Navigation

  • Skip to Content
BNM Logo BNM Logo
  • About Us
      Our Roles Board of Directors Governor Management Committee Senior Officers of BNM Organisation Structure Committees
  • Topics
  • News & Events
      Press Releases Public Notices Speeches Calendar of Events Events at BNM Procurement
  • Rates & Statistics
  • Publications
  • Regulations
      Legislation Standards & Guidelines FSP Directory Enforcement Actions
  • Careers
      Join Us Job Vacancies Kijang Graduate Programme Internships Scholarships
  • Contact Us
      Contact Us BNM Offices Whistleblowing Policy
Search

Language Selector

melayu

Breadcrumb

  1. Home
  2. News & Events
  3. Speeches
  4. Ucapan Timbalan Gabenor di Majlis Perasmian Bazar Seni 2026: "Pop & Play"

Speeches & Interviews selector

Print

Speeches & Interviews

Filter by year   

Filter by speaker   

 

Search title in Speeches

Asset Publisher

null Ucapan Timbalan Gabenor di Majlis Perasmian Bazar Seni 2026: "Pop & Play"

Ucapan Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid
di Majlis Perasmian Bazar Seni 2026: "Pop & Play"
Kuala Lumpur | 25 November 2026

 

Selamat datang ke majlis perasmian Bazar Seni 2026. Hari ini, kita bukan sahaja meraikan karya, tetapi juga bakat dan kegigihan untuk menghasilkannya. Kepada para pengkarya, terima kasih kerana membawa suara dan imaginasi anda ke ruang ini. Sekalung penghargaan juga kepada para pengumpul karya seni serta warga Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia yang bersama-sama menjayakan Bazar Seni pada tahun ini.

Seni dan Kreativiti dalam Dunia yang Berubah

Dalam dunia yang berubah pantas, kita membina masa hadapan dengan berlandaskan pengalaman yang kita alami, kepakaran yang membolehkan kita memahami perubahan dan daya kreativiti untuk melihat kemungkinan di sebaliknya. Seni mengajak kita melihat di sebalik apa yang nyata, memahami pengalaman termasuk yang bukan milik kita, membayangkan sesuatu yang belum wujud.

Di Bank Negara Malaysia (BNM), kami percaya bahawa keupayaan ini merentas batas profesion dan bidang. Bidang kami iaitu perbankan pusat dan bidang seni mungkin berbeza, namun ada nilai kami yang saling berpegang teguh: ketelitian memerhati, keberanian mempersoalkan andaian dan keterbukaan terhadap perspektif baharu.

Disebabkan inilah sokongan kami terhadap bidang seni bukan sekadar meraikan keindahan karya, kami juga meraikan daya fikir yang melahirkannya. Kerana kemajuan bukan sahaja memerlukan insan yang tahu jawapannya, tetapi juga insan yang berani mengajukan persoalan baharu.

Perspektif BNM, Sokongan terhadap Bazar Seni dalam Ekosistem Kreatif

Sekilas pandangan, sememangnya bank pusat dan bidang seni mungkin kelihatan berada dalam dua dunia yang sangat berbeza. Bagi kami, kesejahteraan sesebuah negara tidak boleh diukur melalui kekuatan ekonomi semata-mata. Negara yang kukuh turut dibentuk oleh pemikiran kritis, identiti dan rasa kebersamaan yang melahirkan masyarakat dinamik dan berpandangan jauh. Seni dan budaya memelihara memori kolektif kita, mendorong kita untuk bertanya, berfikir secara berbeza dan membayangkan kemungkinan melangkaui realiti masa kini. Dalam konteks ini, sokongan terhadap seni bukanlah sesuatu yang terpinggir daripada agenda pembangunan negara, tetapi pelaburan dalam asas intelektual, kreatif dan budaya yang menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah negara yang berdaya tahan dan mampan.

