Speeches & Interviews
Filter by year
Filter by speaker
Filter by year
Filter by speaker
Ucapan Perasmian oleh Gabenor Dato' Sri Abdul Rasheed Ghaffour
di Karnival Celik Kewangan Selangor 2026
Shah Alam | 24 Oktober 2026
Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama meraikan majlis perasmian Karnival Celik Kewangan Selangor 2026. Saya turut mengalu-alukan para pengunjung Central i-City yang hadir bersama keluarga dan rakan-rakan.
Pusat beli-belah ialah tempat yang sesuai untuk kita berbicara tentang kewangan. Di sinilah kita membuat banyak keputusan mengenai wang:
Keputusan-keputusan ini mungkin kecil. Namun, keputusan ini membentuk kehidupan dan kesejahteraan kewangan kita semua.
Tahun ini menandakan ulang tahun kesepuluh FEN. Sepanjang satu dekad, ahli-ahli FEN, institusi kewangan, agensi kerajaan dan rakan-rakan strategik telah bekerjasama untuk memperluas pendidikan kewangan dan mendekati lebih banyak lapisan masyarakat.
Kita wajar berbangga dengan asas yang telah dibina.
Bagi dekad seterusnya, kita perlu meningkatkan impak agar kemajuan itu membawa perubahan yang lebih bermakna. Yang saya maksudkan ialah keputusan yang lebih baik, perlindungan yang lebih kukuh dan daya tahan yang lebih tinggi.
Untuk memahami perjalanan ini, izinkan saya menggunakan tiga tempoh masa: “Sepuluh saat, sepuluh bulan dan sepuluh tahun.”
Pertama, sepuluh saat.
Dalam dunia digital, sepuluh saat sudah memadai untuk membuat pembayaran atau memindahkan wang. Kemudahan ini banyak manfaatnya.
Namun, kepantasan transaksi turut mengehadkan ruang untuk pertimbangan yang lebih mendalam. Beberapa saat boleh menentukan sama ada simpanan keluarga kekal selamat atau hilang.
Bayangkan seseorang menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank atau pihak berkuasa. Beliau didesak memindahkan wang segera kononnya untuk mengelakkan akaun disekat.
Pada tahun 2025, kerugian akibat penipuan dalam talian mencecah hampir RM3 bilion dengan Selangor merekodkan jumlah kerugian tertinggi[1] menurut laporan Kementerian Dalam Negeri.
Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia, institusi kewangan dan agensi penguatkuasaan terus memperkukuh pertahanan, termasuk mempercepat pengesanan dana yang dicuri dan memperketat langkah keselamatan perbankan dalam talian. Namun, sistem yang kukuh sahaja tidak mencukupi. Perlindungan pertama tetap bermula dengan kewaspadaan kita sendiri.
Oleh sebab itu, apabila didesak untuk bertindak segera, berhenti seketika. Semak melalui saluran rasmi sebelum berkongsi maklumat atau memindahkan wang. Institusi kewangan pula perlu memperkukuh kawalan, memperjelas amaran dan bertindak pantas terhadap aktiviti yang mencurigakan.
Perlindungan yang berkesan memerlukan kewaspadaan pengguna dan institusi kewangan bergerak seiring.
Kedua, sepuluh bulan.
Jika sepuluh saat menggambarkan satu keputusan, sepuluh bulan pula menggambarkan satu tabiat. Daya tahan kewangan tidak terbina dalam sehari. Sebaliknya, daya tahan ini dibina melalui amalan yang konsisten, bulan demi bulan. Menyimpan secara berkala, merancang perbelanjaan, mengurus komitmen mengikut kemampuan dan mendapatkan nasihat adalah antara langkah mudah yang boleh diamalkan secara konsisten.
Inisiatif seperti #BijakWangChallenge[2] menjadikan pembelajaran kewangan lebih menarik kepada generasi muda. Tahun ini, lebih 3,000 peserta dari seluruh negara telah menyertai cabaran ini. Tahniah kepada semua peserta atas kesediaan melabur masa dalam menimba ilmu yang akan membantu mereka membuat keputusan kewangan yang lebih baik sepanjang hayat mereka.
Dalam kehidupan sebenar, kebijaksanaan bukan sekadar mengetahui jawapan tetapi juga mengenal pasti masa yang sesuai untuk berhenti, bertanya dan mendapatkan nasihat.
Ketiga, sepuluh tahun.
Dalam tempoh sepuluh tahun, seseorang mungkin membina keluarga, membeli rumah atau membuat persediaan untuk persaraan. Pada masa yang sama, mereka juga mungkin berhadapan dengan masalah kesihatan, kemalangan atau kehilangan pendapatan.
