Kewangan Islam

Kewangan Islam merujuk produk dan perkhidmatan kewangan yang distrukturkan selaras dengan prinsip Syariah. Prinsip ini menggariskan cara urus niaga kewangan distruktur dan dilaksanakan, termasuklah keperluan berkaitan keadilan, ketelusan dan amalan beretika. Kewangan Islam menyokong aktiviti kewangan melalui pengaturan kontrak patuh Syariah serta menawarkan penyelesaian bagi simpanan, pelaburan, pembiayaan dan perlindungan risiko kepada individu dan perniagaan.

Di Malaysia, kewangan Islam merupakan sebahagian daripada sistem kewangan yang beroperasi seiring dengan kewangan konvensional. Ia merangkumi perbankan Islam, takaful serta pasaran wang dan modal Islam. Perkhidmatan ini menyokong keperluan pembiayaan, pelaburan dan perlindungan bagi individu, perniagaan dan pelabur.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengawal selia dan menyelia institusi kewangan Islam. BNM turut menetapkan keperluan berkaitan tadbir urus Syariah, piawaian kehematan dan amalan perniagaan bagi menyokong keselamatan dan kekukuhan sistem kewangan Islam. BNM juga bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan dalam dan luar negara untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju pusat kewangan Islam global.

Halaman ini menerangkan ciri-ciri utama kewangan Islam di Malaysia, termasuk penyelesaian kewangan yang lazim, peranan institusi utama serta rangka kerja perundangan, pengawalseliaan dan tadbir urus Syariah. Halaman ini turut menyediakan maklumat mengenai inisiatif terpilih serta pautan kepada sumber berkaitan untuk pengguna, perniagaan dan pihak berkepentingan lain.


Peranan Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) memainkan peranan utama dalam memupuk sistem kewangan Islam yang berdaya tahan serta selaras dengan prinsip dan objektif Syariah. BNM membangunkan rangka kerja pengawalseliaan, penyeliaan dan tadbir urus Syariah yang menyokong industri, di samping menggalakkan pengurusan risiko berhemat, perlindungan pengguna dan kestabilan kewangan. Melalui Majlis Penasihat Shariah (MPS), autoriti tertinggi bagi perkara Syariah dalam kewangan Islam di bawah bidang kuasa BNM, BNM turut menggalakkan keseragaman dan kejelasan dalam penerapan Syariah di seluruh industri.

BNM juga menyokong pembangunan ekosistem kewangan Islam yang progresif dan inklusif melalui pemerkasaan kewangan berasaskan nilai, pengukuhan infrastruktur pasaran, pemupukan inovasi dan pembangunan keupayaan industri. Melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam dan luar negara, BNM menggalakkan pembangunan pasaran, memperkukuh hubungan rentas sempadan serta menyokong pengantarabangsaan kewangan Islam Malaysia dan kerjasama dalam memajukan agenda MIFC.

Membangunkan rangka kerja kawal selia, penyeliaan dan tadbir urus Syariah

Pengawalseliaan menetapkan perlindungan bagi cara institusi kewangan Islam beroperasi dan bagaimana produk serta perkhidmatan kewangan disediakan kepada pengguna dan perniagaan. Ia juga menetapkan tanggungjawab yang jelas bagi institusi kewangan Islam dalam mengurus risiko kewangan, operasi, tingkah laku dan risiko berkaitan Syariah.

Tanggungjawab dan perlindungan ini membantu menghasilkan empat manfaat penting kepada pengguna dan perniagaan:

  1. Kekukuhan kewangan: Pengawalseliaan membantu memastikan institusi kewangan Islam kekal berdaya tahan dari segi kewangan dan mampu terus menyediakan perkhidmatan pembiayaan, perbankan dan takaful termasuk ketika tekanan kewangan. Keperluan berkaitan modal, mudah tunai, tadbir urus dan pengurusan risiko menyokong keselamatan dan kestabilan institusi yang diamanahkan dengan dana pelanggan.

  2. Pematuhan Syariah: Pengawalseliaan membantu memberikan keyakinan bahawa produk dan perkhidmatan kewangan Islam dibangunkan dan ditawarkan mengikut keperluan Syariah yang berkenaan. Institusi kewangan Islam perlu mempunyai aturan tadbir urus dan kawalan yang sesuai untuk menyokong pematuhan Syariah secara konsisten, dengan panduan MPS BNM dalam perkara Syariah yang berkaitan.

