 

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.