Speeches & Interviews
Filter by year
Filter by speaker
Filter by year
Filter by speaker
Ucapan oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani
di Majlis Perasmian Karnival Celik Kewangan Terengganu
Mayang Mall, Kuala Terengganu | 26 Jun 2026
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat bersama-sama pada hari ini sempena Karnival Celik Kewangan Terengganu 2026. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, ahli-ahli FEN, institusi kewangan, agensi kerajaan serta semua rakan strategik yang telah menjayakan program ini. Tidak dilupakan, ribuan terima kasih kepada para pengunjung yang sudi hadir. Kehadiran anda adalah pemangkin kejayaan karnival ini.
Kita hadir hari ini dengan macam-macam tujuan, ada yang membeli keperluan, ada yang meluangkan masa bersama keluarga, ada yang jalan-jalan makan angin. Tetapi ada satu hakikat yang sama, kita semua akan membuat sekurang-kurangnya satu keputusan kewangan hari ini. Sama ada membeli, membuat pembayaran digital atau menangguhkan perbelanjaan. Itu sebabnya Karnival Celik Kewangan diadakan di sini – kerana keputusan kewangan berlaku di sini seperti mana dalam kehidupan harian kita.
Dunia hari ini berubah dengan pantas. Dengan sentuhan, kita boleh membeli, pindah duit, memohon pinjaman atau melabur. Kemudahan ini membawa manfaat besar, tetapi juga menimbulkan cabaran termasuk risiko belanja berlebihan dan penipuan kewangan yang semakin canggih. Di Terengganu sendiri, dalam enam bulan pertama tahun lalu sahaja, hampir RM18 juta kerugian akibat scam Ini bukan angka kecil. Jumlah ini ialah simpanan bertahun-tahun, dana pendidikan anak-anak dan modal perniagaan keluarga yang lenyap dalam sekelip mata.
Mangsa pula datang daripada pelbagai latar belakang - penjawat awam, pesara dan peniaga kecil. Mereka menjadi mangsa bukan kerana tidak bijak. Mereka menjadi mangsa kerana taktik penjenayah yang semakin licik dan meyakinkan. Sebab itulah celik kewangan hari ini bukan lagi sesuatu yang kita suka-suka hendak tahu, tetapi satu kemahiran hidup yang penting.
Dengan ini, saya ingin mengambil peluang untuk memberi tiga pesanan kepada rakyat Terengganu dan Pantai Timur.
Mesej Kewangan I: Memperkukuh daya tahan kewangan
Pertama, bina asas kewangan yang kukuh. Realitinya, sebanyak 41% rakyat Malaysia lebih cenderung berbelanja, dan 61% tidak mempunyai simpanan kecemasan RM1,000. Jelas sekali, membina asas kewangan yang kukuh kini menjadi satu keperluan mendesak. Bukan tentang menjadi kaya, tetapi untuk mempunyai simpanan kecemasan, perlindungan dan ketenangan fikiran untuk masa depan. Pengurusan kewangan yang berkesan memerlukan penghayatan nilai seperti kesederhanaan, saling membantu, kebertanggungjawaban dan keseimbangan, selari dengan prinsip Islam yang wajar dijadikan landasan.
Selaras dengan nilai-nilai yang disebutkan tadi, aspek perlindungan kewangan juga tidak harus dipandang ringan. Perlindungan insurans atau takaful boleh membantu kita pada waktu susah. Ini termasuk perlindungan bagi rawatan perubatan, kebakaran dan kemalangan. Malah, masih terdapat keluarga yang tidak menyedari bahawa insan tersayang telah meninggalkan perlindungan takaful atau insurans untuk kebajikan mereka. Berdasarkan anggaran Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), terdapat kira-kira 50 ribu polisi insurans dan sijil takaful yang berkemungkinan berhak menerima manfaat kematian tetapi masih belum dituntut. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh syarikat insurans dan takaful termasuklah menghantar surat serta menggunakan ejen untuk menghubungi waris. Sehubungan itu, bagi meningkatkan kecekapan proses pembayaran tuntutan manfaat, pada hari ini saya berbesar hati melancarkan portal Semak Kasih. Portal ini memudahkan waris menyemak kewujudan perlindungan serta menghubungi penyedia berkaitan untuk tindakan lanjut. Langkah ini penting bagi memastikan manfaat tersebut sampai kepada keluarga yang berhak.
