Jawatankuasa Pengurusan
Seperti yang diperuntukkan oleh Akta Bank Negara Malaysia 2009, Gabenor bertanggungjawab terhadap pengurusan Bank dalam melaksanakan mandat yang diberikan kepada Bank. Dalam menggalas tugas dan tanggungjawab ini, Gabenor dibantu oleh pasukan pengurusan kanan yang terdiri daripada para Timbalan Gabenor dan Penolong Gabenor. Struktur organisasi Bank bertujuan untuk menggalakkan saluran pelaporan dan akauntabiliti yang jelas bagi pelbagai fungsi Bank.
Pelbagai jawatankuasa pengurusan juga ditubuhkan bagi membolehkan pasukan pengurusan kanan dan pegawai kanan Bank lain turut sama dalam perbincangan dan pertukaran pendapat mengenai urusan Bank, khususnya yang melibatkan strategi organisasi dan keutamaan terpenting. Jawatankuasa-jawatankuasa pengurusan ini termasuk jawatankuasa dasar seperti Jawatankuasa Kestabilan Kewangan serta Jawatankuasa Dasar Bersama, iaitu sebuah jawatankuasa yang ditugaskan untuk membincangkan pelbagai isu serta menyelaraskan dasar-dasar yang memberikan impak kepada sistem kewangan dan ekonomi secara amnya. Jawatankuasa-jawatankuasa pengurusan membolehkan Bank memanfaatkan pelbagai latar belakang kepakaran dan pandangan daripada seluruh Bank untuk membuat keputusan yang tepat berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada perbincangan secara terbuka dan berterus-terang.
Dengan sokongan struktur pengurusan sedemikian, pihak pengurusan kanan menetapkan dasar-dasar dalaman serta menerajui operasi Bank bagi memastikan Bank berupaya mencapai matlamatnya, melaksanakan fungsinya serta menggunakan sumber-sumbernya secara berkesan, berhemat dan selaras dengan kepentingan Bank, demi memberikan manfaat kepada negara.
Ahli-ahli Jawatankuasa
Gabenor
Dato' Sri Abdul Rasheed Ghaffour ialah Gabenor ke-10 Bank Negara Malaysia. Beliau dilantik untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai 2023. Sebagai Gabenor, Rasheed juga berperanan sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Bank, serta Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Eksekutif Kestabilan Kewangan Bank.
Rasheed menyertai Bank pada tahun 1988 dan telah menerajui pelbagai jawatan di pelbagai fungsi utama Bank. Ini termasuk dasar monetari dan ekonomi, pengurusan rizab antarabangsa dan pasaran kewangan, pembangunan sektor kewangan dan peraturan perbankan. Pada 2016, beliau dilantik sebagai Timbalan Gabenor.
Rasheed juga telah memainkan peranan utama dalam memacu usaha advokasi Bank dalam hal ehwal ekonomi, termasuk dalam bidang perlindungan sosial dan pembaharuan pasaran buruh. Ini termasuk menyokong dan menasihati Kerajaan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan pengurusan pandemik. Beliau juga memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (FSMP) dan Pelan Tindakan Sektor Kewangan (FSBP).
Di peringkat antarabangsa, Rasheed telah berkhidmat dan menjadi ahli pelbagai platform antarabangsa, seperti Islamic Financial Services Board (IFSB) dan Bank for International Settlements (BIS). Beliau juga telah memperjuangkan pelbagai usaha untuk mengukuhkan integrasi dan kerjasama kewangan serantau, seperti Rangka Kerja Integrasi Perbankan ASEAN. Sebelum ini, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Silih-Ganti di Pejabat Kumpulan Pengundi Asia Tenggara di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Rasheed merupakan bekas penuntut St. John's Institution di Kuala Lumpur, dan ialah pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Saïd Business School, University of Oxford, United Kingdom.
Timbalan Gabenor
Dato' Marzunisham dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada 15 Jun 2020. Sebagai Timbalan Gabenor, beliau bertanggungjawab ke atas sektor operasi dan penguatkuasaan, perkhidmatan perkongsian berpusat serta sektor digital dan teknologi.
