Rangka Kerja Pengawalseliaan Perkhidmatan Pembayaran

Peranan BNM dalam Perkhidmatan Pembayaran

BNM menyelia ekosistem perkhidmatan pembayaran di Malaysia bagi menggalakkan sistem dan perkhidmatan pembayaran yang selamat, boleh dipercayai, dan cekap.

Akta Bank Negara Malaysia 2009 (CBA) menetapkan mandat menyeluruh BNM untuk menyelia sistem pembayaran dan infrastruktur pasaran kewangan. Mandat ini dilengkapkan oleh Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA), yang menyediakan rangka kerja kawal selia bagi sistem pembayaran dan penyedia perkhidmatan pembayaran utama, termasuk sistem yang penting secara sistemik kepada sistem kewangan Malaysia.

Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA) pula mengawal selia sektor perniagaan perkhidmatan wang secara khusus, dengan keperluan kawal selia yang bertujuan untuk memperkukuh integriti dan profesionalisme industri tersebut, mencegah aktiviti menyalahi undang-undang, serta melindungi pengguna.

Melalui rangka-rangka kerja ini, BNM melaksanakan kawal selia dan penyeliaan yang berasaskan risiko serta berkadar, dengan berpandukan piawaian antarabangsa—seperti Prinsip bagi Infrastruktur Pasaran Kewangan (PFMI) oleh CPMI-IOSCO—yang bersesuaian. Secara keseluruhan, rangka kerja ini menyokong ekosistem perkhidmatan pembayaran yang berdaya tahan, dipercayai, dan mampu berkembang selaras dengan keperluan ekonomi Malaysia.

Akta Bank Negara Malaysia 2009

Melaksanakan pengawasan terhadap sistem pembayaran

Akta Perkhidmatan Kewangan 2013/Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013

Memupuk sistem pembayaran dan instrumen pembayaran yang selamat, cekap dan boleh dipercayai

Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011


Memperkukuh perlindungan dan memelihara integriti industri perniagaan perkhidmatan wang

Untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan dengan melaksanakan peranan yang berikut:

Pengendali

  • Mengendalikan Sistem Pembayaran Bernilai Besar (Large-Value Payment System, LVPS)

Pengawas

  • Memastikan sistem pembayaran dan perniagaan perkhidmatan wang adalah selamat, cekap dan boleh dipercayai
  • Mengenal pasti dan mengurus potensi risiko dalam sistem pembayaran dan perniagaan perkhidmatan wang
  • Meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap penggunaan sistem pembayaran dan perniagaan perkhidmatan wang

Pemudah Cara

  • Mempercepat peralihan kepada pembayaran digital
  • Menggalakkan inovasi untuk memajukan perkhidmatan pembayaran
  • Memodenkan dan meningkatkan piawaian profesionalisme dalam industri perniagaan perkhidmatan wang

Rangka Kerja Kawal Selia bagi Pembayaran Nilai Besar dan Runcit

Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act, FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Islamic Financial Services Act, IFSA)

FSA dan IFSA ialah akta yang mengawal selia sistem pembayaran dan peserta industri. Kedua-dua akta ini bertujuan untuk menggalakkan ekosistem pembayaran yang selamat, cekap dan boleh dipercayai. FSA dan IFSA membolehkan BNM menetapkan sistem pembayaran yang dianggap penting dari segi sistemik, iaitu sekiranya berlaku gangguan terhadap sistem tersebut, keadaan ini boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem pembayaran secara keseluruhan atau memberikan kesan terhadap kestabilan monetari atau kewangan.

Terdapat tiga sistem pembayaran yang ditetapkan di Malaysia:

  • RENTAS (dikendalikan oleh BNM);

  • eSPICK (dikendalikan oleh PayNet); dan

  • Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (Real-time Retail Payments Platform, RPP) (dikendalikan oleh PayNet)

FSA dan IFSA membolehkan BNM untuk:

  • memberikan kelulusan kepada pengendali sistem pembayaran dan pengeluar instrumen pembayaran yang ditetapkan; dan

  • mendaftarkan pihak yang menawarkan perkhidmatan pemerolehan peniaga.

Selain menjalankan fungsi kawal selia, BNM diberi kuasa di bawah FSA dan IFSA untuk menyelia, menguatkuasakan peraturan dan mengambil tindakan bagi memastikan sistem pembayaran kekal selamat dan stabil. Hal ini termasuk mengeluarkan arahan, menetapkan keperluan dan memantau penyedia perkhidmatan pembayaran bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian kawal selia serta pengurusan risiko yang boleh menjejaskan kebolehpercayaan, kestabilan atau keyakinan orang ramai.

Rujuk:

  1. Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 

  2. Garis Panduan dan Piawaian: Sistem Pembayaran - Bank Negara Malaysia

  3. Perintah Warta: Perintah Warta - Bank Negara Malaysia

Rangka Kerja Kawal Selia bagi Perniagaan Perkhidmatan Wang

Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act, MSBA)

MSBA ialah undang-undang yang mengawal selia industri perniagaan perkhidmatan wang (money services business, MSB). Akta ini digubal untuk:

1

Memperkukuh perlindungan dan memelihara integriti industri daripada risiko pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan aktiviti haram yang lain

2

Memodenkan dan meningkatkan piawaian profesional industri

3

Memperkukuh perlindungan pengguna

Mana-mana perniagaan perkhidmatan wang berlesen dikehendaki untuk:

  • Memastikan individu utama yang bertanggungjawab terhadap perniagaan memenuhi keperluan 'layak dan wajar' (fit and proper) [1] BNM

  • Melaksanakan tadbir urus yang baik, pengurusan risiko dan kawalan dalaman yang kukuh

  • Melaksanakan kawalan yang kukuh bagi pencegahan pengubahan wang haram (anti-money laundering, AML) dan pembanterasan pembiayaan keganasan (countering financing of terrorism, CFT)

  • Memastikan ketelusan fi dan caj, kadar pertukaran serta menyediakan resit bagi setiap transaksi

  • Melayan pelanggan secara adil dan mengendalikan aduan dengan segera

  • Mengawasi dan kekal bertanggungjawab terhadap ejen (sekiranya model prinsipal-ejen digunakan)

  • Mengemukakan laporan dan maklumat yang diperlukan kepada BNM

Rujuk:

  1. Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA): Perundangan - Bank Negara Malaysia

  2. Garis Panduan dan Piawaian: Perniagaan Perkhidmatan Wang - Bank Negara Malaysia

 

[1] Sebagaimana yang diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Perniagaan Perkhidmatan Wang (Kriteria Minimum Orang yang "Layak dan Wajar") 2012

Rangka Kerja Pengawasan bagi Infrastruktur Pasaran Kewangan di Malaysia

Infrastruktur Pasaran Kewangan (Financial Market Infrastructure, FMI) yang memproses pembayaran, sekuriti, derivatif dan transaksi kewangan lain memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan kewangan. Sekiranya tidak diurus dengan baik, FMI boleh menimbulkan risiko yang ketara dan memberikan kesan kepada keseluruhan sistem kewangan. Dokumen ini menggariskan pendekatan BNM dalam mengawasi FMI di Malaysia. Tumpuan diberikan kepada cara BNM memastikan infrastruktur ini beroperasi secara selamat, boleh dipercayai dan cekap selaras dengan piawaian antarabangsa demi memelihara kestabilan kewangan.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?