Seni juga mempunyai keupayaan yang istimewa untuk merakam perjalanan sosioekonomi negara. Jika data dan statistik menunjukkan bagaimana ekonomi berubah, seni membantu kita memahami bagaimana perubahan itu dirasai oleh masyarakat. Seni merakam kehidupan, aspirasi, cabaran dan perubahan sosial yang membentuk sesebuah zaman. Salah satu karya sangat bermakna bagi saya adalah karya Nafkah oleh seniman perintis negara, Hoessein Enas. Sekumpulan nelayan menolak bot ke laut, naratif kudrat dan rezeki yang digambarkan melalui gerak badan yang memaparkan kekuatan dan tona warna yang membangkitkan semangat.

Sebenarnya, antara tahun 2023 hingga 2024, sewaktu mata wang ringgit menghadapi tekanan menurun yang agak kuat, kami sedang gigih berusaha memulihkan kestabilan pasaran mata wang dan nilai ringgit. Kebetulannya saya sedang memilih karya daripada koleksi milik BNM untuk digantung di pejabat saya. Saya memilih karya ini sebagai inspirasi harian. Karya ini mencerminkan kesatuan matlamat, kerjasama berkumpulan dan kesungguhan serta tekad yang tinggi. Bagi saya, nilai-nilai ini
benar-benar menggambarkan usaha kami pada waktu itu dalam menangani cabaran tersebut.

Sokongan kami terhadap seni telah merentasi beberapa generasi. Sejak sekitar era 1960-an dan 1970-an, BNM telah mula menyokong seniman-seniman terkenal tanah air seperti Syed Ahmad Jamal, Latiff Mohidin dan Ibrahim Hussein ketika mereka masih pada peringkat awal kerjaya. Sokongan terhadap seni diteruskan secara aktif melalui usaha Muzium dan Galeri Seni untuk membuka ruang kepada bakat tempatan. Bazar Seni ialah salah satu wadahnya. Sejak era 1990-an, Bazar Seni menjadi titik pertemuan para pengkarya, masyarakat dan pengumpul, sekali gus menyuburkan ekosistem dan apresiasi seni.

Daripada ruang jualan, Bazar Seni berkembang menjadi ruang yang membuka jalan. Sambutan yang menggalakkan telah mendorong penganjurannya sebagai acara tahunan sejak tahun 2016, dengan lebih 150 orang pengkarya diketengahkan sejak itu. Melangkaui pameran dan penjualan karya, di sini juga pengkarya mendapat pendedahan, pengumpul menemukan mereka yang berbakat, manakala kurator dan pencinta seni bertukar idea serta pengalaman. Pertemuan ini membina jaringan profesional dan membuka laluan kepada tempahan karya, pameran, residensi serta kerjasama profesional. Inilah yang mahu kami terus suburkan: sebuah ekosistem seni yang dinamik dan mampan. Di sini, karya dilihat, bakat ditemukan dan kerjaya berkembang.

Tema “Pop & Play”

Berteraskan semangat untuk terus meraikan kreativiti dan penerokaan, Bazar Seni tahun ini tampil dengan tema “Pop & Play”. Pada pandangan pertama, tema ini mungkin dilihat sebagai sesuatu yang ringan, mudah dan menyeronokkan. Namun di sebalik tema ini terdapat satu mesej yang amat bermakna. Pop ialah detik yang menarik perhatian kita dan membuka persoalan baharu, “Mengapa begitu?” Play pula ialah keberanian untuk menyambut persoalan itu, “Bagaimana kalau saya cuba?”

Pop boleh hadir melalui ledakan bunyi, warna atau rasa, kontras yang tidak dijangka, mahupun sentuhan budaya popular (pop culture). Play pula mencerminkan semangat penerokaan melalui eksperimen dengan bahan, menguji batas dan memberikan ruang kepada intuisi dalam proses berkarya. Lebih daripada sebuah tema acara seni, kami berharap “Pop & Play” dapat mendekati golongan muda dan mendorong mereka untuk meneroka kemungkinan baharu, membuat pilihan spontan serta mengekspresikan kreativiti dengan lebih bebas. Semoga mereka menghargai kreativiti dan membawa pemikiran tersebut ke dalam kehidupan mereka.