  3. Perlindungan pengguna: Pengawalseliaan membantu pengguna dan perniagaan membuat keputusan kewangan bermaklumat dengan menggalakkan ketelusan, layanan adil dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab. Keperluan berkaitan penzahiran produk, komunikasi pelanggan, ibra’ (rebat) dan caj lewat bayar membantu pelanggan memahami produk dan perkhidmatan yang digunakan.

  4. Pengawasan pengawalseliaan: Penyeliaan berterusan oleh BNM membantu memastikan institusi kewangan Islam terus memenuhi keperluan pengawalseliaan dan mengurus risiko dengan berkesan. Hal ini akan menyokong keyakinan awam bahawa institusi tersebut kekal selamat, ditadbir dengan baik dan berupaya memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan.

Melalui pengawalseliaan, penyeliaan dan penerbitan dokumen dasar, BNM membantu mengekalkan sistem kewangan Islam yang berdaya tahan dan diyakini serta menyokong keperluan isi rumah, perniagaan dan ekonomi secara keseluruhan.

Bagaimana Kewangan Islam Ditadbir

Selain perundangan, BNM mengeluarkan dokumen dasar, piawaian dan garis panduan yang menetapkan cara institusi kewangan Islam sepatutnya beroperasi. Keperluan ini merangkumi aspek seperti kekukuhan kewangan, tadbir urus, pengurusan risiko, pematuhan Syariah dan layanan terhadap pengguna kewangan. BNM turut menyelia institusi kewangan Islam untuk menilai pematuhan terhadap undang-undang dan keperluan pengawalseliaan yang berkenaan serta cara risiko diurus. Pengawalseliaan dan penyeliaan institusi kewangan Islam disokong oleh tiga komponen yang saling berkaitan: pengawalseliaan dan penyeliaan kehematan, tadbir urus Syariah dan perlindungan pengguna kewangan. Komponen-komponen ini beroperasi secara bersepadu dan saling melengkapi dengan tadbir urus, pengurusan Risiko dan pengawasan penyeliaan merentasi setiap bidang.

1. Pengawalseliaan dan penyeliaan kehematan

BNM mengawal selia dan menyelia institusi kewangan Islam untuk menggalakkan keselamatan, kekukuhan dan kestabilan kewangan. BNM menetapkan keperluan berhubung kecukupan modal, mudah tunai, tadbir urus dan pengurusan risiko untuk menyokong daya tahan institusi serta keupayaan mereka untuk terus berkhidmat kepada pelanggan dan perniagaan. Keperluan ini dilengkapi dengan penyeliaan berterusan bagi menilai sama ada institusi mempunyai sumber kewangan, aturan tadbir urus dan kawalan yang mencukupi untuk mengurus risiko dan menyediakan perkhidmatan kewangan.

2. Tadbir urus Syariah

Institusi kewangan Islam bertanggungjawab memastikan matlamat, operasi, perniagaan, hal ehwal dan aktiviti mereka mematuhi keperluan Syariah yang berkenaan. Institusi hendaklah mewujudkan aturan tadbir urus Syariah yang sewajarnya, termasuk kebertanggungjawaban yang jelas, pengawasan yang berkesan dan kawalan untuk mengurus risiko ketidakpatuhan Syariah. MPS ialah autoriti bagi penentuan hukum Syarak untuk perniagaan kewangan Islam di bawah bidang kuasa BNM. Dokumen dasar berkaitan Syariah yang dikeluarkan oleh BNM menetapkan keperluan pengawalseliaan lanjut yang perlu dipatuhi.

3. Perlindungan pengguna kewangan

BNM menetapkan keperluan mengenai amalan perniagaan dan perlindungan pelanggan untuk menggalakkan layanan yang adil dan bertanggungjawab terhadap pengguna kewangan. Perkara ini termasuklah keperluan berkaitan ketelusan produk, penzahiran maklumat utama dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab agar pengguna dapat memahami ciri, kos dan risiko produk serta membuat keputusan kewangan yang bermaklumat.

Secara bersama, komponen ini menyediakan rangka kerja bersepadu bagi pengawalseliaan dan penyeliaan institusi kewangan Islam. Pematuhan Syariah beroperasi seiring dengan keperluan kehematan, tadbir urus dan perlindungan pengguna, dan bukannya dalam pertimbangan yang berasingan. Rangka kerja ini menyokong keselamatan dan kekukuhan operasi institusi kewangan Islam dan tanggungjawab terhadap perkhidmatan kewangan yang patuh Syariah.

