Ucaptama oleh Gabenor Dato' Sri Abdul Rasheed Ghaffour pada Majlis Makan Malam ke-103 Persatuan Alumni Kolej Perubatan King Edward VII, Universiti Malaya, dan Universiti Singapura🔸
Petaling Jaya | 21 November 2026
"Satu Nadi. Satu Tujuan. Penjagaan yang Lebih Baik."
Saya amat berbesar hati dapat bersama-sama anda pada hari ini. Universiti Malaya akan sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hati saya. Namun, harus saya akui bahawa bidang pengajian saya ialah ekonomi, bukannya perubatan. Jadi, soal pertimbangan klinikal, eloklah saya serahkan kepada pakar-pakar di dalam dewan ini.
Tetapi malam ini, saya ingin bermula dengan sesuatu yang difahami oleh setiap doktor. Tentang pentingnya denyutan nadi. Ia antara perkara pertama yang diperiksa. Bukan kerana ia memberitahu kita segala-galanya, tetapi kerana ia memberitahu kita bila sesuatu memerlukan perhatian.
Denyutan nadi yang tinggi boleh disebabkan oleh pelbagai perkara. Yang penting bukan sekadar menurunkan angkanya. Sebaliknya, kita perlu:
Memahami mengapa ia meningkat;
Membuat diagnosis yang tepat;
Memberikan rawatan yang tepat;
Dan akhirnya, memastikan pesakit menjadi lebih baik.
Saya rasa ada pengajaran di situ untuk kita apabila berdepan dengan cabaran sistem kesihatan Malaysia hari ini. Kerana sistem kesihatan kita juga mempunyai nadinya sendiri. Dan hari ini, nadi itu sedang memberi isyarat bahawa ada sesuatu yang memerlukan perhatian kita.
Nadi
Malaysia pernah mendengar isyarat nadi ini sebelum ini. Pada tahun-tahun awal negara kita, kebanyakan perkhidmatan kesihatan tertumpu di bandar. Namun, majoriti rakyat Malaysia ketika itu tinggal di kampung. Cabarannya ialah akses. Maka Malaysia membina rangkaian klinik desa di seluruh negara. Penjagaan kesihatan menjadi sebahagian daripada usaha membina negara, seiring dengan sekolah, bekalan elektrik dan air bersih. Hasilnya, tahap kesihatan rakyat Malaysia meningkat dengan begitu ketara.
Beberapa dekad kemudian, satu detik penting berlaku pada tahun 1991. Kementerian Kesihatan memulakan siasatan terhadap kematian ibu bersalin dan kualiti penjagaan yang diterima oleh para ibu. Para profesional kesihatan diberi ruang untuk bercakap secara terbuka tentang kelemahan dalam penyampaian rawatan. Keterbukaan itu amat penting. Ia memberi kita diagnosis yang lebih jelas. Ia membolehkan kita belajar, mengubah dasar dan akhirnya mengurangkan kadar kematian ibu dengan ketara.
Dua zaman yang berbeza. Dua masalah yang berbeza. Tetapi nalurinya sama:
Beri perhatian kepada isyarat.
Fahami masalahnya.
Bertindak bersama.
Perbaiki hasilnya.
Naluri yang sama penting bagi kita hari ini.
Sistem kesihatan kita telah banyak berubah. Sepanjang beberapa dekad lalu, hospital swasta telah berkembang. Insurans dan takaful perubatan pula memainkan peranan yang semakin penting dalam membantu rakyat Malaysia membiayai rawatan. Ini bermakna apa yang berlaku di hospital tidak lagi terhenti di hospital. Kesannya mengalir kepada syarikat insurans dan pengendali takaful. Ia sampai kepada isi rumah, walaupun ketika mereka tidak berada di wad.
