Navigation

  • Skip to Content
BNM Logo BNM Logo
  • About Us
      Our Roles Board of Directors Governor Management Committee Senior Officers of BNM Organisation Structure Committees
  • Topics
  • News & Events
      Press Releases Public Notices Speeches Calendar of Events Events at BNM Procurement
  • Rates & Statistics
  • Publications
  • Regulations
      Legislation Standards & Guidelines FSP Directory Enforcement Actions
  • Careers
      Join Us Job Vacancies Kijang Graduate Programme Internships Scholarships
  • Contact Us
      Contact Us BNM Offices Whistleblowing Policy
Search

Language Selector

melayu

Breadcrumb

  1. Home
  2. News & Events
  3. Speeches
  4. Ucapan Timbalan Gabenor di Majlis Penutup Karnival Celik Kewangan Selangor 2026 dan Bulan Literasi Kewangan 2026

Speeches & Interviews selector

Print

Speeches & Interviews

Filter by year   

Filter by speaker   

 

Search title in Speeches

Asset Publisher

null Ucapan Timbalan Gabenor di Majlis Penutup Karnival Celik Kewangan Selangor 2026 dan Bulan Literasi Kewangan 2026

Ucapan Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid
di Majlis Penutup Karnival Celik Kewangan Selangor 2026
dan Bulan Literasi Kewangan 2026
Shah Alam | 25 Oktober 2026

 

Alhamdulillah, pada petang ini kita tiba di penghujung Karnival Celik Kewangan Selangor, sekali gus melabuhkan tirai Bulan Literasi Kewangan 2026. Sepanjang tiga hari yang lalu, Central i-City bukan sahaja menjadi tempat orang ramai membeli-belah dan meluangkan masa bersama keluarga, malah turut menjadi ruang untuk mereka bertanya, belajar dan mendapatkan panduan berkaitan kewangan. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan penganjuran karnival ini.

Malam ini, reruai akan dikemas dan karnival ini akan berakhir. Namun, persoalan kewangan rakyat akan terus ada pada hari esok. Bil perlu dibayar, anak-anak perlu disekolahkan dan ibu bapa perlu dijaga. Ada pula yang sedang memikirkan soal pekerjaan, perumahan dan persediaan untuk hari tua.

Justeru, pada petang ini, saya ingin mengajak kita semua memikirkan satu persoalan: Apakah yang akan kita teruskan selepas karnival ini berakhir? Persoalan ini penting kerana bagi kebanyakan keluarga, gaji yang diterima setiap bulan bukan sekadar angka dalam akaun. Di sebalik angka itu terdapat keperluan, harapan dan tanggungjawab. Setiap ringgit perlu diurus dengan pertimbangan yang baik. Dalam erti kata lain, wang ialah satu amanah. Prinsip memelihara harta, atau hifz al-mal, mengingatkan kita supaya tidak mensia-siakan sumber yang telah diamanahkan kepada kita.

Namun begitu, mengurus amanah ini bukanlah sesuatu yang sentiasa mudah. Ada yang terpaksa membuat pilihan sukar kerana pendapatan yang terhad. Ada yang kurang memahami pilihan kewangan yang tersedia dan ada juga yang berasa segan untuk bertanya atau mendapatkan bantuan. Oleh sebab itulah pendidikan kewangan bukan sekadar menyampaikan nasihat. Kita perlu mendekati masyarakat dengan memahami keadaan mereka, supaya nasihat yang diberikan benar-benar relevan dan dapat diamalkan.

Inilah semangat yang dibawa oleh Skuad Celik Kewangan sepanjang bulan Oktober. Berdasarkan laporan awal, skuad ini telah mengunjungi 72 lokasi di seluruh negara dan menyantuni lebih 17,000 rakyat Malaysia. Mereka turun ke sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja, pasar dan komuniti setempat. Pendekatan secara bersemuka memberikan peluang kepada orang ramai untuk mengemukakan soalan yang mungkin tidak pernah mereka tanyakan sebelum ini.

Berdasarkan pemerhatian di sepanjang Jelajah Bulan Literasi Kewangan 2026, ramai rakyat yang disantuni oleh Skuad Celik Kewangan di seluruh negara menunjukkan minat untuk mendapatkan panduan tentang pengurusan hutang, perlindungan dan persediaan persaraan. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat sedia bertanya apabila bantuan hadir dekat dengan mereka. Di karnival ini pula, lebih 30,000 pengunjung berpeluang berinteraksi dengan 44 pempamer melalui pelbagai aktiviti dan sesi penerangan.

Pencapaian ini sememangnya wajar dihargai. Namun, pencapaian sebenar kita bukan hanya diukur melalui jumlah lokasi, pengunjung atau pempamer. Yang lebih penting ialah memastikan pintu yang telah kita buka sepanjang bulan ini tidak tertutup semula selepas bulan Oktober. Saya ingin menitipkan tiga harapan kepada semua rakan FEN. Tiga harapan ini juga menjadi jambatan antara pencapaian karnival ini dengan tindakan yang perlu kita teruskan selepas ini.

Pertama, jadikan pendidikan kewangan satu hubungan yang berterusan, bukan sekadar program dalam kalendar. Seseorang mungkin mendengar penerangan semasa karnival ini, tetapi hanya berdepan dengan keputusan sebenar beberapa bulan kemudian. Pastikan mereka tahu di mana hendak mendapatkan maklumat yang sahih, siapa yang boleh dihubungi dan bagaimana mendapatkan panduan susulan.