Marzunisham mempunyai lebih 32 tahun pengalaman merentasi pelbagai fungsi perbankan pusat termasuklah dasar monetari dan ekonomi, pengawalseliaan dan pembangunan sektor kewangan, rangkuman kewangan dan pembangunan organisasi. Dari tahun 2015 hingga 2017, Marzunisham berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan Pengundi Asia Tenggara di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Marzunisham ialah ahli Lembaga Pengarah ASB Management Sdn Bhd, ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dan Pengerusi Jawatankuasa Audit Lembaga MIDA. Sebagai Timbalan Gabenor, Marzunisham ialah ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan Bank.
Marzunisham menyertai Bank pada tahun 1993 dan memegang Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda dalam Ekonomi dari University of Cambridge, United Kingdom.
Timbalan Gabenor
Adnan Zaylani telah dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada 1 September 2023. Beliau ialah Timbalan Gabenor yang bertanggungjawab ke atas sektor pasaran kewangan dan pembangunan.
Adnan memulakan kerjaya beliau di Bank sebagai peniaga pertukaran asing dan pengurus portfolio pada tahun 1994 dan memainkan peranan penting dalam menguruskan rizab antarabangsa, Tabung Amanah Negara dan beberapa dana sektor awam yang lain. Beliau juga menyelia operasi pasaran kewangan dan terlibat dalam menasihati kerajaan mengenai pengurusan aliran tunai dan strategi hutangnya, termasuk menyertai jerayawara Sukuk antarabangsanya pada tahun 2015 dan 2016. Beliau merupakan Penolong Gabenor untuk pasaran kewangan, pelaburan, pentadbiran pertukaran asing dan pengurusan mata wang sebelum melanjutkan pelajaran pada 2017. Setelah menamatkan pengajiannya pada tahun 2018, beliau mengambil alih sebagai Penolong Gabenor sektor pembangunan sehingga 31 Mac 2022 dan kembali menyelia pasaran kewangan dan sektor pelaburan.
Adnan ialah ahli Jawatankuasa Eksekutif Lembaga International Islamic Liquidity Management Corporation (IILM), sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk memudahkan pengurusan mudah tunai merentas sempadan dalam kalangan institusi kewangan Islam. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Universiti INCEIF serta Ahli Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjarannya. Beliau juga ialah ahli Lembaga Kumpulan Wang Persaraan Kerajaan Malaysia (Diperbadankan), termasuklah Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran Lembaga, Jawatankuasa Risiko dan Pematuhan Lembaga, serta Jawatankuasa Perolehan Lembaga. Adnan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), platform bank pusat dan industri untuk pembangunan pasaran kewangan. Beliau juga ialah ahli Jawatankuasa Infrastruktur Pasaran Kewangan (FMIC) dalam Panel Peraturan dan Pematuhannya. Adnan juga merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan Bank.
Adnan memiliki Ijazah Sarjana dalam Dasar Awam dari Blavatnik School of Government di University of Oxford, serta Ijazah Sarjana dalam Ekonomi Pasaran Global dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, kedua-duanya dari London School of Economics and Political Science, United Kingdom.
Timbalan Gabenor
Aznan dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada 1 April 2025. Sebagai Timbalan Gabenor, beliau bertanggungjawab ke atas penyeliaan dan pengawalseliaan sektor kewangan. Aznan menyertai BNM pada tahun 2004. Beliau telah berkhidmat dalam pelbagai jabatan sepanjang 21 tahun perkhidmatannya, termasuk Penyeliaan Konglomerat Kewangan, Pejabat Gabenor, Perbankan Islam dan Takaful, Pembangunan Sektor Kewangan, Unit Perisikan Kewangan, Pemantauan dan Pengawasan Kewangan dan Pengawalan Bank.
Aznan sebelum ini merupakan Pengerusi Kumpulan Penggerak Teknologi Kewangan (Financial Technology Enabler Group, FTG), di mana beliau bertanggungjawab terhadap pembangunan strategi dan dasar pengawalseliaan bagi memudahkan penggunaan teknologi dalam perkhidmatan kewangan. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengurus Besar Danamodal Nasional Berhad, syarikat bertujuan khas yang ditubuhkan untuk mempermodalkan semula institusi kewangan yang bermasalah semasa Krisis Kewangan Asia 1997.
Aznan memiliki ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dan Perakaunan dari Universiti Bristol, United Kingdom.
Penolong Gabenor
Seorang ahli bank pusat seluruh kerjayanya, Fraziali Ismail telah dilantik sebagai Penolong Gabenor pada 1 November 2019. Pada masa ini, beliau menyelia perkara yang berkaitan dengan dasar monetari, ekonomi dan pengawasan antarabangsa, serta pengurusan data dan statistik.
