Laporan CCRIS

Tingkatkan keputusan kewangan anda. Dapatkan maklumat lanjut mengenai Laporan CCRIS.

Gambaran Keseluruhan

Laporan CCRIS menyenaraikan sejarah pembiayaan dan pembayaran balik peminjam dalam tempoh masa 12 bulan yang lalu, seperti yang dilaporkan oleh institusi kewangan peserta.


Memahami CCRIS

Apakah CCRIS?
  • Singkatan untuk Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat.

  • Dimiliki dan dikendalikan oleh BNM untuk memudahkan pengurusan risiko kredit di antara bank.

  • CCRIS memproses data yang diterima daripada institusi kewangan peserta dan menggabungkannya menjadi laporan kredit.

  • Laporan ini akan disediakan kepada institusi kewangan, peminjam (atas permintaan) dan agensi pelaporan kredit yang diluluskan (dengan persetujuan peminjam).

  • Peminjam boleh mengakses laporan kredit mereka secara dalam talian menerusi eCCRIS tanpa bayaran.

Siapa yang boleh mengakses Laporan CCRIS?
  • Mana-mana peminjam individu atau syarikat untuk laporan kredit sendiri;

  • Mana-mana peminjam individu untuk laporan kredit perniagaan sendiri, iaitu milikan tunggal, perkongsian atau badan profesional;

  • Institusi kewangan, untuk sebarang permohonan kredit dan semasa menyemak kelayakan kredit pelanggan sedia ada; dan

  • Agensi Pelaporan Kredit yang diluluskan oleh BNM dengan kebenaran daripada peminjam.

Selain itu, Laporan CCRIS juga boleh dipohon bagi pihak:

  • syarikat, badan perniagaan atau profesional, oleh individu yang diberi kuasa oleh entiti;

  • peminjam yang telah meninggal dunia, oleh individu yang dilantik oleh Mahkamah.

Peranan BNM dan CCRIS dalam pengurusan risiko kredit perbankan

BNM memainkan peranan penting dalam pengurusan risiko kredit bank dan menggalakkan budaya kredit yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia. Budaya ini diiktiraf sebagai komponen utama infrastruktur sistem kewangan yang teguh. Semakin ramai pelabur antarabangsa mengambil kira kehadiran sistem pengurusan risiko yang berkesan dan teguh dalam ekonomi apabila membuat keputusan pelaburan.

Sejak 1982, di bawah Akta Bank Negara Malaysia 1958 (disemak 2009), BNM telah mengumpul maklumat perihal kredit peminjam daripada institusi pemberian pinjaman dan memberikan maklumat kredit terkumpul itu kepada institusi dalam bentuk laporan kredit yang boleh diakses melalui CCRIS.

Oleh hal sedemikian, CCRIS menyokong institusi kewangan dalam membuat keputusan pemberian pinjaman yang termaklum dan bertanggungjawab tepat pada masanya. Maklumat yang diperoleh daripada CCRIS juga membantu institusi kewangan mengurangkan kemungkinan isu lain seperti penipuan.


Dari manakah saya boleh mendapatkan Laporan CCRIS?

Portal eCCRIS oleh Pengguna Berdaftar

Jika anda warganegara Malaysia yang mempunyai akaun perbankan dalam talian dan BELUM mendaftar sebagai pengguna eCCRIS, sila ke mana-mana Pejabat AKPK seluruh negara untuk mendaftar di kios CCRIS.

Kiosk CCRIS

Kiosk CCRIS yang terdapat di premis Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di seluruh negara.

Agensi Pelaporan Kredit yang Diluluskan

Agensi Pelaporan Kredit mungkin mengenakan bayaran untuk khidmat mereka.


Cara mendaftar untuk mengakses eCCRIS secara dalam talian

Maklumat pendaftaran ini terpakai untuk pengguna baharu individu warganegara Malaysia dengan MyKad dan kemudahan perbankan internet. Untuk pengguna lain, cara sedia ada masih terpakai, iaitu, pendaftaran menggunakan kiosk di premis AKPK, atau secara dalam talian di BNMLINK.


Salah faham biasa berkaitan CCRIS

Misconceptions

Facts

Negative.png CCRIS ialah sistem yang menyenarai hitam peminjam.