Kedua, bawa pendidikan kewangan ke tempat rakyat menjalani kehidupan seharian; di sekolah, di tempat kerja, di pasar, di kawasan perumahan dan dalam komuniti. Kita tidak boleh mengharapkan semua orang datang ke dewan ceramah atau mencari bahan secara dalam talian. Cara kita mendekati seorang pelajar, peniaga kecil atau pesara mungkin berbeza. Yang penting bukanlah menyeragamkan pendekatan, tetapi memastikan manfaatnya sampai kepada mereka.

Ketiga, dengar dengan teliti perkara yang ditanyakan oleh masyarakat. Soalan yang berulang kali dikemukakan mungkin menjadi petunjuk bahawa penerangan kita masih belum mencukupi. Persoalan yang jarang didengar pula mungkin datang daripada kelompok yang selama ini kurang diberikan perhatian. Bawalah penemuan ini dalam perancangan bersama di bawah Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan 2026–2030.

Saya berharap setiap rakan FEN pulang daripada karnival ini dengan satu langkah susulan yang jelas, walaupun kecil. Kerjasama kita sepatutnya dirasai dalam kehidupan masyarakat sepanjang tahun, bukan hanya ketika bulan sambutan. Salah satu bentuk kesinambungan itu dapat kita lihat melalui inisiatif yang akan dilancarkan pada petang ini.

Inisiatif ini mencerminkan harapan kedua yang saya sebut tadi, iaitu memastikan manfaat pendidikan kewangan sampai kepada setiap individu, walaupun pendekatannya berbeza. Bagi sesetengah murid, ini bermakna menyediakan bahan pembelajaran dalam format yang lebih mudah diakses. Sempena majlis ini, sukacita saya melancarkan Modul Celik Kewangan Versi Braille, yang dibangunkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sejak 2023, Modul Celik Kewangan BSN-KPM telah membantu pelajar sekolah memahami asas kewangan, daripada mengurus wang dan menabung sehingga mengurus hutang serta memahami perlindungan kewangan. Dengan versi Braille ini, murid ketidakupayaan penglihatan dapat mempelajari asas pengurusan kewangan yang sama bersama rakan-rakan mereka, serta membina keyakinan untuk membuat keputusan kewangan sendiri dalam kehidupan seharian. Melalui kerjasama seperti inilah, pendidikan kewangan dapat menjadi lebih inklusif dan membuka peluang yang sama kepada setiap murid.

Daripada usaha bersama ini, izinkan saya beralih kepada pesanan yang lebih khusus kepada para pengunjung dan seluruh rakyat Malaysia.

Tidak semua perkara berkaitan wang mempunyai jawapan yang sama untuk setiap orang. Keputusan yang baik bergantung pada kemampuan dan keperluan kita sendiri. Sebelum mengambil sebarang komitmen kewangan, luangkan masa untuk membandingkan pilihan, memahami jumlah kos dan memikirkan risiko sekiranya keadaan berubah. Jangan hanya menilai kemampuan untuk membayar komitmen kewangan pada bulan ini; fikirkan juga kemampuan pada bulan-bulan mendatang. Berbincanglah tentang kewangan dengan keluarga, dengan penuh hormat dan tanpa saling menyalahkan. Jika ada perkara yang tidak difahami, bertanyalah. Jika menghadapi kesukaran, dapatkan nasihat lebih awal melalui saluran yang dipercayai, termasuk khidmat nasihat percuma AKPK. Meminta bantuan bukan tanda kegagalan; sebaliknya, tindakan itu menunjukkan bahawa kita mengambil tanggungjawab terhadap masa depan.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli dan rakan FEN, agensi kerajaan, institusi kewangan, pertubuhan masyarakat, para pempamer, sukarelawan, pihak pengurusan Central i-City serta pasukan penganjur. Terima kasih kerana membawa ilmu kewangan lebih dekat kepada masyarakat dan kerana memastikan usaha ini tidak terhenti setakat penganjuran karnival. Akhir kata, setiap karnival mempunyai pembukaan dan penghujungnya. Namun, amanah untuk membantu rakyat mengurus kewangan dengan lebih yakin tidak berakhir mengikut tarikh di kalendar.

Biarlah ilmu yang dipelajari di sini dibawa pulang, dibincangkan di rumah dan digunakan ketika membuat pilihan dalam kehidupan. Biarlah usaha FEN terus berada dekat dengan rakyat pada waktu dan ketika mereka memerlukannya. Itulah makna yang ingin kita hidupkan melalui tema “Bijak Wang Dulu, Tenang Bila Perlu”.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya mengisytiharkan Karnival Celik Kewangan Selangor dan Bulan Literasi Kewangan 2026 ditutup secara rasmi.

Sekian, terima kasih.

 

Lihat juga: Slaid Iringan Ucapan Timbalan Gabenor

Bank Negara Malaysia
25 Oktober 2026

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Encik Adnan Zaylani Mohamad Zahid menyampaikan ucapan penutup Karnival Celik Kewangan Selangor dan Bulan Literasi Kewangan 2026

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Encik Adnan Zaylani Mohamad Zahid menyampaikan ucapan penutup Karnival Celik Kewangan Selangor dan Bulan Literasi Kewangan 2026

Follow us
  • facebook social icon
  • twitter social icon
  • instagram social icon
  • youtube social icon
  • medium social icon
  • telegram icon
  • tiktok icon
Website Tools
  • Search
  • Email Alert
  • Contact Us
  • Download Forms
Legal Notices
  • Terms of Use for BNM Website
  • Terms of Use for BNM Datasets
  • Disclaimer
  • Privacy & Cookie Policy
BNMLINK Contact Centre
  • call-1 icon
    1-300-88-5465 Monday - Friday 9am - 5pm
  • decoration
    e-LINK Form
  • BNM General Line
  • call-1 icon +603 2784 8888
© Bank Negara Malaysia. All rights reserved.
arrow-up icon