Navigation

  • Skip to Content
BNM Logo BNM Logo
  • About Us
      Our Roles Board of Directors Governor Management Committee Senior Officers of BNM Organisation Structure Statutory Committees
  • Topics
  • News & Events
      Press Releases Public Notices Speeches Calendar of Events Events at BNM Procurement
  • Rates & Statistics
  • Publications
  • Regulations
      Legislation Standards & Guidelines FSP Directory Enforcement Actions
  • Careers
      Join Us Job Vacancies Kijang Graduate Programme Internships Scholarships
  • Contact Us
      Contact Us BNM Offices Whistleblowing Policy
Search

Language Selector

melayu

Breadcrumb

  1. Home
  2. News & Events
  3. Speeches
  4. Deputy Governor's Speech at the Launch of eCelik Wang Pulau Perhentian

Speeches & Interviews selector

Print

Speeches & Interviews

Filter by year   

Filter by speaker   

 

Search title in Speeches

Asset Publisher

null Deputy Governor's Speech at the Launch of eCelik Wang Pulau Perhentian

Ucapan oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani
di Majlis Perasmian eCelik Wang
Pulau Perhentian, Terengganu | 28 Jun 2026

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, dapat kita bersama-sama pada hari ini untuk pelancaran Program eCelik Wang di Pulau Perhentian. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua rakan dalam Jaringan Pendidikan Kewangan atau Financial Education Network (FEN), khususnya Agrobank, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang telah berganding bahu menjayakan inisiatif ini.

Dua hari lalu, saya berada di Kuala Terengganu sempena Karnival Celik Kewangan. Saya berpeluang bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat: pelajar dan anak muda, ibu bapa, usahawan dan pesara. Latar belakang mereka berbeza, tetapi hasrat sama: ingin mengurus kewangan dengan lebih baik, menabung dengan lebih konsisten dan lebih bersedia menghadapi masa depan. Hari ini di Pulau Perhentian, kita melangkah setapak lagi ke hadapan. Jika Karnival Celik Kewangan memberi pengetahuan dan kesedaran tentang pengurusan kewangan, eCelik Wang pula memberi penekanan kepada amalan harian. Kita mahu melihat bagaimana teknologi boleh membantu rakyat bukan sahaja berurus niaga dengan lebih mudah, tetapi juga mengurus kewangan dengan lebih bijak.

Pagi tadi saya sempat meninjau sekitar Pulau Perhentian dan berbual dengan beberapa peniaga tempatan. Saya gembira melihat semakin ramai telah menggunakan DuitNow QR. Ini satu perkembangan yang sangat baik. Apabila pelancong boleh membuat bayaran dengan mudah, urusan jual beli menjadi lebih lancar. Apabila peniaga menerima bayaran secara digital, peluang perniagaan juga menjadi lebih luas. Kita telah melihat perkara ini berlaku di Pulau Redang. Pendigitalan telah membantu memperluas peluang perniagaan kepada peniaga kecil dan membolehkan lebih banyak perbelanjaan pelancong mengalir kepada usahawan tempatan.

Namun kita perlu ingat satu perkara yang penting. Pendapatan yang lebih tinggi belum lagi menjamin kesejahteraan kewangan yang lebih baik. Yang menentukan kesejahteraan kewangan bukan hanya berapa banyak wang yang kita peroleh, tetapi bagaimana kita mengurus wang tersebut. Kita semua memahami realiti kehidupan di Pulau Perhentian. Apabila musim pelancongan tiba, bot keluar masuk membawa pelancong, chalet dipenuhi tetamu dan kedai-kedai semua rancak. Ketika itu, pendapatan meningkat. Namun, kita juga tahu bahawa setiap tahun akan tiba musim tengkujuh. Waktu itu, pelancong berkurang dan pendapatan menjadi tidak menentu.

Sebab itu, kesejahteraan kewangan bukan hanya tentang hasil yang kita peroleh ketika musim yang baik, tetapi juga sejauh mana kita bersedia menghadapi musim yang lebih mencabar. Apabila anak memulakan sesi persekolahan baharu, apabila enjin bot perlu dibaiki, apabila berlaku kecemasan kesihatan dalam keluarga, atau apabila tiba musim tengkujuh dan pendapatan tidak lagi seperti biasa, ketika itulah pentingnya mempunyai simpanan dan perancangan kewangan yang baik. Jika sebahagian daripada rezeki yang diperoleh hari ini dapat disimpan dan diurus dengan lebih baik, kita bukan sahaja menikmati hasil daripada musim yang baik, tetapi juga lebih bersedia menghadapi masa yang sukar. Inilah yang ingin dicapai melalui eCelik Wang.

Penggunaan DuitNow QR untuk pembayaran hanyalah langkah pertama. Dengan kemudahan kewangan digital hari ini, kita juga boleh pantau perbelanjaan, rancang kewangan keluarga dan bina tabiat simpanan yang lebih baik. Pendekatan eCelik Wang adalah pendekatan yang praktikal dan tertumpu pada perubahan tingkah laku. Bukan sekadar ceramah sekali lalu, malah melibatkan bimbingan berterusan, latihan menggunakan aplikasi secara langsung, dan pembentukan tabiat melalui amalan berulang. Kita juga mahu memanfaatkan kekuatan komuniti, kita belajar bersama dan saling menyokong antara satu sama lain.

Hadirin sekalian,

Marilah kita sama-sama mengambil manfaat daripada program ini. Bukan setakat pandai bayar guna telefon, tetapi lebih penting, pandai urus duit, menabung dan bersedia untuk masa depan. Kejayaan program ini bukan bergantung pada berapa banyak transaksi yang dibuat. Sebaliknya, kejayaannya diukur apabila lebih ramai keluarga mempunyai simpanan kecemasan, lebih ramai ibu bapa yakin merancang masa depan pendidikan anak-anak, lebih ramai usahawan kecil mengurus kewangan perniagaan dengan baik, dan lebih banyak komuniti termasuk di Pulau Perhentian dapat menikmati manfaat pembangunan ekonomi di sekeliling mereka. Pada masa yang sama, kita juga perlu sentiasa berwaspada. Kemudahan digital mesti disertai dengan disiplin kewangan dan kesedaran terhadap risiko penipuan kewangan atau scam yang semakin berleluasa. Sebab itu, celik kewangan dan celik digital perlu seiring.

Matlamat sebenar eCelik Wang bukan sekadar melahirkan masyarakat celik digital, namun masyarakat yang lebih yakin, lebih berdaya tahan dan lebih sejahtera dari segi kewangan.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Program eCelik Wang Pulau Perhentian, Terengganu.

Follow us
  • facebook social icon
  • twitter social icon
  • instagram social icon
  • youtube social icon
  • medium social icon
  • telegram icon
  • tiktok icon
Website Tools
  • Search
  • Email Alert
  • Contact Us
  • Download Forms
Legal Notices
  • Terms of Use for BNM Website
  • Terms of Use for BNM Datasets
  • Disclaimer
  • Privacy & Cookie Policy
BNMLINK Contact Centre
  • call-1 icon
    1-300-88-5465 Monday - Friday 9am - 5pm
  • decoration
    e-LINK Form
  • BNM General Line
  • call-1 icon +603 2784 8888
© Bank Negara Malaysia. All rights reserved.
arrow-up icon