Breadcrumb

Penerbit Aset

null Tapak Warisan Dunia UNESCO di Malaysia (1-2)

Tapak Warisan Dunia UNESCO di Malaysia (1-2)

Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pengeluaran enam duit syiling peringatan edisi terhad yang menampilkan Tapak Warisan Dunia UNESCO di Malaysia. Pengeluaran duit syiling peringatan ini dibuat bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, bertemakan “Khazanah Malaysia untuk Dunia”.

Reka Bentuk

Bahagian hadapan setiap duit syiling peringatan memaparkan satu daripada enam Tapak Warisan Dunia UNESCO di Malaysia. Turut dipaparkan ialah tulisan “TAPAK WARISAN UNESCO MALAYSIA” dan nama tapak berkenaan.

Bahagian Hadapan

1. Taman Negara Gunung Mulu

Reka bentuk ini memaparkan formasi puncak batu kapur Gunung Mulu di Sarawak. Formasi ini merupakan mercu tanda taman negara tersebut, yang terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti yang luar biasa dan landskap kars yang menakjubkan.

2. Taman Kinabalu

Reka bentuk ini menampilkan Gunung Kinabalu, mercu utama Taman Kinabalu. Pada ketinggian 4,095 meter, Gunung Kinabalu merupakan puncak tertinggi di antara Banjaran Himalaya dan New Guinea. Tapak ini penting bagi pemuliharaan biodiversiti dan penyelidikan ekologi di Asia Tenggara.

3. Bandar Melaka dan George Town

Reka bentuk ini memaparkan A Famosa dan Fort Cornwallis, masing-masing ialah mercu tanda terkenal di Melaka dan George Town. Kedua-dua bandar ini merupakan bukti hidup warisan budaya Asia yang dibentuk melalui interaksi berabad lamanya dengan pengaruh penjajahan Eropah.

4. Lembah Lenggong

Reka bentuk ini mengetengahkan Manusia Perak, penemuan arkeologi ikonik dari Lembah Lenggong. Lembah Lenggong di Perak merupakan tapak arkeologi penting yang memaparkan gambaran langka tentang tamadun awal manusia di Asia Tenggara, merangkumi Zaman Paleolitik dan Neolitik hingga Zaman Logam.

5. Kompleks Gua Niah

Reka bentuk ini menampilkan Kompleks Gua Niah di Sarawak. Tapak ini memberikan gambaran unik tentang kehidupan prasejarah di dalam hutan hujan tropika. Penemuan arkeologi dan ciri semula jadi di dalam gua ini menzahirkan sejarah panjang interaksi manusia dengan alam semula jadi, lantas menyorot kesinambungan budaya selama ribuan tahun dan menjadikannya salah satu tapak prasejarah terpenting di Asia Tenggara.

6. Taman Rimba FRIM, Selangor

Reka bentuk ini memaparkan kanopi hutan hujan Taman Rimba Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Selangor. Taman yang dahulunya kawasan lombong bijih timah yang tandus dan terbiar kini diiktiraf sebagai salah satu inisiatif perhutanan semula yang terawal dan paling berjaya di rantau ini.

Bahagian Belakang

Bahagian belakang bagi kesemua enam duit syiling peringatan ini memaparkan reka bentuk yang sama. Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” tertera pada bahagian atas sebagai pihak berkuasa pengeluar duit syiling peringatan ini. Pada bahagian tengah, nilai muka “5 RINGGIT” jelas terpapar. Reka bentuk ini turut menyertakan lambang berbentuk bulatan dengan siluet yang digayakan untuk melambangkan keenam-enam tapak tersebut. Bahagian belakang duit syiling peringatan turut memaparkan peta Malaysia dengan lokasi setiap tapak ditandakan.

 

Spesifikasi

Kesemua duit syiling peringatan ini ditempa menggunakan tembaga bersadur emas, seberat 28.65 gram setiap satu dengan nilai muka RM5. Jumlah tempaan adalah sebanyak 2,000 keping bagi setiap reka bentuk dan dijual pada harga RM110 sekeping. Spesifikasi terperinci disertakan dalam Lampiran.

 

Jualan

Setiap reka bentuk akan dijual secara berasingan. Bagi memastikan peluang yang adil kepada orang ramai, pembelian dihadkan kepada dua keping syiling bagi setiap reka bentuk untuk setiap individu.

Orang ramai boleh membuat pesanan melalui laman sesawang duit.bnm.gov.my mulai jam 9:00 pagi, 11 April 2026 hingga 9:00 pagi, 21 April 2026.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan melalui sistem dalam talian BNM dan bukan melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah. Semua tempahan akan dipertimbangkan dan tiada keutamaan akan diberikan berdasarkan tarikh dan masa tempahan dibuat. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi kuantiti yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya.

 

Bank Negara Malaysia
10 April 2026

 

Lampiran

Spesifikasi Duit Syiling

Bil. Kategori logam Aloi Nilai Muka (RM) Diameter (mm) Berat (g) Kuantiti Tempaan (kepings) Harga (RM)
1 Sekeping Tembaga bersadur emas (Mirip pruf) Cu99.9 5 40.70 28.65 12,000 (2,000 keping setiap reka bentuk) 110.00*

* Harga yang dinyatakan termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10%.