Hab Inovasi Aset Digital

Bank Negara Malaysia (BNM) telah membangunkan Hab Inovasi Aset Digital (Digital Asset Innovation Hub, DAIH) pada bulan Jun 2025 untuk menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab dalam ruang aset digital. Inisiatif ini bagi menyokong pendigitalan sektor kewangan Malaysia dan ekonomi yang lebih luas.
DAIH berfungsi sebagai platform kerjasama bagi inisiatif penciptaan bersama dan pembinaan keupayaan untuk mengkaji penggunaan teknologi rantaian blok untuk aplikasi dunia sebenar dalam sektor kewangan.
Hal ini termasuk menyokong ujian penyelesaian inovatif baharu dengan tujuan untuk memberikan panduan mengenai pembangunan utiliti bertahap pengeluaran (production-grade utilities) pada masa hadapan serta potensi penambahbaikan dari aspek undang-undang dan pengawalseliaan.
Pihak yang berminat boleh menghubungi dainnohub@bnm.gov.my bagi menyatakan minat untuk menyertai atau mendapatkan penjelasan lanjut.
Penciptaan Bersama di bawah DAIH
DAIH akan memberikan keutamaan kepada kes penggunaan berimpak tinggi yang mempunyai cadangan nilai yang jelas dan selaras dengan prinsip inovasi yang bertanggungjawab.
Pihak yang berminat boleh menghubungi DAIH untuk mendapatkan panduan lanjut serta meneroka potensi untuk menjalankan ujian.
Panduan Kemasukan
Bakal peserta hendaklah menunjukkan:
Cadangan nilai yang kukuh dan menangani cabaran dunia sebenar;
Tahap ketersediaan untuk menguji penyelesaian yang dicadangkan, dengan komitmen yang padu daripada rakan projek utama;
Rekod prestasi tadbir urus yang baik, kawalan dalaman yang berkesan serta amalan pengurusan risiko yang mantap; dan
Keupayaan untuk memenuhi kehendak pengawaseliaan yang berkaitan, termasuk Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) serta dasar pertukaran asing.
Kertas perbincangan Tokenisasi Aset menyediakan panduan dan hala tuju lanjut berhubung pertimbangan bagi inovasi bertanggungjawab.
Inisiatif di bawah DAIH
(Dikemas kini setakat 30 Julai 2026)
Institusi | Inisiatif |
Standard Chartered Bank Malaysia Berhad dan Capital A Berhad | Stablecoin ringgit untuk penyelesaian B2B |
Malayan Banking Berhad (Maybank) | Deposit token untuk pembayaran |
CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) | Deposit token untuk penyelesaian sekuriti token |
Pembinaan Keupayaan
Kumpulan Kerja Industri (Industry Working Group, IWG) telah ditubuhkan sebagai platform dalam kalangan institusi kewangan untuk memajukan kes penggunaan tokenisasi dalam sektor kewangan, memperkukuh keupayaan industri serta menyokong usaha pembangunan rangka kerja pengawalseliaan pada masa hadapan.
Ahli IWG
Ahli perintis:
AmBank (M) Berhad
CIMB Bank Berhad
Hong Leong Bank Berhad
Kenanga Investment Bank Berhad
Malayan Banking Berhad
MIDF Amanah Investment Bank Berhad
RHB Investment Bank Berhad
Standard Chartered Bank Malaysia Berhad
Nota: Rakan strategik lain termasuk Suruhanjaya Sekuriti dan Khazanah Nasional
Ahli pemerhati:
AEON Bank (M) Berhad
Al Rajhi Banking and Investment Corporation (M) Berhad
Bank Islam Malaysia Berhad
Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank)
China Construction Bank (M) Berhad
HSBC Bank Malaysia Berhad
J.P. Morgan Chase Bank Berhad
OCBC Bank (M) Berhad
Public Bank Berhad
United Overseas Bank (M) Berhad
Soalan Lazim
Siapakah yang boleh menyertai DAIH?
