Peluang Kerjaya di Bank Negara Malaysia
Hasil kerja kami di Bank Negara Malaysia mencorak kehidupan rakyat Malaysia setiap hari dan tahun-tahun yang mendatang. Oleh itu, kami sentiasa mencari bakat yang terbaik dan cemerlang, melabur dalam pembangunan modal insan, serta menawarkan pelbagai laluan kerjaya untuk perkembangan profesional. Sertailah kami di Bank Negara Malaysia.
Mengapa Sertai Kami?
Kami merupakan bank pusat dan pengawal selia sektor kewangan untuk Malaysia. Kami mempunyai mandat untuk memupuk persekitaran yang stabil dan kondusif bagi sektor ekonomi dan kewangan. Sumbangan anda di Bank Negara Malaysia (BNM) akan membantu kami memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.
Calon yang Kami Cari
Di BNM, kami menawarkan peluang pekerjaan dan mengekalkan individu-individu yang mempunyai bakat terbaik dan cemerlang serta sangat komited untuk membangunkan negara. Tawaran kami terbuka kepada calon-calon daripada kesemua disiplin serta memberikan penekanan terhadap rekod pencapaian akademik dan kokurikulum yang konsisten dan cemerlang. Calon yang sesuai akan mempunyai kualiti yang berikut:
BNM ditubuhkan untuk memberikan khidmat kepada rakyat Malaysia. Kami mencari calon-calon yang mempunyai motivasi yang tinggi untuk melaksanakan misi kami dan menunjukkan kualiti seperti berintegriti dan bertindak demi kebaikan negara serta bersemangat untuk membuat perubahan.
Kami mencari calon-calon yang mempamerkan daya fikir yang cemerlang, mempunyai kemampuan yang teguh untuk mengatasi masalah yang sangat rumit dan menghasilkan penyelesaian yang praktikal.
BNM mencari calon-calon yang menghormati kepelbagaian budaya, mampu bekerjasama dengan berkesan dan dapat mengurus konflik dengan baik. Ciri-ciri tugasan yang pelbagai disiplin ini memerlukan calon mempunyai kebolehan untuk berinteraksi dengan pihak berkepentingan.
Kami mencari calon-calon yang sukakan persekitaran yang pantas berubah dan dinamik. Antara ciri ini ialah sikap terbuka kepada pembelajaran dan berkebolehan untuk memberikan khidmat yang berkesan dalam pelbagai persekitaran.
Warga Bank
Warga Bank berkongsi pengalaman mereka bertugas di organisasi ini. Klik pada nama mereka untuk kisah mereka selanjutnya.
Penganalisis Bersekutu, Unit Pakar Risiko Kredit, Pakar Risiko dan Penyeliaan Teknologi
B.Sc. Economics, London School of Economics
Saya menyertai Bank pada bulan Oktober 2020 – betul-betul pada pertengahan pandemik. Syukurlah, rakan sekerja baharu saya menerima saya dengan baik dan membuatkan segala urusan menjadi sangat mudah. Mereka mudah didekati dan membuka ruang secukupnya kepada saya bukan sahaja untuk mengajukan pertanyaan tetapi juga untuk memberikan cadangan dan menjalankan tugas yang mencabar.
Dalam beberapa bulan pertama ini, saya telah banyak memberikan sumbangan kepada pelbagai projek, mulai daripada pengawalseliaan teknologi (SupTech) hingga tugasan menangani krisis. Saya berkesempatan bekerja dengan banyak individu dan pasukan berbakat dan bersemangat di seluruh Bank - daripada penyelia perbankan hingga saintis data. Terus terang saya katakan, saya tidak menyangka bahawa saya dapat memberikan sumbangan kepada tugasan yang begitu penting di Bank, dan mendapat banyak pendedahan pada awal kerjaya saya!
Saya juga kagum dengan kepelbagaian di sini. Bank meraikan kepelbagaian yang benar-benar memboleh kita melakukan sesuatu daripada pelbagai perspektif. Sepanjang proses itu, saya juga bertemu dengan begitu banyak individu yang bersemangat dan berjiwa kental, yang kini menjadi rakan dan mentor saya. Saya teruja dengan cabaran yang seterusnya!
