Print       Share


Ucapan oleh Timbalan Gabenor di Perasmian Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke-14

Speaker: Datuk Abdul Rasheed Ghaffour Venue: Language: Bahasa Melayu Speech Date: 13 Oct 2020

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya rafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta`ala, kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dipertemukan secara maya dalam Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Kali Ke-Empat Belas (14) pada tahun ini.

 

Kesan Penularan Wabak COVID-19 kepada Dunia

Kita melangkah masuk ke tahun 2020 dengan penuh keazaman dan aspirasi. Namun, tahun ini membawa cabaran getir yang melangkaui imaginasi kita. Contohnya, kebakaran berskala mega di Australia, banjir besar di Indonesia serta serangan belalang juta (deadly locusts) dengan magnitud terburuk di Afrika Timur yang berlaku sepanjang bulan Januari mendedahkan kita kepada pelbagai cabaran.[1] Kita seterusnya dikejutkan dengan pandemik Coronavirus Disease 2019 atau COVID-19 yang menular pantas ke serata dunia, termasuklah rantau Asia Tenggara.

Penularan wabak COVID-19 telah menjangkiti lebih 37 juta manusia dan mengakibatkan kehilangan lebih satu juta nyawa setakat ini.[2] Malah COVID-19 turut merencatkan perdagangan merentas sempadan dan aktiviti perniagaan, serta menjejaskan punca pendapatan segolongan masyarakat. Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan ekonomi dunia akan menguncup 4.9% bagi tahun 2020, jauh lebih buruk daripada penguncupan 0.7% semasa krisis kewangan global pada tahun 2008 dan 2009.[3] Sekiranya penularan wabak ini tidak ditangani dengan sewajarnya, dunia bakal berhadapan dengan kemelesetan ekonomi yang menggusarkan dan berlarutan.

Sungguhpun wabak COVID-19 masih meningkat dan meluas, sebahagian besar negara telah mula mengorak langkah ke arah pemulihan sambil terus menangani dan mengawal penularan wabak berkenaan. Kewangan Islam, khususnya institusi kewangan Islam dan cendekiawan Syariah mempunyai peranan utama dalam menyumbang dengan penuh bermakna terhadap proses pemulihan ini. Kewangan Islam perlu memastikan perkhidmatan kewangan menambah nilai dan menghasilkan impak positif kepada ekonomi dan kemaslahatan masyarakat secara amnya dalam memenuhi tuntutan maqasid Syariah. Oleh itu, sejajar dengan tema muzakarah kali ini “Kewangan Islam Kontemporari: Refleksi dan Inovasi”, izinkan saya berkongsi dua perkara penting dalam berhadapan dengan situasi krisis semasa. Pertama, prinsip Syariah dijadikan pertimbangan utama dalam menghadapi krisis dan kedua, platform digital sebagai satu komponen penting dalam pemulihan dan penjanaan semula ekonomi baharu.

Pertama: Prinsip Syariah dijadikan pertimbangan utama dalam menghadapi krisis

Dalam membendung penularan wabak COVID-19, pelbagai langkah radikal telah dilaksanakan seperti penutupan atau sekatan sempadan negara, kawalan pergerakan dalam negara, serta penutupan ekonomi secara menyeluruh atau pun secara bersasar. Langkah-langkah ini mempunyai kesan negatif ke atas kedudukan ekonomi dan sosial. Pendapatan perniagaan bagi hampir kesemua sektor ekonomi khususnya pelancongan dan hospitaliti, perkhidmatan, termasuklah perusahaan kecil dan sederhana telah terjejas. Akibatnya, kesejahteraan individu yang bergantung sara hidup kepada sektor-sektor ini telah turut terkesan apabila punca pendapatan mereka terjejas atau hilang sama sekali. Situasi ini berupaya mengancam kesejahteraan institusi kekeluargaan serta kestabilan sosial. Kadar pengangguran bagi rantau Asia Tenggara juga telah mencatat peningkatan, manakala kesemua ekonomi di rantau Asia Tenggara dijangka mengalami penguncupan bagi tahun ini .[4]

Di sebalik kegusaran yang melanda, ancaman COVID-19 mempunyai hikmah yang tersendiri. Nilai-nilai murni selaras dengan tuntutan Syarak termasuklah ihsan, bersikap adil dan saksama serta ta`awun merupakan asas pertimbangan penting yang diterapkan dalam perumusan langkah oleh pihak berkuasa bagi mencapai maqasid Syariah yang menekankan kesejahteraan agama, kehidupan, akal, keturunan dan juga harta.