Kita dapat melihat tekanannya. Hari ini, perbelanjaan swasta, termasuk insurans dan perbelanjaan daripada poket sendiri, hampir menyamai perbelanjaan awam. Pada tahun 2003, pembayaran pelan perubatan adalah kurang daripada RM1 bilion. Sedikit lebih dua dekad kemudian, jumlahnya telah meningkat lebih tiga belas kali ganda. Kos perubatan meningkat. Tuntutan meningkat. Dan premium turut meningkat. Bagi sesetengah keluarga, semakin sukar untuk mengekalkan perlindungan perubatan yang bermakna. Ini semua tanda-tanda vital yang penting. Tetapi ia bukan diagnosisnya.
Diagnosis
Seorang doktor yang baik tidak akan merawat denyutan nadi yang tinggi hanya dengan cuba menurunkan angkanya. Anda tentu akan bertanya, apakah puncanya? Kita perlu melakukan perkara yang sama terhadap kos penjagaan kesihatan. Premium mungkin gejala yang paling ketara. Pengguna merasainya secara langsung, walaupun ketika mereka berada di rumah. Mengekang premium tanpa menangani kos rawatan tidak menyelesaikan masalah. Ia sekadar memindahkan tekanan ke tempat lain. Maka kita perlu melihat lebih jauh daripada apa yang kelihatan di permukaan: Mengapa kos penjagaan kesihatan semakin meningkat?
Sebahagian daripada jawapannya bersifat struktural. Kita hidup lebih lama, dan sering kali dengan lebih banyak penyakit kronik. Jangkaan kita terhadap perubatan semakin tinggi. Dengan ujian, ubat-ubatan dan teknologi yang semakin canggih, kos diagnosis dan rawatan turut meningkat. Kita mahukan perkhidmatan penjagaan yang berteraskan sentuhan manusia. Maka penjagaan kesihatan kekal sangat intensif tenaga kerja. Tekanan ini bukan bersifat sementara. Dan apabila Malaysia semakin menua dengan pesat, isu-isu ini akan menjadi semakin penting. Kita juga perlu menjawab beberapa persoalan yang lebih sukar:
Berapa banyak daripada peningkatan perbelanjaan berpunca daripada kenaikan kos input?
Berapa banyak disebabkan rawatan yang semakin kompleks?
Berapa banyak pula hanya kerana kita menggunakan lebih banyak perkhidmatan kesihatan?
Dan akhirnya, adakah kita mendapat hasil terbaik daripada setiap ringgit yang kita belanjakan?
Soalan terakhir itu penting. Kerana tujuan penjagaan kesihatan bukanlah untuk menghasilkan semakin banyak penjagaan kesihatan. Tujuannya ialah kesihatan yang lebih baik.
Para doktor tentu memahami perkara ini secara naluri. Seorang pesakit tidak menjadi lebih sihat hanya kerana lebih banyak ujian dibuat, lebih banyak imbasan dijalankan atau lebih banyak prosedur dilakukan.
Yang penting ialah:
Sama ada intervensi itu benar-benar diperlukan.
Sama ada rawatan itu berkesan.
Sama ada pesakit menjadi lebih baik.
Kita perlu membawa disiplin yang sama kepada sistem kesihatan secara keseluruhannya. Bagi Bank Negara Malaysia, persoalan ini juga penting kerana pembiayaan penjagaan kesihatan swasta berada di persimpangan antara penjagaan kesihatan, daya tahan kewangan dan akhirnya, kesejahteraan isi rumah. Tanggungjawab kami adalah melalui pengawalseliaan dan penyeliaan terhadap syarikat insurans dan pengendali takaful, di samping tanggungjawab yang lebih luas untuk kestabilan kewangan dan perlindungan pengguna.
Oleh itu, kami turut menilai tahap kesihatan sistem pembiayaan. Dari sudut ini, peningkatan premium hanya menceritakan sebahagian daripada kisah sebenar. Ia cuma gejala yang paling mudah dilihat. Tetapi diagnosis yang semakin jelas ialah pembiayaan tidak boleh dipisahkan daripada cara penjagaan kesihatan diatur, disampaikan dan dibayar. Dan ini membawa kita kepada rawatannya.
Rawatan
Keadaan yang kompleks jarang sekali mempunyai hanya satu punca. Dan lebih jarang lagi ia mempunyai hanya satu rawatan.
Tiada satu preskripsi tunggal untuk reformasi penjagaan kesihatan:
Reformasi insurans penting, tetapi insurans sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah inflasi perubatan.
Ketelusan harga penting, tetapi maklumat sahaja tidak dapat mengubah tingkah laku.
Data yang lebih baik penting, tetapi teknologi sahaja tidak dapat menghasilkan outcome yang lebih baik.
Itulah sebabnya RESET menghimpunkan kerajaan, melalui Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan, bersama pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem penjagaan kesihatan. Masalah yang kita hadapi tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana satu pihak dalam ekosistem ini secara bersendirian.
Di terasnya ialah satu prinsip yang mudah: Kualiti. Kemampuan. Kemampanan. Ketiga-tiganya mesti bergerak seiring.
Penjagaan kesihatan yang mampu dibayar tetapi tidak mampan tidak akan kekal mampu dibayar untuk jangka panjang.
Sistem yang mampan dari segi kewangan tetapi di luar kemampuan rakyat biasa tidak akan memenuhi tujuannya.
Dan kos yang lebih rendah dengan mengorbankan kualiti bukanlah penyelesaian sama sekali.
Para doktor amat memahami bahawa tubuh yang sihat merupakan satu sistem dengan pelbagai daya yang bertentangan tetapi kekal dalam keseimbangan. Insulin dan glukagon. Simpatetik dan parasimpatetik. Setiap satunya menarik ke arah yang berbeza. Namun, ketegangan itulah yang membolehkan sistem berfungsi.
Begitu juga dengan reformasi. Kita tidak akan sentiasa bersetuju. Kita tidak akan sentiasa mahukan perkara yang sama. Tetapi kita perlu sama-sama bergerak ke arah tujuan bersama.
Maka, rawatan yang kita perlukan mempunyai beberapa komponen.
Pertama, kita memerlukan asas yang lebih kukuh bagi perlindungan perubatan. Di sinilah MediAsas, pelan asas insurans dan takaful perubatan kita, memainkan peranan. Apabila dilancarkan pada Januari akan datang, ia bertujuan menjadikan perlindungan perubatan yang bermakna lebih mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia.
Ia menyediakan asas penting yang membolehkan kita menggalakkan perubahan yang lebih luas dalam sistem kesihatan. Pada masa yang sama, MediAsas direka untuk terus berkembang. Ia akan dinilai secara berkala oleh sebuah lembaga bebas bagi memastikan manfaat dan penetapan harganya kekal relevan.
Kedua, kita memerlukan maklumat yang lebih baik. Pesakit tidak dapat membuat keputusan dengan baik jika mereka tidak memahami kos rawatan. Ketelusan harga yang lebih tinggi memberikan pesakit titik rujukan yang lebih jelas dan membantu mewujudkan disiplin yang lebih kukuh dalam keseluruhan sistem.
Selain harga ubat-ubatan, kos rawatan bagi prosedur yang paling lazim juga telah diterbitkan.
Ketiga, kita perlu memberi tumpuan kepada nilai. Kita perlu beralih secara beransur-ansur daripada volume kepada value, daripada kuantiti kepada nilai. Pesakit tidak seharusnya menilai penjagaan yang baik berdasarkan jumlah imbasan atau prosedur yang diterima.
Kita sepatutnya memberi ganjaran kepada penjagaan yang berkesan, bukan semata-mata kepada jumlah penjagaan yang diberikan. Bersama-sama Kementerian Kesihatan, kami sedang membangunkan kaedah pembayaran yang menjadikan kos lebih mudah dijangka, di samping mewujudkan insentif yang lebih kukuh untuk rawatan yang sesuai dan cekap.
Melalui MediAsas, ini termasuk langkah ke arah kaedah pembayaran berasaskan diagnosis. Matlamatnya adalah supaya kos lebih mudah dijangka, sambil memberi ganjaran kepada penyedia yang lebih cekap. Apabila kos lebih dapat dijangka, perlindungan juga boleh menjadi lebih terjamin.