Ahli Ekonomi Bersekutu, Khidmat Nasihat Fiskal, Jabatan Dasar Monetari
B.Sc. Economics, University of Warwick
Jangan biarkan krisis berlalu begitu sahaja. Dalam keadaan penularan pandemik pada peringkat global dan krisis ekonomi yang paling teruk dihadapi dunia sejak Kemelesetan Besar, saya memulakan kerjaya saya sebagai ahli ekonomi dalam bank pusat.
Pengalaman pembelajaran saya untuk 9 bulan lepas sangat mencabar namun memberikan kepuasan. Saya terlibat dalam beberapa projek yang menarik seperti sokongan dasar untuk pembaharuan sistem perlindungan sosial dan membangunkan pemantauan pengawasan terhadap kemampanan fiskal serta risiko fiskal yang menyokong Jawatankuasa Dasar Monetari Bank.
Budaya kerja yang kondusif serta kewujudan persekitaran yang sihat membolehkan kita berkembang dengan cara kita yang tersendiri. Saya sangat menghargai pendekatan pelbagai disiplin terhadap kerja, yang membolehkan pelbagai perspektif dikongsi dan dibincangkan bersama.
Yang lebih penting lagi, bekerja di Bank membolehkan saya bertemu dengan individu lain yang berbakat dan berprestasi cemerlang, yang kesemuanya berkongsi matlamat yang sama iaitu menyumbang ke arah pembangunan negara. Saya tidak sabar untuk menghadapi cabaran dan meraih peluang pada masa hadapan.
Juruanalisis, Jabatan Dasar Kewangan Pruden
Master of Laws, Columbia University
B.A. in Law (Hons), University of Cambridge
Sejak saya mula berkhidmat di Bank empat tahun yang lalu, saya telah terlibat dengan tugasan pembangunan dasar. Saya mendapat pengalaman dalam pelbagai bidang, daripada amalan dan budaya institusi, pengurusan risiko operasi, amalan penyumberan luar hinggalah langkah-langkah bantuan untuk membantu rakyat, perniagaan serta bank yang terjejas akibat pandemik. Sentiasa ada peluang untuk mencipta impak yang bermakna dan anda merasa sangat bertuah menjadi sebahagian daripadanya.
Anda dapat melakukannya bersama-sama dengan pasukan yang hebat. Daripada rakan sekerja sehingga pegawai kanan, anda boleh berbincang dan belajar daripada mereka yang progresif dan berwawasan dengan menjalankan tugas dengan keazaman. Semua ini memberikan pengalaman yang menakjubkan dan berinspirasi. Hal ini membentuk bahagian utama persekitaran Bank yang memberikan sokongan dan seterusnya memberi saya peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Undang-Undang di New York di bawah biasiswa tambahan selepas berkhidmat selama tiga tahun di Bank. Peluang keemasan ini mungkin tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan Bank.
Jika anda beranggapan bahawa kehidupan di Bank hanyalah mengenai kerja dan belajar semata-mata, tanggapan ini tidak benar. Hakikatnya semangat ini turut meliputi kehidupan selepas waktu bekerja kerana banyak kakitangan Bank yang aktif sebagai pelari, penunggang basikal dan pemain dalam pelbagai sukan. Saya tahu kerana saya berpeluang untuk menyertai sendiri larian denai (trail run), triatlon malah ultra-marathon dengan rakan pelari BNM yang bersemangat!
Arkitek Penyelesaian Bersekutu, Makmal Inovasi, Sektor Digital dan Teknologi
BSc Economics & Mathematics, University of Wisconsin-Madison
Saya memulakan kerjaya saya di Bank sebagai pemegang biasiswa sarjana muda Kijang. Setakat ini, pengalaman saya amat bermakna. Saya dapat mencurahkan bakti kepada orang ramai dan pada masa yang sama berpeluang untuk memainkan pelbagai peranan yang berbeza di Bank. Peranan saya termasuk menyelia bank-bank, bersama-sama mendraf dasar sektor kewangan dan mengelolakan bengkel design thinking untuk membuat pembuktian terhadap sesuatu konsep (proofs-of-concept).
Kini di Makmal Inovasi, saya bertanggungjawab memupuk inovasi di Bank dan seluruh sektor kewangan Malaysia dengan menerapkan teknologi pengganggu (disruptive technologies) yang melakukan transformasi terhadap pekerjaan pada masa hadapan.