 

Pengkarya Bazar Seni 2026

Kepada 21 orang pengkarya yang bersama kita pada tahun ini, kehadiran anda membawa pelbagai latar belakang, pengalaman, keupayaan dan pendekatan kreatif ke Bazar Seni. Ada pelbagai jalan untuk menjadi seorang pengkarya, sebagaimana ada pelbagai cara untuk melihat dunia. Melalui kepelbagaian laluan pembelajaran dan pengalaman hidup inilah yang memperkaya landskap seni negara. Semoga ruang ini menjadi bukan sahaja tempat untuk mempamerkan karya, tetapi juga merasakan bahawa suara dan visi anda dihargai.

Kami juga berbangga kerana dua orang warga BNM turut mengambil bahagian sebagai pengkarya pada tahun ini. Terima kasih kerana menzahirkan satu lagi sisi diri anda, melalui seni. Penyertaan anda mengingatkan kita bahawa seseorang mempunyai pelbagai dimensi, tidak hanya terbatas oleh bidang tugas atau profesionnya. Kreativiti boleh dipupuk oleh sesiapa sahaja, dan bakat wajar diberi ruang untuk berkembang.

Karya-karya yang dipamerkan pada tahun ini merangkumi pelbagai medium, idea dan pendekatan. Peluang ditawarkan kepada pengunjung untuk melihat, berinteraksi dan menghargai pelbagai bentuk ekspresi kreatif yang memperkaya pengalaman kita sebagai sebuah masyarakat.

Selain pameran dan jualan karya seni, para pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai program yang disediakan termasuk demonstrasi dan bengkel seni bersama para pengkarya. Program-program ini membuka ruang kepada interaksi yang lebih dekat antara pengkarya dan masyarakat serta memperkukuh pemahaman terhadap proses kreatif di sebalik sesebuah karya.

Ayuh kita meluangkan masa melihat karya, berbual dengan pengkarya dan mengenali cerita di sebaliknya. Jika ada karya yang menarik dan sesuai dengan kemampuan, pertimbangkanlah untuk membawanya pulang. Semoga sokongan kita menjadi dorongan kepada pengkarya untuk terus berkarya, dan semoga Bazar Seni 2026 terus membuka peluang, mendekatkan masyarakat dengan seni serta membina ekosistem kreatif yang lebih mampan dan inklusif.

Sebuah negara yang maju memerlukan ekonomi yang kukuh. Tetapi kemajuan sesebuah negara seharusnya diiringi dengan masyarakat dan budaya yang berani berfikir dan mencipta untuk memberikannya jiwa. Apabila kita menyokong seni, kita bukan sekadar menghargai sebuah karya. Kita turut menyokong perkembangan pemikiran dan minda, serta menyumbang ke arah pembangunan insan dan masyarakat yang lebih sempurna.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Bazar Seni 2026, “Pop & Play”.

Terima kasih.

Follow us
  • facebook social icon
  • twitter social icon
  • instagram social icon
  • youtube social icon
  • medium social icon
  • telegram icon
  • tiktok icon
Website Tools
  • Search
  • Email Alert
  • Contact Us
  • Download Forms
Legal Notices
  • Terms of Use for BNM Website
  • Terms of Use for BNM Datasets
  • Disclaimer
  • Privacy & Cookie Policy
BNMLINK Contact Centre
  • call-1 icon
    1-300-88-5465 Monday - Friday 9am - 5pm
  • decoration
    e-LINK Form
  • BNM General Line
  • call-1 icon +603 2784 8888
© Bank Negara Malaysia. All rights reserved.
arrow-up icon