Pada saat itulah nilai perlindungan dan daya tahan benar-benar terserlah. Simpanan kecemasan, perlindungan yang sesuai dan akses kepada bantuan boleh menentukan sama ada sesuatu kejutan dapat diurus dengan tenang atau menjadi krisis yang berpanjangan.
Sehubungan dengan itu, pelancaran MediAsas di seluruh negara mulai akhir bulan Januari 2027 merupakan langkah penting untuk memperluas akses kepada perlindungan perubatan asas yang lebih mampu milik dan mampan. Pelan ini akan ditadbir dan diurus melalui kerjasama antara kerajaan dengan industri bagi membantu mengawal kos penjagaan kesihatan secara lebih berkesan.
Namun, perlindungan sebenar bukan sekadar memiliki sesuatu produk tetapi juga memahami perlindungan tersebut, memastikan kesesuaiannya dengan keperluan dan memperoleh bantuan apabila diperlukan.
Keperluan ini berbeza bagi setiap individu, termasuk mereka yang memerlukan pendekatan yang lebih khusus untuk memahami dan mendapatkan perlindungan kewangan. Sehubungan dengan itu, hari ini, saya berbesar hati melancarkan MyCoverageOKU, iaitu Laman Mikro Insurans dan Takaful untuk Orang Kurang Upaya. Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama Bank Negara Malaysia, FEN serta industri insurans dan takaful.
MyCoverageOKU menghimpunkan maklumat tentang pilihan perlindungan yang relevan kepada golongan OKU. Laman mikro ini menyediakan satu tempat rujukan untuk mereka, ahli keluarga dan penjaga mereka bagi meneroka produk serta menghubungi penyedia insurans dan takaful yang berkaitan. Kelayakan dan manfaat perlindungan tetap tertakluk pada terma dan syarat masing-masing.
Pendekatan yang berteraskan keperluan pengguna ini perlu menjadi panduan dalam kita merangka perkhidmatan kewangan. Cerapan tingkah laku atau behavioural insights membantu kita memahami faktor yang mempengaruhi keputusan pengguna. Dalam hal ini, AI juga berpotensi memudahkan penyampaian maklumat, mengesan aktiviti luar biasa dan memberikan peringatan pada waktu yang tepat.
Namun, teknologi tidak seharusnya menggantikan pertimbangan pengguna. Sebaliknya, teknologi perlu membantu pengguna memahami implikasi setiap pilihan, melindungi data peribadi serta memastikan sokongan tetap tersedia.
Kemajuan teknologi telah menjadikan transaksi semakin mudah dan pantas. Pada masa yang sama, institusi kewangan dan pengguna mempunyai peranan bersama dalam memastikan teknologi dimanfaatkan untuk menyokong keputusan kewangan yang lebih baik.
Bagi dekad seterusnya, usaha kita perlu dinilai melalui hasil yang benar-benar dirasai rakyat:
Sepuluh saat mengingatkan kita supaya berhenti seketika.
Sepuluh bulan mendidik kita untuk membina tabiat.
Sepuluh tahun menuntut persediaan dan perlindungan untuk menghadapi pelbagai kemungkinan.
Jika kita menghubungkan ketiga-tiganya, pendidikan kewangan bukan sahaja menambah pengetahuan. Pendidikan kewangan juga membantu rakyat menjalani kehidupan kewangan yang lebih selamat, yakin dan sejahtera.
Saya merakamkan penghargaan khususnya kepada Kerajaan Negeri Selangor serta ahli-ahli dan rakan strategik FEN, pihak industri dan semua pihak yang telah berganding bahu menjayakan Karnival ini.
Dengan usaha bersama, insya-Allah kita dapat membina masyarakat Malaysia yang lebih terlindung, lebih berdaya tahan dan menikmati kehidupan kewangan yang lebih selamat serta sejahtera.
Sekian, terima kasih.
[1] Kerugian akibat penipuan dalam talian pada tahun 2025: RM2.97 bilion di seluruh Malaysia dan RM986.79 juta di negeri Selangor. Sumber: “Drastic increase in money lost to online scams nationwide, says Home Ministry”, 24 Jun 2026. https://www.thestar.com.my/news/nation/2026/06/24/drastic-increase-in-money-lost-to-online-scams-nationwide-says-home-ministry
[2] #BijakWangChallenge2026 ialah pertandingan kuiz literasi kewangan secara langsung yang menggunakan format permainan seakan-akan rancangan televisyen "Who Wants to Be a Millionaire?", dengan peserta menjawab soalan kewangan secara berperingkat untuk menguji pengetahuan dan membuat keputusan di bawah tekanan masa. Program ini dibawakan oleh mySalam dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi, serta kerjasama FEN sebagai rakan strategik dan rakan-rakan industri.
Lihat juga: Slaid Iringan Ucapan Gabenor di Perasmian KCK Selangor 2026
Bank Negara Malaysia
24 Oktober 2026