Positive.png CCRIS hanya menyimpan butiran pembiayaan dan sejarah pembayaran balik peminjam. Ia BUKAN senarai nama peminjam dengan sejarah pembayaran balik yang lemah.

Negative.png CCRIS, CTOS, Credit Bureau Malaysia, Experian, semuanya sama sahaja.

Positive.png CCRIS dimiliki dan diurus oleh BNM. CTOS/Credit Bureau Malaysia/Experian adalah agensi pelapor kredit swasta yang berdaftar dan dikawalselia oleh Kementerian Kewangan di bawah Akta Agensi Pelapor Kredit 2010. Ketiga-tiga agensi pelapor kredit ini diluluskan oleh BNM untuk mengakses CCRIS ke arah menyediakan laporan kredit untuk pelanggan mereka, yang mungkin mempunyai lebih maklumat daripada CCRIS.

Negative.png CCRIS mempunyai maklumat lengkap tentang semua peminjam.

Positive.png CCRIS hanya merangkumi maklumat pembiayaan dan peminjam tertentu daripada institusi kewangan peserta. Institusi kewangan dan agensi pelapor kredit boleh mengumpul lebih banyak maklumat tentang peminjam daripada sumber selain CCRIS.

Negative.png CCRIS merekod semua pinjaman/pembiayaan/hutang.

Positive.png Hanya pinjaman/pembiayaan daripada institusi kewangan peserta dimasukkan dalam CCRIS. Ini termasuk semua institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM. Namun terdapat institusi kredit yang tidak menyertai CCRIS.

Negative.png Sesiapa sahaja boleh mengakses Laporan CCRIS saya.

Positive.png Laporan CCRIS adalah sulit. Hanya institusi kewangan peserta dan agensi pelapor kredit (dengan izin anda) yang diluluskan BNM sahaja boleh mengakses CCRIS. Penggunaan CCRIS dikawal ketat, dan penalti akan dikenakan untuk akses tanpa kebenaran, penyelewengan, atau penyalahgunaan maklumat.

Negative.png CCRIS masih menunjukkan rekod bayaran lewat saya walapun ia sudah diselesaikan.

Positive.png Jika anda sudah membetulkan bayaran balik pinjaman yang terlewat, fakta ini akan dipaparkan dalam rekod bulan berikutnya. Namun, kelewatan bayaran balik yang lama masih akan dipaparkan kerana Laporan CCRIS menunjukkan rekod pembayaran 12 bulan yang lalu.

Negative.png Laporan CCRIS ketinggalan zaman.

Positive.png Institusi kewangan peserta bertanggungjawab untuk memberikan maklumat kredit yang tepat dan terkini mengenai peminjam kepada BNM. Pengemaskinian sejarah kredit peminjam hanya boleh dibuat oleh institusi kewangan terbabit, dan akan dicerminkan dalam CCRIS pada hari ke-10 bulan berikutnya, tertakluk kepada cuti umum.

Apakah data yang ada dalam CCRIS?

BNM mengumpul data berkaitan kredit mengenai semua peminjam institusi kewangan peserta di Malaysia. Pengumpulan dan pendedahan maklumat daripada BNM dikawal oleh peruntukan undang-undang dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 (CBA), Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (DFIA).

Bagi setiap peminjam, institusi kewangan peserta dikehendaki melaporkan kepada BNM maklumat berikut:

  • Profil peminjam, seperti nama, kad pengenalan/nombor pendaftaran perniagaan, tarikh lahir/pendaftaran, alamat, dsb.;

  • Butiran permohonan kredit, seperti jumlah yang dipohon, tarikh permohonan, jenis kemudahan; dan

  • Butiran akaun kredit, seperti jenis kemudahan kredit, had kredit, baki tertunggak, jumlah ansuran, pengendalian akaun dan status tindakan undang-undang, jika ada.

