Undang-Undang
Bagi membolehkan Bank memenuhi matlamat sebagai sebuah bank pusat, Bank diperuntukkan kuasa perundangan yang komprehensif di bawah undang-undang berikut untuk mengawal dan menyelia sistem kewangan. Undang-undang ini termasuk:
Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011
Akta yang menyediakan peruntukan bagi pelesenan, pengawalan dan penyeliaan perniagaan perkhidmatan wang serta perkara yang berkaitan.
Muat Turun: Akta Perniagaan Perkihdmatan Wang (Pindaan) 2024
Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Aktiviti Terhad dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) (Akta 613)
Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Aktiviti Terhad dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) menyediakan peruntukan bagi kesalahan berkaitan pengubahan wang haram dan pembiayaan aktiviti terhad serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah kesalahan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan aktiviti terhad. AMLA juga memperuntukkan kuasa penyiasatan serta pelucuthakan harta yang terlibat dengan atau yang diperoleh menerusi kesalahan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan aktiviti terhad, serta harta pengganas, harta pencambah, hasil daripada aktiviti haram dan peralatan yang berkaitan sesuatu kesalahan.
Jadual Pertama AMLA menyenaraikan institusi pelapor iaitu institusi kewangan, institusi kewangan bukan bank serta perniagaan dan profesion bukan kewangan yang ditentukan, yang dikehendaki untuk melaksanakan obligasi tertentu bagi mencegah kesalahan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan aktiviti terhad.
AMLA turut mentakrifkan kesalahan berat, yang jika dilakukan, berkemungkinan akan menyebabkan seseorang individu memperoleh manfaat atau menerima hasil daripada kesalahan tersebut.
AMLA menggalakkan pendekatan secara kolaboratif yang melibatkan pelbagai agensi dengan menetapkan kuasa dan fungsi:
- pihak berkuasa berwibawa, yang bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan obligasi oleh institusi pelapor, memudahkan penguatkuasaan AMLA serta bekerjasama dengan unit risikan kewangan asing;
- agensi penguat kuasa, yang bertanggungjawab untuk menyiasat kesalahan di bawah AMLA; dan
- Pihak berkuasa kawal selia atau pengawasan, yang bertanggungjawab untuk memudahkan pelaksanaan AMLA.
Menteri Kewangan telah melantik Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pihak berkuasa berwibawa di bawah AMLA. BNM bertanggungjawab untuk melaksanakan fungsi-fungsi sebagai pihak berkuasa berwibawa sebagaimana diperuntukkan di bawah AMLA.
Tarikh mula berkuat kuasa: 15 Januari 2002
Nota:
Dokumen ini masih belum diselaraskan dengan pindaan terkini, iaitu Akta A1761, yang diwartakan pada 14 Mei 2025 dan mula berkuat kuasa pada 1 Mac 2026.
Dokumen:
