Penyeliaan

Sebagai bank pusat Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) menyelia institusi kewangan dan infrastruktur pasaran kewangan utama bagi memastikan institusi dan infrastruktur tersebut kekal kukuh serta diurus dengan baik. Ini membolehkan isi rumah dan perniagaan terus mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan yang boleh dipercayai dengan penuh keyakinan.

Melalui aktiviti penyeliaannya, BNM menilai sama ada institusi kewangan diurus dengan baik, berdaya tahan dan berupaya untuk terus menyediakan perkhidmatan penting dalam pelbagai keadaan. Walaupun risiko dan gangguan tidak dapat dihapuskan sepenuhnya, penyeliaan yang berkesan membantu memastikan institusi kewangan kekal selamat, kukuh dan berdaya tahan serta dapat terus memberikan perkhidmatan kepada pelanggan, termasuk semasa tempoh ketidakpastian.

Selain memastikan keselamatan dan daya tahan institusi kewangan, BNM turut mengawasi amalan pasaran dan sistem pembayaran bagi menyokong layanan yang adil terhadap pengguna kewangan serta memastikan ekosistem kewangan yang lebih luas berfungsi dengan selamat. Maklumat lanjut boleh didapati di halaman Amalan Pasaran dan Pengawalseliaan dan Penyeliaan Pembayaran. 

Aspek yang diselia oleh BNM

Aktiviti penyeliaan memberi tumpuan pada bidang yang penting bagi daya tahan jangka panjang dan pengendalian institusi kewangan secara bertanggungjawab. Ini termasuk menilai keberkesanan institusi kewangan dalam mengenal pasti, mengurus dan menangani risiko seperti risiko kredit, pasaran, mudah tunai, insurans, operasi, teknologi, siber dan berkaitan iklim, serta risiko lain yang sedang muncul.

Fokus penyeliaan BNM berpandukan undang-undang Malaysia dan keperluan pengawalseliaan yang berkenaan, serta standard dan prinsip antarabangsa yang berkaitan bagi penyeliaan sektor kewangan, termasuk yang dibangunkan oleh Basel Committee on Banking Supervision (BCBS) dan International Association of Insurance Supervisors (IAIS). Standard dan prinsip ini menjadi rujukan penting bagi jangkaan penyeliaan BNM, dengan mengambil kira struktur dan keadaan sistem kewangan Malaysia.

Penilaian penyeliaan BNM mengambil kira sejauh mana institusi kewangan melaksanakan keperluan pengawalseliaan yang berkenaan secara berkesan dalam amalan, berdasarkan sifat, skala, kerumitan dan profil risiko masing-masing. Maklumat lanjut mengenai keperluan pengawalseliaan dan rangka kerja dasar BNM boleh didapati di halaman Pengawalseliaan Berhemat.

Antara bidang penyeliaan utama yang berkaitan dengan daya tahan institusi dan kestabilan kewangan adalah seperti yang berikut:

  1. Tadbir urus dan pengawasan
    BNM menilai sama ada institusi kewangan diurus secara bertanggungjawab, dengan akauntabiliti yang jelas serta pengawasan yang berkesan oleh lembaga pengarah dan pengurusan kanan. Penilaian ini berpandukan keperluan pengawalseliaan yang berkenaan serta prinsip dan standard antarabangsa berkaitan tadbir urus.

  2. Pengurusan risiko dan kawalan dalaman
    BNM menilai sama ada institusi mempunyai pengaturan yang berkesan untuk mengenal pasti, mengukur, memantau dan mengurus risiko material, yang disokong oleh kawalan dalaman yang bersesuaian serta fungsi jaminan bebas.

  3. Daya tahan kewangan
    Daya tahan kewangan merujuk kepada keupayaan sesebuah institusi kewangan untuk terus memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dan memenuhi obligasinya semasa tempoh tekanan. BNM menilai sama ada institusi mengekalkan modal dan mudah tunai yang mencukupi serta mempunyai keupayaan pengurusan risiko yang berkesan untuk menghadapi keadaan buruk dan kekal berdaya tahan.

  4. Daya tahan teknologi, siber dan operasi
    Daya tahan teknologi, siber dan operasi merujuk kepada keupayaan sesebuah institusi kewangan untuk terus menyediakan perkhidmatan kewangan kritikal dengan selamat dan boleh dipercayai, termasuk semasa berlakunya gangguan. BNM menilai cara institusi mengurus risiko teknologi, siber dan operasi serta tahap kesiapsiagaan mereka untuk bertindak balas terhadap dan pulih daripada gangguan.