Keempat, kita memerlukan maklumat kesihatan yang baik. Apabila data kesihatan saling berhubung, maklumat bergerak bersama pesakit. Doktor dan pasukan penjagaan dapat melihat gambaran yang lebih menyeluruh dan membuat keputusan yang lebih baik.
Saya faham sekiranya ada yang skeptikal di dalam dewan ini. Kita telah bercakap tentang rekod perubatan elektronik, atau EMR, yang saling beroperasi selama hampir tiga dekad. Tetapi kini kita sedang beralih daripada perbincangan kepada pelaksanaan. EMR kini tersedia, dan penggunaannya akan terus diperluas dari semasa ke semasa.
Data yang saling berhubung boleh membantu kita menggunakan sumber dengan lebih baik dan mengawal kos dengan lebih berkesan. Matlamatnya bukan sekadar untuk mempunyai lebih banyak data. Matlamatnya ialah membuat keputusan yang lebih baik untuk pesakit dan untuk keseluruhan sistem.
Akhir sekali, kita memerlukan struktur sokongan penjagaan kesihatan yang lebih kukuh. Bagi pesakit, ini bermakna alat yang praktikal, maklumat yang lebih mudah difahami dan saluran yang lebih jelas untuk menyelesaikan pertikaian. Mereka perlu yakin bahawa kebimbangan mereka akan didengar dan ditangani secara adil.
Rakan-rakan dalam sektor kesihatan juga memerlukan mekanisme untuk menyelesaikan perbezaan. Healthcare Partners Protocol and Solutions Committee, atau HPPSC, menghimpunkan doktor, hospital dan syarikat insurans. Bersama-sama, mereka memperkukuh kerjasama, menyelesaikan isu tuntutan dan memperjelas protokol. HPPSC turut disokong oleh Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia.
Tiada satu pun daripada rawatan ini boleh berkesan secara bersendirian. Seorang pesakit dengan keadaan yang kompleks memerlukan satu pasukan penjagaan. Sistem kesihatan kita juga memerlukannya:
Kerajaan.
Doktor.
Hospital.
Syarikat insurans dan pengendali takaful.
Dan pesakit sendiri.
Setiap pihak mengalami sistem ini secara berbeza. Setiap satunya mempunyai kepentingan yang sah. Kita tidak akan sentiasa bersetuju. Dan itu bukan satu kelemahan.
Dalam sebuah pasukan penjagaan yang baik, perbezaan pandangan boleh membantu memperbaiki diagnosis dan memperhalusi rawatan. Yang penting ialah semua pihak kekal tertumpu pada hasil yang sama. Bagi saya, itulah makna tujuan bersama.
Dalam reformasi penjagaan kesihatan, ia bermaksud nilai dan outcome yang lebih baik untuk pesakit, disampaikan dengan cara yang mampu dibayar, mudah diakses dan mampan.
Catatan untuk para doctor
Dan ini membawa saya kepada para doktor.
Kami di Bank Negara Malaysia boleh membantu mereka bentuk kerangka pembiayaan. Kerajaan boleh menetapkan dasar. Syarikat insurans boleh mereka bentuk perlindungan. Hospital boleh mengatur penyampaian penjagaan. Teknologi boleh memberikan kita maklumat yang lebih baik.
Tetapi kami bukan orang yang duduk berhadapan dengan pesakit. Anda yang melakukannya. Kami tidak dapat memeriksa denyutan nadi pesakit. Anda boleh.
Pesakit berpaling kepada doktor apabila mereka berhadapan dengan keputusan yang sukar.
Perlukah saya menjalani ujian ini?
Adakah saya memerlukan rawatan ini?
Apakah pilihan lain yang saya ada?
Ya, pesakit bergantung kepada kepakaran teknikal anda. Tetapi mereka juga bergantung kepada pertimbangan dan panduan anda. Itulah yang memberikan para profesional perubatan peranan yang amat penting dalam reformasi ini.