Sebelum ini, Fraziali menerajui sektor kawal selia kewangan Bank. Bidang tanggungjawabnya termasuk pengawasan kewangan, peraturan berhemat, tingkah laku pengguna dan pasaran, serta dasar perkhidmatan pembayaran.
Fraziali memulakan kerjayanya di Bank dalam sektor ekonomi, dan kemudiannya memegang jawatan Pengarah Jabatan Dasar Monetari dan seterusnya Jabatan Ekonomi. Dalam kerjaya yang menjangkau lebih dua dekad, beliau telah terlibat dalam beberapa jawatankuasa dasar dan pembangunan Kerajaan peringkat tinggi. Dalam kapasiti ini, beliau membantu mereka bentuk dan menasihati penggubalan dasar awam utama, khususnya untuk membantu Malaysia mengharungi Krisis Kewangan Asia (1997/98) dan Krisis Kewangan Global (2008/09). Dalam pelbagai peranannya dalam bank pusat, beliau juga telah mengarang dan menyelia penerbitan kertas kerja dan penyelidikan mengenai ekonomi Malaysia, serta dasar monetari dan kestabilan kewangan.
Di peringkat antarabangsa, Fraziali menganggotai Lembaga Taksonomi ASEAN. Beliau sebelum ini menganggotai Kumpulan Kerja Pengawasan Perbankan bagi Mesyuarat Eksekutif Bank Pusat Asia Timur-Pasifik (EMEAP), Basel Consultative Group dan Project Dunbar (projek CBDC oleh BIS).
Fraziali memegang ijazah Sarjana Ekonomi dari London School of Economics and Political Science, dan ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dan Perakaunan dari University of Bristol, United Kingdom.
Penolong Gabenor
Dr. Norhana Endut ialah Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertanggungjawab ke atas Sektor Pengawalan Kewangan, yang merangkumi bidang Pemantauan dan Pengawasan Kewangan, Dasar Kewangan Pruden, Dasar Perkhidmatan Pembayaran, serta Konsumer dan Amalan Pasaran. Sebelum itu, beliau merupakan Penolong Gabenor bagi Sektor Ekonomi.
Dr. Norhana ialah seorang ahli ekonomi berpengalaman dan bertauliah yang telah berkhidmat di BNM dalam pelbagai kapasiti, termasuk sebagai Pengarah Jabatan Dasar Monetari. Beliau kini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, serta pelbagai jawatankuasa utama lain dalam proses membuat keputusan di BNM. Selain itu, Dr. Norhana juga memantau Hab Penyelidikan Mata Wang Digital BNM serta mempengerusikan jawatankuasa kecil mengenai Menangani Jurang Data di bawah Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3). Dr.Norhana juga merupakan ahli Lembaga Pengarah di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Dr. Norhana mewakili Malaysia dalam Kumpulan Perundingan Basel di Bank for International Settlements (BIS) serta merupakan ahli Kumpulan Kerja Penyeliaan Perbankan bagi Executives’ Meeting of East Asia Pacific Central Banks (EMEAP).
Dr. Norhana memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD)dalam bidang Ekonomi Monetari dan Ekonometrik serta Sarjana Sains (MSc) dalam bidang Ekonomi dari Washington University di St. Louis, Amerika Syarikat. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains(Kepujian) dalam bidang Ekonomi dari Warwick University, United Kingdom dan telah mengikuti program Eksekutif di Harvard Business School, Amerika Syarikat.
Penolong Gabenor
Abd. Rahman Abu Bakar telah dilantik sebagai Penolong Gabenor pada 1 Mei 2021. Beliau bertanggungjawab menyediakan kepimpinan strategik dalam pembangunan Modal Insan Bank dan dalam merumus dan melaksanakan rangka kerja Modal Insan Bank.
Abd. Rahman memulakan kerjayanya di Bank pada tahun 1992 dan telah berkhidmat di pelbagai jabatan, termasuk Jabatan Perisikan dan Penguatkuasaan Kewangan, Unit Siasatan Khas, Unit Perancang Strategik, Jabatan Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Ekonomi, Jabatan Peraturan Insurans, dan Pejabat Gabenor.
Abd. Rahman berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Penolong Gabenor
Suhaimi Ali ialah seorang ahli bank pusat seluruh kerjayanya dan telah dilantik sebagai Penolong Gabenor pada 1 April 2022. Beliau kini menyelia bahagian Pembangunan Kewangan dan Inovasi, Kewangan Islam, serta Rangkuman Kewangan.