Ketahui lebih lanjut: Piawaian dan Garis Panduan - Bank Negara Malaysia

Membangunkan Ekosistem Kewangan Islam yang Progresif dan Inklusif

Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI)

Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based Intermediation, VBI) ialah inisiatif yang diperkenalkan oleh BNM untuk memperkukuh peranan kewangan Islam dalam menghasilkan impak positif dan mampan kepada ekonomi, masyarakat dan alam sekitar. Berteraskan objektif Syariah (Maqasid al-Shariah), VBI menggalakkan institusi kewangan Islam mewujudkan nilai jangka panjang melalui aktiviti pembiayaan, pelaburan dan perniagaan sambil mengimbangi pulangan kewangan dengan pertimbangan sosial dan alam sekitar yang lebih luas. Sejak diperkenalkan pada 2017, VBI telah diterapkan dalam sektor perbankan Islam melalui pelbagai inisiatif, termasuklah penyediaan khidmat nasihat, rangkaian dan akses pasaran untuk menyokong usahawan; memperkasa komuniti melalui penyelesaian kewangan inovatif; mengintegrasikan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam strategi perniagaan; serta membangunkan amalan pelaporan kemampanan dan berasaskan nilai. Pelaksanaan VBI turut diperluas kepada sektor takaful dengan diterajui oleh pihak industri.

Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT)

Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (Medical and Health Insurance/Takaful, MHIT) membantu individu dan keluarga mengurus kesan kewangan daripada perbelanjaan perubatan. Bank Negara Malaysia, bersama agensi kerajaan, syarikat insurans, pengendali takaful dan penyedia penjagaan kesihatan, sedang melaksanakan pembaharuan di bawah Strategi RESET untuk menangani cabaran kemampuan dan kebolehcapaian dalam ekosistem perlindungan perubatan. Salah satu inisiatif utama ialah MediAsas yang bertujuan memperluas akses kepada perlindungan mampu milik yang ditawarkan oleh penanggung insurans dan pengendali takaful. MediAsas direka untuk menyediakan tahap perlindungan asas dan menawarkan pilihan perlindungan kesihatan yang lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia. Melalui MediAsas, industri takaful menyumbang kepada peningkatan daya tahan kewangan, akses kepada penjagaan kesihatan dan hasil yang lebih baik bagi rakyat Malaysia dan keluarga mereka. Pengendali takaful memainkan peranan penting dalam menyediakan perlindungan patuh Syariah yang berasaskan prinsip saling membantu dan berkongsi risiko.

Bank Digital Islam

Penubuhan AEON Bank dan KAF Digital Bank telah memperluas rangkaian perkhidmatan perbankan digital Islam di Malaysia. Bank digital Islam menggunakan model penyampaian digital untuk menyediakan perkhidmatan kewangan patuh Syariah dan dijangka menyokong rangkuman kewangan, khususnya bagi segmen yang kurang mendapat akses perkhidmatan kewangan atau yang tidak ada akses perkhidmatan kewangan. Penyertaan bank digital juga menyumbang kepada persaingan dan inovasi dalam sektor kewangan.

iCITA

i-CITA ialah inisiatif rintis strategik yang bertujuan memangkin penyelesaian pembiayaan perkongsian risiko Islam yang inovatif, khususnya melalui struktur Musyarakah dan Mudarabah. Tumpuannya termasuklah sektor seperti keterjaminan makanan dan daya tahan iklim, serta aktiviti lain yang berpotensi menjana manfaat ekonomi dan sosial kepada Malaysia. Inisiatif ini disokong oleh peruntukan Kerajaan sebanyak RM100 juta dalam Belanjawan 2025, dengan bank peserta dijangka menyediakan sumbangan padanan bagi usaha niaga yang layak, tertakluk kepada aturan program yang berkenaan. Inisiatif ini menggunakan pendekatan rintis terkawal yang membolehkan bank peserta melaksanakan urus niaga perkongsian risiko dalam pasaran sebenar. Hal ini membolehkan industri dan pengawal selia memperoleh pengalaman praktikal serta bukti mengenai daya maju komersial, ciri risiko, tadbir urus dan implikasi pengawalseliaan struktur perkongsian risiko, sambil mengekalkan perlindungan dan kebertanggungjawaban yang sewajarnya.

