Print       Share


Ucapan Penutup Timbalan Gabenor di Karnival Kewangan Sarawak

Speaker: Encik Abdul Rasheed Ghaffour Venue: CityOne Megamall, Kuching Language: Bahasa Melayu Speech Date: 26 Nov 2017

Pertama sekali izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Senator Datuk Professor Dr. Sim Kui Han di atas kesudian meluangkan masa bersama-sama kita pada petang ini bagi menyempurnakan majlis penutup Karnival Kewangan Sarawak 2017. Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Sarawak di atas sokongan padu yang telah diberikan dalam menjayakan Karnival Kewangan yang julung-julung kali diadakan, secara besar-besaran di negeri Sarawak.

Saya juga sangat bersyukur dan berbesar hati kerana Karnival Kewangan di bumi Kenyalang ini telah mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat bukan sahaja dari bandaraya Kuching malah dari kawasan sekitaran yang agak jauh termasuklah dari Marudi, Miri dan Sibu. Saya dimaklumkan, sehingga jam 1.00 petang tadi, lebih daripada 20,000 pengunjung telah menghadiri Karnival Kewangan ini. Ini tentunya merupakan satu pencapaian yang amat baik. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

Seperti yang dapat disaksikan oleh para hadirin sekalian, Karnival ini telah berjaya menghimpunkan sebanyak 60 penyertaan yang terdiri daripada institusi kewangan, persatuan-persatuan institusi kewangan, agensi kerajaan serta institusi-institusi berkaitan dibawah satu bumbung, yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan serta khidmat nasihat kepada orang ramai.

Karnival Kewangan ini adalah satu usaha bersepadu yang dirancang untuk meningkatkan tahap celik kewangan di segenap lapisan masyarakat, bermula daripada kanak-kanak sehinggalah peringkat dewasa. Ilmu pengetahuan yang diperoleh daripada aktiviti yang berkonsepkan keperluan semasa serta berinteraktif dan “edutainment”, adalah lebih mudah difahami, terutamanya pengetahuan berkaitan penggunaan produk kewangan dengan sebaiknya, pengurusan hutang yang berhemah, keperluan untuk menyimpan dari usia muda, malah pengetahuan mengenai cara yang paling mudah untuk mengenali matawang kita seperti menggunakan kaedah ‘Rasa, Lihat, Sendeng dan Semak’ bagi memastikan ketulenan matawang kertas yang kita gunakan seharian. Pendekatan sebegini akan meningkatkan keberkesanan penimbaan ilmu, penggunaan atau aplikasi pengetahuan yang diperoleh, memupuk budaya celik kewangan serta pengurusan kewangan yang berhemah bagi memanfaatkan diri sendiri, ahli keluarga dan masyarakat.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan syabas khususnya kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di atas sokongan padu dan kerjasama yang mana telah memberi peluang kepada seramai 5,400 pelajar sekolah untuk menghadiri Karnival ini serta mendapat pendedahan tentang pelbagai aspek kewangan untuk manfaat masa hadapan mereka.

Saya juga telah dimaklumkan bahawa pada Karnival ini, kita menerima sekumpulan kanak-kanak sebagai tetamu khas – seramai 60 orang kanak-kanak bersama 13 guru mereka dari Sekolah Kebangsaan Beliung Samarahan telah datang menaiki sampan ke Karnival ini. Syabas dan terima kasih saya ucapkan.

Dari pemerhatian saya, orang ramai telah mengambil peluang yang disediakan di Karnival ini untuk berinteraksi dengan institusi – institusi kewangan dan agensi-agensi berkaitan. Ini akan meningkatkan kesedaran tentang fungsi sesuatu produk kewangan yang ditawarkan, serta membolehkan mereka membuat keputusan kewangan dengan lebih baik. Sepanjang Karnival ini berlangsung, lebih daripada 1500 akaun simpanan telah dibuka dan lebih 400 permohonan pembiayaan telah diterima berjumlah RM20 juta. Pembiayaan ini termasuklah pembiayaan untuk pelaburan, pinjaman perniagaan serta pembelian rumah.

Di samping itu, para pengunjung juga telah didedahkan dengan pelbagai pengetahuan kewangan melalui aktiviti “pocket talk”. Pelbagai ilmu telah dikongsikan termasuklah mengenai kepentingan insurans dan takaful. Hasil daripada peningkatan pengetahun ini, sambutan masyarakat terhadap produk insurans dan takaful adalah amat menggalakkan. Sebanyak 300 langganan berjumlah RM45 ribu premium insurans telah dibeli oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk sektor perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di sepanjang Karnival ini. Sementara itu, pelancaran polisi insurans yang dikenali sebagai “Perlindungan Tenang” di awal Karnival ini turut mendapat sambutan memuaskan daripada masyarakat setempat, dimana hampir 20% daripada jumpah polisi yang dilanggan merupakan polisi “Perlindungan Tenang”. Ini merupakan permulaan yang positif kerana kita perlu prihatin dalam menyediakan rangkuman perlindungan yang sewajarnya untuk menghadapi risiko yang tidak dijangka supaya kita lebih bersedia dalam mengharungi masa hadapan.