Sepanjang kerjayanya dengan Bank, beliau berkhidmat dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan sektor kewangan, pengawalseliaan dan penyeliaan, perancangan strategik, perlindungan pengguna, tatalaku pasaran, rundingan antarabangsa, strategi digital dan siber dalam perkhidmatan IT, serta di Pejabat Gabenor.
Dalam peranannya sebelum ini sebagai Pengarah Pembangunan Kewangan dan Inovasi, beliau bertanggungjawab untuk pembangunan sektor kewangan dan sistem pembayaran, serta memacu inovasi digital dalam sektor tersebut. Beliau juga baru-baru ini mengetuai pembangunan Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022 – 2026.
Suhaimi Ali merupakan lulusan University of Notre Dame, Amerika Syarikat dengan ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perakaunan).
Penolong Gabenor
Mohamad Ali Iqbal Abdul Khalid dilantik Penolong Gabenor berkuat kuasa pada 1 Jun 2024. Sebagai Penolong Gabenor, Encik Iqbal akan bertanggungjawab ke atas Jabatan Pelaburan, Operasi dan Pembangunan Pasaran, Risiko dan Infrastruktur Perbendaharaan serta Jabatan Dasar Pertukaran Asing.
Encik Iqbal memulakan kerjaya di BNM pada tahun 2002. Beliau telah berkhidmat di pelbagai jabatan di BNM, termasuk Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan, Pejabat Gabenor, Jabatan Antarabangsa serta Ketua Pejabat Perwakilan BNM di New York dan London. Encik Iqbal memegang ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Massachusetts Institute of Technology, Sarjana Sains dalam bidang Pengurusan Aset (Wealth Management) daripada Singapore Management University dan Sarjana Kejuruteraan daripada University of Durham, United Kingdom. Beliau ditauliahkan sebagai Chartered Financial Analyst (CFA) dan Chartered Banker (CB) daripada Asian Institute of Chartered Bankers (AICB).
Penolong Gabenor
Madelena Mohamed dilantik sebagai Penolong Gabenor berkuat kuasa pada 1 Februari 2025. Sebagai Penolong Gabenor, Puan Madelena akan bertanggungjawab ke atas sektor Strategi dan Kelestarian, yang merangkumi Pejabat Gabenor, Jabatan Undang-Undang, Jabatan Komunikasi Strategik dan Unit Kelestarian.
Puan Madelena memulakan kerjaya beliau di BNM pada tahun 1993 dengan berkhidmat di Jabatan Ekonomi. Sepanjang 32 tahun, beliau telah memegang peranan kepimpinan termasuk sebagai Pengarah di beberapa jabatan iaitu Jabatan Kewangan Islam, Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan, Jabatan Dasar Kewangan Pruden dan di Unit Kelestarian.
Beliau memiliki ijazah dalam bidang Ekonomi, dengan pengkhususan dalam Perakaunan dan Kewangan dari London School of Economics and Political Science. Beliau juga merupakan pemegang sijil Chartered Financial Analyst (CFA).
Penolong Gabenor
Cindy dilantik sebagai Penolong Gabenor pada 1 April 2025. Sebagai Penolong Gabenor, Cindy bertanggungjawab ke atas penyeliaan jabatan Penyeliaan Konglomerat Kewangan, Penyeliaan Perbankan, Penyeliaan Insurans dan Takaful, Penyeliaan Pakar Risiko dan Teknologi, serta Pemantauan Perkhidmatan Pembayaran.
Cindy memulakan kerjayanya dengan BNM pada tahun 1996. Sepanjang 29 tahun perkhidmatannya, Cindy telah terlibat dalam pelbagai fungsi, termasuk merumuskan dasar-dasar strategik dan pruden bagi industri perbankan dan insurans, merumus Pelan Induk Sektor Kewangan dan Pelan Tindakan Sektor Kewangan, serta merumuskan strategi liberalisasi sektor kewangan untuk rundingan perdagangan. Sebelum pelantikannya sebagai Penolong Gabenor, Cindy merupakan Pengarah Jabatan Dasar Kewangan Pruden dan Penyeliaan Perbankan.
Secara professional, Cindy ialah felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan ahli Chartered Financial Analyst (CFA).
Beliau juga memiliki ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perakaunan dan Kewangan dari Universiti Warwick, United Kingdom.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.