Bagi mereka yang berniaga, institusi kewangan juga terus menyokong usahawan mikro dan PKS melalui pelbagai skim pembiayaan, termasuk pembiayaan mikro tanpa cagaran hingga RM100,000. Bagi yang terjejas akibat konflik di Asia Barat, Bank Negara Malaysia turut menyediakan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS berjumlah RM5 bilion, dengan pembiayaan modal kerja hingga RM750,000 untuk membantu mereka terus beroperasi. Manakala, inisiatif seperti iTEKAD telah memberi manfaat kepada lebih 14,000 peserta di seluruh negara, termasuk 600 peserta di Terengganu, dalam meningkatkan pendapatan dan kehidupan mereka.
Dalam memastikan manfaat kewangan seperti ini dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, FEN juga komited supaya tiada golongan yang terpinggir, termasuk komuniti OKU. Sebuah laman sesawang telah dibangunkan sebagai pusat sehenti yang menyediakan pendidikan kewangan yang inklusif dan lebih mudah diakses. Usaha ini disokong oleh industri kewangan ke arah membina ekosistem yang lebih inklusif, daripada menyediakan maklumat produk yang mudah diakses kepada menambah baik platform digital agar lebih mesra OKU.
Mesej Kewangan II: Menggunakan perkhidmatan kewangan digital dengan bijak
Kedua, gunalah kemudahan kewangan digital dengan bijak. Pendigitalan membuka peluang ekonomi yang lebih besar, khususnya kepada usahawan kecil yang kini boleh menerima pembayaran dan mengembangkan perniagaan dengan lebih mudah.
Namun, kemudahan ini datang dengan tanggungjawab. Sebelum melabur, semak dahulu. Sebelum berkongsi maklumat, fikir dahulu. Dalam era digital yang memudahkan transaksi di hujung jari, kita juga berdepan dengan kecenderungan untuk berbelanja secara berlebihan tanpa kawalan. Kajian menunjukkan kira-kira 37% rakyat Malaysia cenderung berbelanja secara impulsif dalam talian. Kadangkala, satu minit berfikir mampu menyelamatkan wang yang kita kumpulkan bertahun-tahun.
Mesej Kewangan III: Membina Belia yang Celik Kewangan
Ketiga, kita perlu membina generasi masa depan yang celik kewangan. Kepada ibu bapa yang hadir pada hari ini, saya percaya kita semua mahu anak-anak mendapat pendidikan yang baik, pekerjaan yang baik dan memulakan kehidupan dewasa dengan keadaan yang lebih baik daripada generasi kita. Mengikut kajian, sebanyak 26% rakyat Malaysia mengakui bahawa mereka mempunyai terlalu banyak hutang. Masalah ini sebenarnya berpunca daripada keputusan kewangan yang dibuat semasa mula memasuki alam pekerjaan dan inilah kesilapan yang kita ingin elakkan daripada berlaku kepada anak-anak kita. Kita mahu anak-anak kita belajar daripada kita, bukan mengulangi kesilapan kita.
Pelbagai usaha telah kita buat termasuk pertandingan MyDuitStory yang memberi ruang kepada pelajar institusi pengajian tinggi berkongsi pengalaman kewangan mereka melalui pendekatan kreatif yang mencerminkan realiti kehidupan anak muda hari ini. Pada hari ini juga, FEN bersama Universiti Malaysia Terengganu akan melancarkan Program FEN PROAKTIF 2.0 yang bertujuan membantu pelajar bersedia menghadapi dunia pekerjaan dengan asas kewangan yang kukuh. Keputusan kewangan yang dibuat pada usia 20-an sering memberikan kesan kepada kehidupan pada usia 40-an dan 50-an. Sebagai contoh, RM100 sebulan sejak usia 20-an mungkin nampak sederhana, tetapi melalui pulangan atau simpanan, jumlah ini boleh berkembang menjadi puluhan ribu ringgit dalam jangka panjang. Itu sebabnya pendidikan kewangan perlu bermula lebih awal.
Kita mungkin tidak dapat mengawal keadaan ekonomi global atau perubahan teknologi. Tetapi kita boleh mengawal keputusan kewangan kita setiap hari. Pilihlah untuk menyimpan, berbelanja secara berhemah, melindungi diri dan terus menambah ilmu.
Sebagai seseorang yang pernah membesar dan bersekolah di negeri ini, harapan saya adalah supaya dapat melihat lebih banyak keluarga mempunyai simpanan, lebih ramai anak muda berdisiplin dalam kewangan, dan lebih ramai usahawan berjaya meningkatkan kehidupan mereka. Kerana celik kewangan bukan sekadar soal wang, tetapi tentang ketenangan dan masa depan yang lebih diyakini. Jadi, ambil peluang hari ini untuk tambah ilmu, buat keputusan bijak, dan bina masa depan yang terjamin.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Karnival Celik Kewangan Terengganu 2026.
Lihat juga: Slaid Pelancaran KCK Terengganu 2026

Bank Negara Malaysia
26 Jun 2026