Selain itu, saya juga ingin mengingatkan kita semua tentang kepentingan mengamalkan sikap suka menabung serta membuat pelaburan yang selamat. Amalan menabung di usia muda hendaklah dipupuk seperti peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya” dan “sikit-sikit lama-lama jadi bukit”. Kita juga harus berhati-hati supaya tidak mudah terjerumus di dalam skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang begitu tinggi dalam jangkamasa yang pendek.

Pada lazimnya, skim sebegini adalah skim cepat kaya yang akhirnya boleh mendatangkan kerugian. Jadilah pengguna dan pelabur yang bijak dengan mendapatkan maklumat yang sah sebelum membuat sebarang keputusan untuk melabur. Janganlah akibat tamak dan menginginkan kekayaan dalam masa yang singkat, kita terjerumus dalam skim penipuan yang boleh melenyapkan simpanan kita dalam sekelip mata sahaja.

Pelbagai khidmat nasihat secara langsung boleh diperolehi daripada Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (OFS). Sebenarnya kita mempunyai suatu ekosistem perlindungan pengguna kewangan yang baik dan komprehensif di Malaysia. Pelbagai khidmat nasihat secara langsung telah diperolehi daripada lebih 17,000 individu yang menyertai Karnival pada kali ini. Saya ingin menyarankan setiap agensi kerajaan negeri, pihak swasta serta NGO supaya memainkan peranan bagi meningkatkan pendedahan orang ramai mengenai peranan AKPK dan agensi-agensi lain yang berkaitan supaya mereka yang mempunyai masalah kewangan atau hutang boleh dibantu disamping memanfaatkan sepenuhnya dari pelbagai program serta sesi pendidikan kewangan yang disediakan oleh AKPK pada setiap masa.

Dalam menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50), Bank Negara Malaysia juga telah mengambil peluang untuk berinteraksi dengan para pengunjung Karnival untuk mendalami aspirasi rakyat Malaysia berkenaan peranan sektor kewangan bagi 30 tahun akan datang. Untuk makluman para hadirin sekalian, kami telah menerima lebih 1,500 aspirasi daripada para pengunjung yang secara amnya tertumpu kepada tiga aspek utama.

Pertama, lebih separuh responden percaya menjelang 2050 urus niaga akan menjadi tanpa tunai sepenuhnya dan tidak akan ada sekatan dalam memindahkan atau menerima wang di seluruh dunia. Kebanyakan yang percaya bahawa kewangan yang mampan adalah perlu dan akses kepadanya perlu diperluaskan serta secara beransur-ansur menjadi universal. Menjelang 2050, setiap orang boleh melaburkan wang mereka dalam produk yang lebih berdaya maju dan sesuai kepada seluruh masyarakat. Aspirasi daripada para pelajar termasuklah mendapatkan kebebasan kewangan, mewujudkan lebih banyak saluran untuk menyokong usahawan dan mengadakan urus niaga tanpa tunai, digital dan akses mudah untuk pelaburan.

Sumbangan idea sebegini amat penting bagi memastikan sektor kewangan kekal relevan dan inklusif dalam memenuhi keperluan masa hadapan rakyat Malaysia. Bagi pihak Bank Negara Malaysia, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan idea yang telah diberikan dan kami akan mengkaji dengan teliti setiap aspirasi yang telah diterima.

Mendepani cabaran masa depan, Bank Negara Malaysia akan meneruskan usaha bagi meningkatkan lagi tahap celik kewangan penduduk Sarawak melalui program kesedaran kewangan disamping memastikan akses yang lebih baik kepada produk dan perkhidmatan kewangan. Pejabat Bank Negara Malaysia Kuching akan terus menjangkau keseluruh pelosok negeri Sarawak dalam memastikan rangkuman kewangan yang lebih menyeluruh. Di samping itu, kami juga mengalu-alukan kedatangan orang ramai khususnya masyarakat Sarawak untuk mengunjungi pejabat kami di Kuching sekiranya mempunyai sebarang masalah atau memerlukan khidmat nasihat berkaitan instituti kewangan yang berada dibawah penyeliaan Bank Negara Malaysia. Rakan-rakan saya di pejabat Bank Negara Malaysia Kuching sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat di Sarawak.

Sebelum saya mengundur diri, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Senator Datuk Professor Dr. Sim Kui Han mewakili Timbalan Ketua Menteri Sarawak, pihak Kerajaan Negeri Sarawak dan agensi-agensi kerajaan negeri di atas segala kerjasama yang telah diberikan dalam memastikan kelancaran Karnival ini. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada institusi-institusi kewangan serta semua pihak yang berkaitan, yang telah mengambil bahagian serta menaja pelbagai program serta insentif sepanjang berlangsungnya Karnival Kewangan di Sarawak ini. Akhir kata, saya yakin Karnival ini akan mendorong usaha sama yang lebih kukuh dan menyeluruh antara institusi kewangan, agensi kerajaan dan perbadanan tempatan demi kebaikan dan pembangunan masyarakat negeri Sarawak.
 

 

© Bank Negara Malaysia, 2017. All rights reserved.