Dalam menangani impak COVID-19, pelbagai pakej ransangan ekonomi telah dilaksanakan oleh seluruh dunia dan negara-negara rantau Asia Tenggara. Sungguhpun pendekatan yang diambil mungkin berbeza, namun matlamatnya adalah sama iaitu bagi meneruskan kelangsungan perniagaan terutamanya PKS, lantas membendung kejadian pengangguran secara berleluasa serta mengurangkan beban rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah. Hal ini selaras dengan prinsip ihsan yang mensasarkan pengurangan beban yang ditanggung oleh pelanggan. Misalnya, pelaksanaan penangguhan pembayaran pembiayaan atau moratorium di beberapa buah negara termasuklah Singapura, Thailand, Malaysia, dan Brunei Darussalam telah memberi kelegaan sementara kepada penghutang.

Manakala bantuan dana oleh kerajaan kepada usahawan mikro dan PKS seperti yang dilaksanakan di Cambodia, Indonesia dan Malaysia, serta kemudahan pembiayaan pada kadar faedah yang rendah di Cambodia dan Myanmar mensasarkan agar usahawan kecil mampu bertahan dan memulihkan semula perniagaan mereka. Selain itu, bantuan berbentuk subsidi gaji seperti di Brunei dan Thailand serta bantuan makanan di Indonesia terus memastikan kebajikan para pekerja yang terkesan terpelihara.[5]

Di Malaysia, prinsip ihsan merupakan asas pertimbangan bagi beberapa keputusan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia. Misalnya, institusi perbankan Islam tidak dibenarkan mengambil kira keuntungan terakru bagi pembiayaan sedia ada dalam penentuan amaun prinsipal yang baharu bagi pembiayaan yang distruktur atau dijadual semula. Institusi perbankan Islam juga diingatkan supaya bersikap adil dan prihatin dalam berurusan dengan pelanggan dan dalam perihal penentuan kadar keuntungan. Semua ini bertujuan meringankan bebanan yang dihadapi oleh  pelanggan dan masyarakat yang terkesan berikutan COVID-19.

Kewangan sosial dalam bentuk zakat, waqaf dan sedekah menawarkan potensi yang besar untuk memudahkan agihan dana secara yang lebih seimbang dan inklusif. Oleh itu, dalam usaha menangani impak COVID-19 ke atas ummah, penggunaan instrumen sosial kewangan telah dipergiatkan termasuk dengan mengintegrasikan instrumen tersebut dalam produk kewangan Islam.

Misalnya, Jawatankuasa Fatwa, Majlis Ugama Islam Singapura dan Majelis Ulama Indonesia telah memperluaskan tafsiran ‘asnaf’ dengan memutuskan bahawa bantuan zakat boleh diagihkan kepada segmen masyarakat terkesan dengan COVID-19 termasuklah mereka yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pendapatan yang terjejas. Ini membolehkan mana-mana individu yang menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan asas memperoleh bantuan zakat untuk meneruskan kehidupan.[6]

Setakat ini, Majlis Ugama Islam Singapura telah menyalurkan kira-kira USD 3.53 juta pendapatan aset wakaf bagi tujuan pembangunan komuniti yang terkesan dengan COVID-19[7]. Di Filipina pula, para pegawai Amanah Islamic Bank telah menyalurkan sumbangan sadaqah kepada pelajar Mindanao State University yang terkandas di kampus disebabkan perintah berkurung. Sumbangan sadaqah ini telah memastikan kebajikan pelajar yang terkesan terus terjaga melalui bantuan makanan dan keperluan asas yang lain.[8]

Selain itu, Badan Amil Zakat Nasional Indonesia (BAZNAS) telah memeterai suatu kerjasama dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggunakan instrumen zakat bagi menyokong proses pemulihan ekonomi pasca COVID-19 di Indonesia.[9]

Dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan secara berterusan menerusi keusahawanan bagi memperbaiki kedudukan kewangan mereka, Malaysia telah memperkenalkan  program perintis i-TEKAD[10]. Program ini melibatkan usahasama institusi perbankan dengan pihak berkuasa agama negeri dan rakan pelaksana yang menggabungkan instrumen zakat sebagai modal permulaan dengan pembiayaan mikro bagi modal kerja. Ia juga dilengkapi dengan latihan pembangunan kemahiran berstruktur termasuklah mentoring.