Pemantapan Perniagaan Halal Hijau (GHB)

Apabila pertimbangan kemampanan menjadi semakin relevan kepada perniagaan dan rantaian bekalan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) halal perlu memahami dan mengurus impak alam sekitar mereka dengan lebih baik. Perkara ini membantu perniagaan kekal berdaya saing dalam memenuhi jangkaan pelanggan dan rantaian bekalan yang berubah. Penghijauan Perniagaan Halal (Greening Halal Businesses, GHB) ialah program kerjasama Kerajaan, BNM dan institusi kewangan pembangunan untuk menyokong PKS halal Malaysia mengamalkan amalan perniagaan yang lebih mampan. GHB menyediakan latihan praktikal, alat dan bantuan kewangan bagi memulakan peralihan. Peserta menerima latihan percuma dan perisian perakaunan karbon bersubsidi untuk mengukur pelepasan gas rumah hijau dan penggunaan sumber, sekali gus membantu mengenal pasti ketidakcekapan dan mengurus kos. Pembiayaan turut menyokong langkah peralihan seperti pembelian peralatan cekap tenaga dan mendapatkan pensijilan hijau.

Literasi Kewangan Islam (Islamic Financial Literacy, IFL)

Inisiatif literasi kewangan Islam merupakan usaha berterusan untuk membantu rakyat Malaysia memahami produk dan perkhidmatan kewangan Islam dengan lebih baik serta membuat keputusan kewangan yang bermaklumat. Melalui kempen kesedaran awam, program komuniti, kerjasama pendidikan dan aktiviti khidmat masyarakat, matlamatnya untuk menjadikan kewangan Islam lebih mudah diakses dan relevan dalam kehidupan seharian. Peningkatan pengetahuan dan kefahaman kewangan membantu rakyat Malaysia mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengambil bahagian dengan lebih yakin dalam sistem kewangan Islam.

CAKNA

Skim CAKNA menyokong keperluan aliran tunai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang melaksanakan kontrak Kerajaan dengan meningkatkan akses kepada mudah tunai sepanjang kitaran kontrak. Perniagaan yang layak boleh mendapatkan pembiayaan bagi memenuhi keperluan modal kerja untuk pelaksanaan projek dan menerima bayaran daripada invois yang diluluskan lebih awal daripada tarikh matang. Hal ini membantu menangani jurang masa antara perbelanjaan projek dengan bayaran kontrak, sekali gus membolehkan perniagaan mengurus aliran tunai dengan lebih baik dan memenuhi komitmen kontrak.

Untuk maklumat lanjut: Skim CAKNA - Bank Negara Malaysia

Memajukan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa

Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Financial Centre, MIFC)

Sejak ditubuhkan pada 2006, Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Financial Centre, MIFC) telah menerajui pembangunan Malaysia sebagai hab global kewangan Islam. Melalui perkongsian antara pengawal selia, agensi kerajaan dan peneraju industri, MIFC mempromosikan ekosistem kewangan Islam Malaysia yang menyeluruh, memudah cara peluang perniagaan dan pelaburan rentas sempadan serta menggalakkan kerjasama antarabangsa. Berasaskan asas yang dibina oleh MIFC Leadership Council (MLC), MIFC Advisory Panel (MAP) dan MIFC Business Network (MBN) ditubuhkan pada 2026 untuk memperkukuh penyelarasan strategik dan penglibatan industri dalam memajukan agenda kewangan Islam antarabangsa Malaysia. MAP menyediakan panduan strategik dan penyelarasan antara pihak berkepentingan utama, manakala MBN berfungsi sebagai platform diterajui industri untuk meningkatkan kerjasama, ketersambungan dan peluang perniagaan dalam ekosistem kewangan Islam. Bersama-sama, platform ini memacu inovasi, pertumbuhan mampan dan pembangunan pasaran.