Penyertaan dalam DAIH terbuka kepada institusi kewangan yang dikawal selia, syarikat fintech serta entiti lain yang diperbadankan di Malaysia dan sedang membangunkan model atau penyelesaian perniagaan yang berkaitan aset digital. Entiti asing juga boleh menyertai DAIH melalui perkongsian dengan entiti Malaysia.
Mana-mana syarikat yang beroperasi dalam, atau berhasrat untuk memasuki, ruang aset digital dikehendaki mematuhi undang-undang dan peraturan yang terpakai, termasuk yang berkaitan dengan penerimaan deposit, Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT), dasar pertukaran asing serta aktiviti pengiriman wang.
Peserta juga perlu menunjukkan komitmen yang nyata untuk memenuhi sebarang obligasi berkaitan penggunaan aset digital untuk pembayaran, seperti yang digariskan di bawah parameter ujian yang relevan.
Apakah jenis kes penggunaan yang akan diuji/diptertimbangkan?
Pada masa ini, DAIH memberikan keutamaan kepada kes penggunaan yang merangkumi deposit token, stablecoin yang disokong ringgit, pembayaran boleh diprogram (programmable payments) dan pembayaran rantaian bekalan. Perincian lanjut dan panduan mengenai kes pengunaan ini boleh dirujuk dalam Kertas Perbincangan mengenai Tokenisasi Aset.
Kami juga mengalu-alukan pihak yang berminat untuk mengadakan perbincangan dengan kami mengenai kes penggunaan lain yang memberikan manfaat nyata kepada ekonomi.
Berapa lamakah tempoh ujian?
Kami menjangkakan bahawa tempoh ujian akan berbeza bergantung pada tahap kerumitan kes penggunaan. Oleh itu, tempoh tersebut mungkin mengambil masa hingga 6 bulan.
Apakah yang berlaku selepas tempoh ujian tamat? Adakah ujian ini akan menjurus kepada pemberian lesen atau kelulusan segera?
Penyertaan dalam DAIH tidak memberikan atau menjamin pengiktirafan daripada segi pengawalseliaan selepas tempoh ujian tamat.
Sebarang hasrat untuk melancarkan penyelesaian ini dalam persekitaran sebenar akan memerlukan penilaian lanjut daripada BNM, termasuk sebarang halangan undang-undang atau peraturan yang mungkin timbul.
Walau bagaimanapun, hasil dan pembelajaran daripada DAIH akan digunakan untuk mengenal pasti serta memudahkan potensi penambahbaikan ke atas rangka kerja pengawalseliaan bagi menyokong kemungkinan pelaksanaan inovasi ini secara langsung.
Apakah manfaat peserta menguji inisiatif mereka di bawah DAIH?
Peserta berpeluang untuk menguji dan memperoleh pengalaman secara langsung bersama-sama BNM dan peserta lain serta pada masa yang sama mempunyai akses untuk meneroka potensi bekerjasama dengan pihak lain dalam ekosistem.
Peserta juga berpeluang untuk meningkatkan pemahaman tentang model perniagaan yang berdaya maju dan kehendak pengurusan risiko yang membolehkan mereka melaksanakan inovasi secara bertanggungjawab.
Bagaimanakah DAIH berbeza daripada sandbox pengawalseliaan?
DAIH memberikan tumpuan khusus pada kes penggunaan yang berkaitan dengan Aset Digital dan menguji penyelesaian inovatif yang berkaitan. Berbeza dengan Sandbox Pengawalseliaan, halangan pengawalseliaan tidak menjadi prasyarat untuk menyertai DAIH.
Jika model atau aktiviti perniagaan yang dicadangkan menghadapi halangan pengawalseliaan di bawah pengawalseliaan sedia ada, pemohon mungkin akan diarahkan ke Sandbox Pengawalseliaan. Klik di sini untuk maklumat lanjut mengenai Sandbox Pengawalseliaan BNM.
Adakah halaman ini membantu?
Bantu kami tambah baik dengan berkongsi maklum balas.