Usaha menangani penularan wabak COVID-19 melibatkan jumlah dana yang besar yang turut mendatangkan tekanan ke atas kedudukan kewangan kerajaan.  Setakat ini, dianggarkan sebanyak USD9 trilion dana fiskal telah disalurkan di peringkat global terutamanya dalam pelbagai bentuk bantuan kewangan kepada rakyat dan perusahaan.[11] Bagi membolehkan penglibatan ummah dalam membantu pemulihan dan pembangunan semula ekonomi negara, beberapa negara telahpun menerbitkan sukuk impak sosial berasaskan runcit (retail-based social impact sukuk). Contohnya, sukuk ijarah 3 tahun berjumlah USD300 juta oleh kerajaan Indonesia[12] dan juga Sukuk Prihatin oleh kerajaan Malaysia berjumlah USD161 juta dengan tempoh matang 2 tahun yang memberi peluang kepada rakyat untuk menyumbang ke arah usaha membina semula negara pasca pandemik COVID-19. Inisiatif-inisiatif sebegini adalah selaras dengan prinsip Siyasah Syariah[13] yang membuka ruang dan peluang untuk masyarakat saling membantu atas dasar ta`awun.  

 

Kedua: platform digital sebagai satu komponen penting dalam pemulihan dan penjanaan semula ekonomi baharu

Penularan COVID-19 dan amalan norma baharu telah mempercepatkan pendigitalan dalam ekonomi serta memupuk trend budaya kerja dan kolaborasi yang baharu. Perniagaan dalam talian menjadi semakin rancak, manakala pembayaran secara digital meningkat dengan begitu mendadak. Pendigitalan turut mempengaruhi kadar pemulihan ekonomi dan struktur baharu ekonomi serta amalan dan pengaturan perniagaan.

Misalnya Bank of Thailand telah menerokai potensi teknologi ‘blockchain’ melalui suatu platform penerbitan bon simpanan kerajaan yang dilaksanakan pada bulan Oktober 2020 baru-baru ini. Penggunaan teknologi ‘blockchain’ ini bukan sahaja akan memastikan ketelusan dan kecekapan yang lebih baik menerusi pengurangan kos dan kesulitan operasi, malah memendekkan tempoh masa proses penerbitan bon daripada 15 hari kepada 2 hari sahaja. Inisiatif seperti ini adalah selaras dengan jangkaan para pelabur yang menekankan perkhidmatan yang cekap dan pantas.[14]

Dalam suasana masyarakat dan perniagaan yang semakin peka akan perkembangan teknologi, dan dalam memenuhi jangkaan pelanggan terhadap perkhidmatan yang efisien, berinovatif, pantas dan mesra pelanggan, industri kewangan serta pemilik perusahaan perlu meneliti dan menstruktur semula strategi dan model perniagaan serta produk dan perkhidmatan mereka untuk terus kekal relevan.

Para ulama turut berperanan dalam proses ini untuk memperjelas keperluan Syariah yang perlu dipatuhi dalam urusan dan komponen tertentu operasi institusi kewangan termasuklah pelaksanaan prinsip dan kontrak Syariah yang bersesuaian serta amalan yang sejajar dengan kehendak Syariah. Institusi kewangan Islam juga perlu memanfaatkan teknologi terkini dengan lebih intensif menerusi kerjasama dengan komuniti Fintech. Teknologi seperti “artificial intelligence” atau AI, internet untuk segalanya (internet of things, IoT), ‘blockchain’ dan sebagainya dapat mengurangkan kos operasi dan membolehkan institusi kewangan menawarkan solusi yang berinovatif dan selamat kepada setiap lapisan masyarakat dan pelbagai jenis perniagaan.

Misalnya, pendigitalan operasi dalam perniagaan takaful seperti pemprosesan tuntutan dan perkhidmatan pelanggan dapat memelihara keselamatan pelanggan dengan mengurangkan interaksi secara fizikal sepanjang tempoh kawalan pergerakan. Ia juga dapat mempercepatkan proses tuntutan.

Pelbagai inisiatif pendigitalan telah dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan dan capaian. Misalnya, GlobalSadaqah telah tampil menawarkan platform pembayaran zakat dan wakaf melalui pelbagai aplikasi dompet elektronik seperti GrabPay, Boost dan Touch ‘n Go. Menerusi platform ini, sumbangan zakat, waqaf dan sedekah dapat disalurkan kepada badan-badan kebajikan dengan lebih cekap dan telus.[15]

DBS Bank di Singapura pula telah memudahkan interaksi dengan pelanggan pada waktu ini menerusi teknologi Singpass Face Verification yang melancarkan proses pendaftaran perbankan secara digital menggunakan telefon mudah alih.