Untuk maklumat lanjut: MIFC

Forum Pihak Berkuasa Syariah Pusat (CSAF)

Forum Badan Berautoriti Syariah Berpusat (Centralised Shariah Authorities Forum, CSAF) ialah platform antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 2018 untuk menghimpunkan autoriti penasihat Syariah berpusat dari seluruh dunia bagi membincangkan perkembangan dan isu-isu baharu dalam kewangan Islam. Diterajui oleh BNM, CSAF menggalakkan perkongsian pengetahuan, kerjasama dan persefahaman mengenai perspektif Syariah merentasi bidang kuasa. BNM mengambil bahagian dalam CSAF melalui MPS bersama autoriti penasihat Syariah kebangsaan yang lain. Melalui perbincangan berkala, para ahli bertukar pandangan mengenai tadbir urus Syariah, perkembangan dasar dan isu baharu yang mempengaruhi industri kewangan Islam. Hasil forum membantu memperkukuh kerjasama antarabangsa serta menyokong pertumbuhan dan daya tahan kewangan Islam yang berterusan.


Rangka Kerja Undang-Undang dan Kawal Selia

Malaysia mengamalkan dwisistem kewangan, di mana kewangan Islam beroperasi seiring dengan kewangan konvensional. Dalam sistem ini, institusi kewangan Islam tertakluk kepada rangka kerja perundangan dan pengawalseliaan yang menyeluruh bagi menyokong kestabilan kewangan, melindungi pengguna dan meningkatkan keyakinan terhadap perkhidmatan kewangan Islam. Rangka kerja ini menjadi asas kepada institusi kewangan Islam untuk menawarkan produk dan perkhidmatan yang selaras dengan keperluan Syariah serta memenuhi keperluan individu, perniagaan dan masyarakat.

Akta Bank Negara Malaysia 2009 (CBA) menetapkan mandat BNM dan memperuntukkan MPS sebagai autoriti bagi penentuan hukum Syarak untuk perniagaan kewangan Islam di bawah bidang kuasa BNM. Ini menyediakan rujukan pusat bagi perkara Syariah dalam rangka kerja pengawalseliaan kewangan Islam Malaysia.

Ketahui lebih lanjut: Akta Bank Negara Malaysia 2009 - Bank Negara Malaysia

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI) menyediakan rangka kerja perundangan utama bagi pengawalseliaan dan penyeliaan institusi kewangan Islam, sistem pembayaran, pasaran wang Islam dan pasaran pertukaran asing Islam. Akta ini turut meletakkan kewajipan statutori ke atas institusi kewangan Islam untuk memastikan matlamat, operasi, perniagaan, hal ehwal dan aktiviti mereka mematuhi Syariah.

Ketahui lebih lanjut: Akta 759

Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (AIKP) menyediakan rangka kerja pengawalseliaan bagi institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan, termasuk institusi yang diluluskan untuk menjalankan perniagaan kewangan Islam. Akta ini membolehkan BNM mengawal selia dan menyelia institusi tersebut sambil mengambil kira mandat pembangunan khusus masing-masing.

Ketahui lebih lanjut: Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (Akta 618) - Bank Negara Malaysia

Secara bersama, undang-undang ini menyediakan asas perundangan untuk BNM mengawal selia dan menyelia institusi kewangan Islam, menetapkan piawaian pengawalseliaan serta mengawasi pematuhan terhadap keperluan Syariah yang berkenaan. Ia dilengkapi oleh dokumen dasar dan rangka kerja penyeliaan BNM yang menetapkan keperluan lebih terperinci dalam bidang seperti tadbir urus, modal, pengurusan risiko dan amalan perniagaan merentasi sektor kewangan Islam.


Majlis Penasihat Syariah

Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia (MPS) ditubuhkan pada tahun 1997 dan merupakan autoriti bagi penentuan hukum Syarak untuk perniagaan kewangan Islam yang dikawal selia dan diselia oleh BNM. MPS membincangkan perkara Syariah berkaitan produk, perkhidmatan dan aktiviti kewangan Islam yang dirujuk kepadanya dengan mengambil kira prinsip Syariah, hasil penyelidikan, uruf, amalan pasaran dan perkembangan sektor kewangan. Berdasarkan perbincangan tersebut, MPS mengeluarkan keputusan dan memberi nasihat mengenai penerapan keperluan Syariah.

Keputusan dan nasihat MPS menyokong penerapan keperluan Syariah yang lebih konsisten dan koheren dalam sektor kewangan Islam. Ia memberikan kejelasan mengenai pendirian Syariah berkaitan produk, perkhidmatan dan aktiviti kewangan Islam serta menyokong pembangunan berterusan kewangan Islam di Malaysia.

Ketahui lebih lanjut: Majlis Penasihat Syariah BNM.


Kongsi halaman ini

Was this page helpful?