Kepengerusian ASEAN Menjadi Wadah Memperkasakan Bahasa Kebangsaan dan Bakat Warga Sektor Kewangan
Embargo :26 Nov 2025
Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan peringkat akhir Pertandingan Pidato Piala Gabenor (PPG) Bank Negara Malaysia 2025 di Sasana Kijang pada 26 November 2025. Pertandingan ini merupakan inisiatif kebahasaan sektor kewangan untuk memperkukuh penggunaan bahasa Melayu serta mencungkil bakat pengucapan awam dalam kalangan warga institusi kewangan.
Mengangkat tema ASEAN bersempena dengan peranan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini, dua tema pidato telah dipertandingkan, iaitu “Memperkasakan Rangkuman Kewangan: ASEAN ke Arah Kemakmuran Bersama” dan “Malaysia Sebagai Pemangkin Kestabilan Ekonomi dan Kewangan ASEAN”. Tema kedua merupakan pilihan utama para peserta. Seramai 43 peserta daripada 26 institusi kewangan telah beraksi pada peringkat saringan. Peringkat akhir pertandingan hari ini menyaksikan lapan peserta daripada enam institusi kewangan tampil dengan pidato yang penuh penghayatan dan semangat.
Pertandingan Pidato Piala Gabenor pada tahun ini dimenangi oleh:
Johan Pertandingan Pidato Piala Gabenor membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 bersama dengan Piala Pusingan. Manakala naib johan menerima wang tunai RM7,000 dan tempat ketiga RM5,000. Pemenang juga menerima piala iringan, sijil pencapaian dan buku terbitan DBP.
Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Sebuah negara maju juga boleh ditakrifkan sebagai negara yang berpegang teguh kepada identitinya, iaitu bahasa dan budayanya, tanpa dikikis atau hanyut dibawa arus pemodenan.”
Tambah beliau lagi, “Saya ingin menyeru rakan-rakan sektor kewangan yang lain untuk turut menggandakan usaha bagi menganjurkan pelbagai aktiviti bahasa pada masa akan datang. Saya percaya penganjuran inisiatif bahasa ini akan dapat menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang lebih bermutu, terutamanya apabila berinteraksi dengan pelanggan atau dalam apa jua komunikasi berkaitan urusan seharian dalam sektor kewangan.”
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr. Hazami bin Jahari pula berkata, “Penganjuran pertandingan ini telah berjaya mencetuskan pemikiran kritis, pencerakinan dan inovasi dalam kalangan peserta dalam meneliti strategi yang dapat memperkukuh Malaysia dan ASEAN melalui sektor kewangan dan ekonomi.”
Selain itu, Dr. Hazami berkata, “Penganjuran Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia merupakan manifestasi usaha berterusan dalam melestarikan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor kewangan.”
Selain pidato bertema, para peserta juga dinilai melalui aspek persembahan spontan yang memerlukan peserta menyampaikan pidato mengikut soalan yang diajukan oleh juri secara rawak. Melalui pidato spontan ini, peserta telah mempamerkan kebolehan masing-masing dalam melontarkan idea yang bernas dan kreatif berkaitan dengan isu-isu ekonomi dan kewangan ASEAN.
Pertandingan Pidato Piala Gabenor bukan sekadar pentas pertandingan, tetapi wadah yang menyatukan pengawal selia, industri kewangan, hingga badan bahasa untuk bersama-sama memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan profesional.
Bank Negara Malaysia
26 November 2025
Perihal Pidato Piala Gabenor
Pidato Piala Gabenor yang dianjurkan dengan kerjasama DBP buat kali pertama pada tahun 2009, kini sudahpun dipertandingkan sebanyak 13 kali. Pertandingan ini dianjurkan pada tahun ini dengan peringkat saringan dan akhir diadakan masing-masing pada 18 November dan 26 November 2025. Sejak mula dianjurkan, Pidato Piala Gabenor telah berjaya menarik penyertaan lebih 800 peserta daripada sektor kewangan dan lebih 100 tajuk dipidatokan berhubung dengan isu-isu semasa dalam sektor kewangan.
Untuk maklumat lanjut tentang Pidato Piala Gabenor, layari bnm.gov.my/pidato.
Bank Negara Malaysia
26 November 2025
© Bank Negara Malaysia, 2025. All rights reserved.