Setiap keputusan klinikal turut membentuk sistem kesihatan.
Setiap ujian yang diminta.
Setiap rawatan yang disyorkan.
Setiap perbincangan mengenai pilihan alternatif.
Setiap keputusan tentang bagaimana sumber digunakan.
Secara individu, ia mungkin kelihatan seperti keputusan yang hanya melibatkan seorang pesakit. Tetapi secara kolektif, keputusan-keputusan inilah yang akan menentukan rupa sistem kesihatan Malaysia pada masa hadapan. Itulah sebabnya penjagaan kesihatan berasaskan nilai tidak boleh sekadar menjadi suatu konsep pembiayaan atau program kawal selia. Ia perlu menjadi sebahagian daripada cara kita memahami apakah yang dimaksudkan dengan penjagaan yang baik. Bukan kurang penjagaan semata-mata untuk mengurangkan kos. Tetapi penjagaan yang tepat. Pada masa yang tepat. Untuk pesakit yang tepat. Dengan hasil yang tepat.
Dan sebagai pemimpin dalam bidang perubatan, sumbangan anda lebih luas daripada itu. Andalah yang boleh membantu menjawab salah satu soalan paling sukar dalam reformasi penjagaan kesihatan: Apakah sebenarnya hasil yang baik?
Kami sebagai pengawal selia tidak seharusnya menjawab soalan itu sendirian. Syarikat insurans juga tidak seharusnya menentukannya sendiri. Kepimpinan klinikal mesti menjadi sebahagian daripada proses menentukan jawapannya.
Di situlah dunia kita bertemu. Anda menjaga kesihatan pesakit. Kami menjaga daya tahan sistem.
Tetapi akhirnya, kedua-dua tanggungjawab itu menuju kepada perkara yang sama: sebuah sistem kesihatan yang boleh terus diharapkan oleh rakyat Malaysia.
Penutup
Izinkan saya mengakhiri ucapan ini di tempat saya bermula. Dengan denyutan nadi.
Kita mewarisi sistem kesihatan ini daripada mereka yang memilih untuk menjadikannya lebih baik:
Mereka yang membawa penjagaan kesihatan kepada masyarakat di seluruh negara.
Mereka yang berani bersuara dengan jujur apabila penjagaan yang diberikan tidak mencapai tahap yang sepatutnya.
Dan mereka yang sanggup mengubah cara kerja yang sudah terbiasa apabila pesakit memerlukan sesuatu yang lebih baik.
Hari ini, kita menikmati manfaat daripada pilihan yang mereka buat. Suatu hari nanti, generasi lain pula akan hidup dengan pilihan yang kita buat. Itulah sebabnya detik ini penting.
Nadi menunjukkan tekanan. Kita mesti mendengarnya.
Diagnosis menunjukkan bahawa masalahnya lebih besar daripada sekadar premium. Kita mesti menangani puncanya.
Rawatannya memerlukan perubahan, dalam cara kita menyampaikan penjagaan, cara kita membiayainya dan pilihan yang kita buat. Kita mesti bertindak bersama.
Dan kita mesti sentiasa jelas tentang untuk siapa semua ini dilakukan: pesakit.
Rakyat Malaysia yang memerlukan rawatan apabila jatuh sakit.
Keluarga yang memerlukan perlindungan yang mampu mereka kekalkan.
Dan generasi akan datang yang akan bergantung pada apa yang kita tinggalkan.
Itulah ukuran sebenar kejayaan reformasi ini. Sama ada rakyat Malaysia boleh mendapatkan penjagaan yang mereka perlukan, dengan perlindungan kewangan yang boleh mereka harapkan.
Itulah tujuan bersama kita. Dan itulah legasi yang mesti kita tinggalkan.
Satu nadi. Satu tujuan. Penjagaan yang lebih baik.
Untuk rakyat Malaysia hari ini, dan untuk generasi yang akan datang.
Terima kasih.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.