Dalam kesungguhan menerokai potensi teknologi untuk menyampaikan perkhidmatan yang baik, perkara-perkara asas perlu dinilai semula dan diperkasa. Laporan International Institute for Management Development (IMD) mengenai World Digital Competitiveness 2019 telah menggariskan tiga indikator utama yang diguna pakai dan mengukur daya saing digital sesebuah negara iaitu teknologi, ilmu pengetahuan dan ketersediaan menghadapi masa hadapan.[16]

Oleh itu, selain usaha menaik taraf infrastruktur fizikal seperti kapasiti jalur lebar - pembuat dasar, individu yang berkecimpung dalam ekosistem kewangan termasuklah cendekiawan Syariah tidak terkecuali daripada tuntutan untuk memperkasa ilmu pengetahuan berhubung perkembangan teknologi terkini. Hal ini adalah penting untuk memastikan para cendekiawan Syariah dapat membuat keputusan Syariah yang bersesuaian berlandaskan kefahaman perkembangan bidang teknologi yang secukupnya.

Kesimpulan

Arus perubahan yang pantas akan menjangkau imaginasi kita. Oleh itu, kita memerlukan cendekiawan Syariah untuk melengkapkan diri dengan ketangkasan dalam bertindak, kerjasama yang erat di antara kita, serta keanjalan (flexibility) dalam merangka solusi yang bersesuaian.

Dalam hal ini, para cendekiawan Syariah mempunyai peranan penting dalam memastikan institusi kewangan, dengan kerjasama pelbagai pihak, dapat menyokong pembangunan sosio-ekonomi melalui instrumen kewangan Islam yang bersesuaian dan juga berkesan.

Sehubungan itu, saya mendoakan muzakarah pada kali ini akan berjalan dengan lancar dan dapat menjadi satu platform sebagai pemangkin bagi mencapai objektif yang disasarkan.

 

_____________________________

[1] “Blood-red skies loom over southeast Australia after deadly bushfires bring 'one of worst days ever', CNN, 6 Januari 2020. “Jakarta floods leave dozens dead and 60,000 displaced”, CNN, 2 Januari 2020; “East Africa is suffering its worst invasion of desert locusts in 25 years”, CNN, 25 Januari 2020, Serangan belalang juta musnahkan 500 hektar kawasan tanaman di Namibia”, Astro Awani, 26 September 2020

[2] WHO Coronavirus Disease (COVID-19) Dashboard, data terakhir direkodkan pada 12 Oktober 2020, boleh dilayari di https://covid19.who.int/

[3] International Monetary Fund, World Economic Outlook Update, Jun 2020, boleh dilayari di https://www.imf.org/en/Publications/WEO/Issues/2020/06/24/WEOUpdateJune2020

[4] Economic Outlook for Southeast Asia, China and India 2020 – UPDATE, Meeting the Challenges of COVID-19, OECD Development Centre, boleh diakses di: https://www.oecd-ilibrary.org/docserver/e8c90b68-en.pdf?expires=1602411698&id=id&accname=guest&checksum=2E6771F2621FFE8EDD3652008CAE7243

[5] http://www.oecd.org/coronavirus/policy-responses/covid-19-crisis-response-in-asean-member-states-02f828a2/

[6] https://www.muis.gov.sg/officeofthemufti/Fatwa/Zakat-Covid-Malay, https://mui.or.id/produk/fatwa/27990/pemanfaatan-harta-zakat-infak-danshadaqah-untuk-penanggulangan-wabah-covid-19-dan-dampaknya/

[7] https://www.salaamgateway.com/story/singapore-islamic-authority-to-disburse-35-mln-in-awqaf-income-up-1-from2019

[8] http://www.amanahbank.gov.ph/recent-events/209- sadqah-covid19

[9] https://www.idnfinancials.com/kr/news/35621/undp-baznas-launch-partnership-support-covid-economic-recovery

[10] https://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_press&pg=en_press&ac=5022&lang=en

[11] International Monetary Fund, berdasarkan sumber pihak berkuasa persekutuan dan anggaran staff IMF setakat 13 Mei 2020. https://blogs.imf.org/2020/05/20/tracking-the-9-trillion-global-fiscal-support-to-fight-covid-19/

[12] “Indonesia issues retail sukuk for COVID-19 economic recovery”, Islamic Microfinance News, 28 Ogos 2020, boleh diakses di: http://imfn.org/indonesia-issues-retail-sukuk-for-covid-19-economic-recovery

[13]  Maksud: Dasar atau pendekatan yang diambil oleh pemerintah atau pihak berkuasa demi kepentingan rakyat dan negara dan selaras dengan prinsip Syariah.

[14]https://www.thailand-businessnews.com/banking/81085-bank-of-thailand-launches-first-government-savings-bond-based-on-blockchaintechnology.html

[15] https://fintechnews.my/23658/blockchain/globalsadaqah-to-enable-zakat-and-waqf-payments-in-bitcoin/

[16] https://www.imd.org/wcc/world-competitiveness-center-rankings/world-digital-competitiveness-rankings-2019/

 

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.