Maklumat dikemas kini oleh institusi kewangan yang mengambil bahagian secara berkala. Maklumat rujukan mengenai butiran peminjam yang disediakan oleh institusi kewangan yang mengambil bahagian disahkan berdasarkan rekod rasmi Jabatan Pendaftaran Negara bagi individu Malaysia, dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi syarikat yang berdaftar di Malaysia dan perniagaan yang berdaftar di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Maklumat dikemas kini oleh institusi kewangan peserta secara berkala. Maklumat rujukan mengenai butiran peminjam yang disediakan oleh institusi kewangan peserta disahkan berdasarkan rekod rasmi Jabatan Pendaftaran Negara bagi individu Malaysia; Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi syarikat yang berdaftar di Malaysia dan perniagaan yang berdaftar di Semenanjung Malaysia dan Labuan

Nota:

"Peminjam" termasuk individu, perniagaan (pemilik tunggal dan perkongsian), syarikat, badan profesional, pertubuhan, persatuan dan entiti Kerajaan.

Kerahsiaan data CCRIS

Maklumat kredit yang diberikan oleh BNM kepada institusi kewangan peserta (PFI) diklasifikasikan sebagai sulit.

Institusi kewangan peserta (PFI) dikehendaki mematuhi peruntukan kerahsiaan perbankan dalam undang-undang -- seperti Akta Bank Negara Malaysia 2009, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2003 -- yang melarang mendedahkan perihal peminjam kepada pihak ketiga kecuali dalam keadaan yang dibenarkan oleh undang-undang seperti ketika prosiding mahkamah antara peminjam dan institusi kewangan peserta (PFI). Pendedahan itu dibenarkan di bawah mana-mana undang-undang, atau apabila diberi kebenaran secara bertulis oleh peminjam.

Peruntukan undang-undang juga mengenakan hukuman berat untuk akses tanpa kebenaran, penyelewangan atau penyalahgunaan maklumat oleh mana-mana pihak yang telah diberikan akses kepada maklumat tersebut, termasuk BNM.

Penggunaan laporan kredit dalam institusi kewangan peserta (PFI) dikawal ketat oleh dokumen polisi yang dikeluarkan kepada institusi oleh BNM.

Di samping itu, keselamatan maklumat dipertingkatkan dengan penggunaan kad berasaskan cip, kata laluan dan teknologi keselamatan yang lain.

BNM juga menyimpan rekod semua permohonan laporan kredit oleh institusi kewangan peserta (PFI). Antara perincian rekod yang disimpan ialah nama PFI, nama pegawai PFI dan masa PFI yang berkenaan memohon laporan kredit atau mengakses pangkalan data CCRIS.

Ketepatan data CCRIS

Adalah penting untuk maklumat kredit yang disimpan dalam CCRIS boleh dipercayai. BNM bergantung kepada institusi kewangan peserta (PFI) untuk memberikan maklumat yang betul pada tepat masanya. Adalah menjadi tanggungjawab institusi kewangan peserta (PFI) untuk memastikan maklumat kredit peminjam dikemaskinikan serta dilaporkan dengan betul kepada BNM.

Sekiranya terdapat maklumat salah yang dikenal pasti oleh intitusi kewangan peserta (PFI) atau dimaklumkan oleh peminjam, institusi kewangan peserta (PFI) mesti membetulkan maklumat tersebut dalam jangka masa yang munasabah dengan menghantar pindaan kepada BNM.

BNM bertanggungjawab untuk memastikan sistem CCRIS selamat dan dilindungi daripada akses tanpa kebenaran serta keselamatan dan integriti maklumat kredit yang dilaporkan oleh institusi kewangan peserta (PFI) sentiasa dikekalkan.

Sebagai pentadbir sistem, BNM tidak meminda, mengubah suai atau mengemas kini maklumat kredit dalam CCRIS. Sebarang pindaan, pengubahsuaian atau pengemaskinian hanya boleh dibuat oleh institusi kewangan peserta (PFI) kecuali dalam keadaan yang memerlukan campur tangan BNM berdasarkan permohonan oleh institusi kewangan peserta (PFI) atau peminjam dan disokong dengan bukti dokumentari yang berkaitan.

Memandangkan maklumat yang terkandung dalam CCRIS disusun daripada pihak ketiga dan tidak mewakili BNM tentang kelayakan kredit peminjam, BNM tidak boleh memikul sebarang liabiliti berkenaan dengan ketepatan atau kesempurnaan maklumat. Bagaimanapun BNM akan membantu menyelesaikan sebarang aduan yang diterima daripada peminjam mengenai maklumat kredit yang tidak tepat dalam CCRIS.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?