Saya suka bekerja di Bank kerana Bank sangat mengambil berat tentang kesejahteraan kakitangannya! Saya diberikan banyak kemudahan di Bank seperti kaunselor di tempat kerja, waktu kerja yang fleksibel, dan kemudahan kesihatan di pejabat. Kerjaya sebagai pegawai bank pusat akan menjadi lebih bermakna apabila Bank mula melaksanakan nilai-nilai budaya baharu yang inkusif dan kebersamaan.
Penganalisis, Unit Kewangan Digital, Pembangunan Kewangan dan Inovasi
BA Economics and Asian Studies, Cornell University
Terus terang, saya mula-mula tertarik untuk menyertai Bank kerana bekerja di bank pusat bertaraf dunia ini sangat berprestij dengan bangunan pejabatnya yang mengagumkan. Walaupun bangunan utama agak kurang sedikit daripada jangkaan saya, Bank secara konsisten memberikan kesan sebagai tempat kerja progresif yang mendorong perkembangan profesional dan peribadi. Anda perlu terlibat secara aktif dalam pembuatan dasar, dan anda juga diberikan tanggungjawab untuk memimpin sesuatu projek.
Sebagai sebahagian daripada pasukan kewangan digital, salah satu segmen tugas yang menjadi kegemaran saya ialah peluang untuk bekerjasama rapat dengan syarikat permulaan dan model perniagaan baharu yang menarik. Hal ini seolah-olah dapat melihat sekilas apa yang akan terjadi pada masa depan untuk kewangan di Malaysia, dengan bonus tambahan iaitu diberi tanggungjawab secara langsung untuk membawanya kepada rakyat.
Kadang-kadang timbul perasaan yang menakutkan. Tetapi, kami bernasib baik kerana Bank cemerlang dalam menyediakan anda dengan adanya orang-orang yang hebat yang benar-benar mengambil berat tentang diri anda dan tidak akan ragu-ragu untuk membantu. Sekiranya anda ingin meninggalkan kesan positif dan melangkah pantas dalam kerjaya sambil bekerja dengan beberapa bijak pandai di negara ini, Bank adalah tempatnya!
Peguam Bersekutu, Jabatan Undang-Undang
LL.B. Law, Queen Mary University of London
Certificate in Legal Practice (CLP)
Sebagai sebahagian daripada pasukan penasihat undang-undang, saya menawarkan khidmat nasihat undang-undang mengenai pelbagai aspek fungsi dan operasi Bank. Saya menjalankan tugas dalam hal-ehwal yang berkaitan dengan keperluan pengawalseliaan, kontrak, dan proses perundangan - termasuk mendraf undang-undang subsidiari. Peluang pembelajaran sangat luas. Bank memberi saya pendedahan kepada pelbagai aspek perkhidmatan kewangan, seperti perbankan, insurans, pembayaran, teknologi kewangan (fintech), pasaran kewangan, dan perniagaan perkhidmatan wang - baik dari perspektif undang-undang mahupun dasar.
Bank juga menyokong penuh perkembangan kerjaya profesional saya. Semasa bekerja, saya dapat mengikuti kelas dan menduduki peperiksaan Certificate in Legal Practice (CLP) oleh Legal Profession Qualifying Board of Malaysia. Bank juga menawarkan banyak latihan kemahiran teknikal dan insaniah, yang telah memberikan manfaat kepada saya.
Sejak menyertai Bank sebagai pemegang biasiswa, saya berasa bertuah dan benar-benar bersyukur kerana mempunyai suasana kerja seperti sebuah keluarga yang dibina berdasarkan rasa hormat dan mempunyai tujuan yang sama. Saya gembira mendapat rakan dan mentor yang hebat di sini.
BNM diiktiraf sebagai tempat bekerja yang baik
Jawatan Kosong Semasa
Terokai kekosongan jawatan kami yang sedia ada, temui peranan yang sesuai dengan aspirasi anda.
Peluang-peluang Lain
Program Graduan Kijang memberikan pendedahan yang menyeluruh kepada peranan Bank Negara Malaysia yang pelbagai dalam membangunkan negara. Anda akan ditugaskan mengikut giliran di ketiga-tiga sektor di Bank Negara Malaysia selama 18 bulan. Pengalaman ini membolehkan anda mengenal pasti pelbagai bidang kerjaya yang sesuai dengan diri anda.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.