  5. Risiko baharu dan berpandangan ke hadapan
    BNM memantau perkembangan yang boleh memberikan kesan kepada sektor kewangan, termasuk risiko yang timbul daripada pendigitalan, inovasi, perkembangan berkaitan iklim dan alam sekitar, jenayah kewangan, perubahan model perniagaan serta perkembangan ekonomi luaran.

Bagaimana BNM menjalankan penyeliaan

BNM menggunakan pendekatan penyeliaan yang berasaskan risiko dan berkadar. Aktiviti penyeliaan disesuaikan berdasarkan sifat, skala, kerumitan dan profil risiko institusi, dengan tumpuan diberikan kepada risiko yang boleh memberikan kesan ketara terhadap kestabilan kewangan, pengguna atau keyakinan awam.

Pendekatan penyeliaan BNM juga berpandangan ke hadapan. Pendekatan ini menggabungkan pemantauan berterusan, penilaian risiko, kajian tematik dan merentas sektor, libat urus penyeliaan serta tindakan pembetulan atau pemulihan apabila diperlukan.

  1. Pemantauan berterusan
    BNM memantau perkembangan dalam sistem kewangan dan institusi secara individu, termasuk prestasi kewangan, dedahan risiko, perkembangan pasaran dan kerentanan yang sedang muncul. Pemantauan ini membantu penyelia mengikuti perkembangan risiko dan memberikan perhatian kepada bidang yang mempunyai tahap risiko dan kepentingan yang lebih tinggi.

  2. Penilaian risiko
    BNM menilai keberkesanan tadbir urus, pengurusan risiko, kawalan dan keupayaan daya tahan institusi kewangan. Penilaian ini membantu penyelia membentuk pandangan mengenai profil risiko sesebuah institusi dan menentukan tahap perhatian serta intensiti penyeliaan yang bersesuaian.

  3. Kajian tematik dan merentas sektor
    Apabila risiko yang sama atau kerentanan baharu timbul dalam kalangan institusi, BNM boleh menjalankan kajian tematik atau merentas sektor. Kajian ini membantu mengenal pasti trend, kerentanan dan amalan pada peringkat industri yang mungkin memerlukan perhatian dan/atau tindakan penyeliaan.

  4. Libat urus penyeliaan
    BNM mengadakan libat urus secara berkala dengan lembaga pengarah, pengurusan kanan dan fungsi kawalan utama untuk membincangkan perkembangan risiko, pemerhatian penyeliaan dan bidang yang memerlukan penambahbaikan. Libat urus ini menyokong dialog yang membina, menyelaraskan jangkaan dan memperkukuh akauntabiliti bagi memastikan tindakan diambil secara tepat pada masanya dan berkesan.

  5. Langkah pembetulan dan pemulihan
    Apabila isu penyeliaan dikenal pasti, BNM bekerjasama rapat dengan institusi kewangan bagi memastikan tindakan pemulihan dan penambahbaikan terhadap tadbir urus, pengurusan risiko serta amalan kawalan dilaksanakan tepat pada masanya. Usaha ini membantu memperkukuh daya tahan institusi serta menggalakkan sistem kewangan yang selamat, kukuh dan stabil.

BNM mengkaji semula fokus penyeliaannya secara berkala bagi memastikan perhatian terus diberikan kepada risiko dan kerentanan yang material. Maklumat mengenai perkembangan kestabilan kewangan secara keseluruhan dan bidang tumpuan yang berkaitan boleh dimuatkan dalam penerbitan berkala BNM, termasuk Laporan Tahunan dan Tinjauan Kestabilan Kewangan.

Tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan

Penyeliaan bertujuan menyokong pengenalpastian awal dan penanganan risiko serta kelemahan. Apabila isu penyeliaan dikenal pasti, BNM mengadakan libat urus dengan institusi kewangan bagi memastikan isu tersebut ditangani secara tepat pada masanya dan berkesan.

Tindakan penyeliaan dilaksanakan secara berperingkat dan berasaskan risiko, dengan mengambil kira sifat, tahap keseriusan dan potensi kesan isu yang dikenal pasti. Bergantung pada keadaan, tindakan BNM boleh merangkumi:

  • Perbincangan dan libat urus penyeliaan;

  • Permintaan untuk melaksanakan tindakan pembetulan atau pemulihan;

  • Keperluan pemantauan dan pelaporan yang dipertingkat;

  • Kajian dan pemeriksaan yang disasarkan atau lebih mendalam;

  • Langkah penyeliaan tambahan; dan

  • Tindakan penguatkuasaan, sekiranya wajar berdasarkan undang-undang dan rangka kerja pengawalseliaan yang berkenaan.

BNM berusaha menangani risiko secara berkadar, menggalakkan amalan pengurusan risiko yang kukuh serta menyokong keselamatan, kekukuhan dan daya tahan sistem kewangan secara berterusan.

Lihat juga:

 


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu?