Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan

Sejak kebelakangan ini, penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta di Malaysia semakin meningkat, yang telah menyebabkan tuntutan yang lebih tinggi terhadap syarikat insurans dan pengendali takaful (insurers and takaful operators, ITO). Bank Negara Malaysia (BNM) bersama pihak berkepentingan utama sedang melaksanakan pembaharuan penjagaan kesihatan di bawah Strategi RESET, untuk menangani kos penjagaan kesihatan swasta dan memastikan produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (medical and health insurance/takaful, MHIT) terus mampu dimiliki dan mudah diakses oleh rakyat Malaysia.

MHIT_photo_1

Baca rencana Menjamin Akses Berterusan kepada Perlindungan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan dalam Laporan Tahunan BNM 2024 untuk mengetahui lebih lanjut tentang penyumbang utama kepada peningkatan bil hospital dan premium MHIT.


Pelan MHIT Asas

Pelan MHIT Asas, yang kini dikenali sebagai MediAsas, merupakan komponen utama Strategi RESET, iaitu usaha kolaboratif oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan pihak berkepentingan utama. MediAsas ialah pelan perlindungan insurans dan takaful perubatan yang berbentuk sukarela serta mempunyai ciri-ciri yang diseragamkan. Pelan ini direka bentuk untuk menyediakan akses kepada perlindungan kesihatan yang mampu milik untuk lebih banyak rakyat Malaysia. MediAsas bertujuan meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta serta menyokong penjagaan kesihatan yang lebih baik.

Matlamat MediAsas adalah untuk membolehkan lebih banyak rakyat Malaysia mendapatkan perlindungan kesihatan tahap asas, khususnya individu yang pada masa ini tidak dilindungi oleh insurans, dan mereka yang sedang mencari alternatif yang lebih mampu milik disebabkan oleh pelarasan premium atau perubahan keadaan kewangan mereka.

Reka bentuk MediAsas dibangunkan berdasarkan dapatan daripada lebih 60 sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan kumpulan fokus pengguna serta analisis terperinci, ke arah memastikan produk tersebut memenuhi keperluan pengguna sambil menyokong matlamat pembaharuan penjagaan kesihatan yang lebih luas.

Program Rintis MediAsas akan bermula pada hujung bulan Julai 2026 bagi menguji dan menambah baik proses operasi, pengalaman pelanggan serta tahap kesiapsiagaan pelaksanaan. Dapatan daripada program rintis ini akan digunakan untuk menyokong penambahbaikan lanjut sebelum pelaksanaannya di seluruh negara yang dijadualkan pada awal tahun 2027.


MediAsas

Pelan sukarela dan kendiri
  • Pelan insurans/takaful perubatan dan kesihatan secara sukarela menerusi inisiatif penjagaan kesihatan negara. MediAsas bukan skim insurans/takaful sosial.

  • Pelan ini menyediakan akses kepada perlindungan keperluan bagi rawatan perubatan di hospital swasta, dengan had tahunan yang mampu menanggung hingga 99% daripada perbelanjaan rawatan lazim.

  • Pelan perlindungan perubatan dan kesihatan kendiri yang boleh diperbaharui setiap tahun dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana produk pelaburan.

Dirangka secara berbeza
  • Membolehkan lebih ramai individu mendapatkan akses kepada rawatan perubatan keperluan di hospital swasta melalui kelayakan yang lebih luas dan kos perlindungan yang berpatutan.

  • Dilengkapi dengan ciri kawalan dan perkongsian kos untuk memastikan premium kekal stabil, berpatutan dan mampan dari semasa ke semasa.

  • Menawarkan pilihan daripada rangkaian hospital panel untuk kemasukan ke hospital secara tanpa tunai, dengan kepastian yang lebih tinggi terhadap bil hospital yang layak dituntut serta kos perbelanjaan sendiri yang lebih rendah.

  • Merupakan pelan insurans/takaful perubatan dan kesihatan kendiri dengan manfaat yang diseragamkan serta syarat polisi yang lebih jelas dan mudah difahami.

Perlindugan penjagaan kesihatan pada setiap peringkat rawatan
  • MediAsas direka untuk menawarkan perlindungan pada setiap peringkat penjagaan kesihatan, termasuk perlindungan bagi rawatan prahospitalisasi, hospitalisasi, selepas hospitalisasi dan rawatan pesakit luar.

  • Premium MediAsas akan ditentukan berdasarkan manfaat pelan, sejarah tuntutan perubatan terkini dan trend inflasi kos penjagaan kesihatan.

  • Anggaran premium adalah dalam julat sasaran RM60 hingga RM550 sebulan bagi individu yang menyertai pelan MediAsas pada umur hingga 70 tahun.

  • Ciri-ciri produk dan kadar harga akhir akan diumumkan semasa pelancaran peringkat kebangsaan pada bulan Januari 2027.


Tentang Program Rintis MediAsas

mhitmediasas_img
  • Program rintis ini dijalankan untuk menguji sistem dan perjalanan pengguna secara menyeluruh (end-to-end) dalam persekitaran terkawal (kakitangan badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (government-linked companies, GLC) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpilih), syarikat insurans dan pengendali takaful (insurers and takaful operators, ITO), serta hospital di Lembah Klang bagi menilai tahap kesiapsiagaan pelaksanaan menjelang pelancaran pada Januari 2027.

  • Program rintis ini melibatkan penyertaan 6 syarikat insurans dan pengendali takaful serta 10 hospital di Lembah Klang dari akhir Julai hingga Oktober 2026.

  • Program rintis ini tidak seharusnya dianggap sebagai versi akhir MediAsas kerana segala maklum balas yang diterima semasa program trintis akan membantu mengenal pasti aspek yang perlu ditambah baik serta menyokong kesiapsiagaan operasi menjelang pelancaran MediAsas pada peringkat nasional pada Januari 2027.

Apakah yang perlu diketahui oleh orang ramai

  • Kebanyakan rakyat Malaysia tidak akan terlibat dalam fasa ini kerana program rintis yang sedang dijalankan hanya melibatkan peserta dan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terpilih.

  • Peserta program rintis akan mendapat akses awal kepada MediAsas bagi membolehkan maklum balas dikumpulkan untuk tujuan penambahbaikan sebelum pelancaran dilaksanakan pada peringkat nasional. Mereka juga akan menikmati perlindungan lebih awal tanpa menjejaskan kedudukan mereka berbanding peserta yang menyertai MediAsas apabila program ini dilaksanakan secara meluas.

  • Selepas MediAsas dilancarkan pada tahun 2027 kelak, orang ramai boleh menghubungi syarikat insurans, pengendali takaful atau penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan masing-masing untuk maklumat lanjut.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Rintis MediAsas dan MediAsas, sila rujuk Soalan Lazim.


Langkah Interim untuk Menggalakkan Akses Berterusan kepada Produk MHIT

MHIT_photo_3

Pada bulan Disember 2024, BNM mengumumkan beberapa langkah interim untuk membantu pemegang polisi yang mengalami pelarasan premium produk MHIT mereka. Langkah-langkah interim ini diperkenalkan untuk mengurangkan impak kewangan kepada pemegang polisi dan mengekalkan perlindungan MHIT.

Langkah ini merangkumi sebarang perubahan premium yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan yang dilaksanakan pada tahun 2024 sehingga 2026, yang diagihkan dalam tempoh minimum tiga tahun. Sebahagian besar pemegang polisi mendapat pelarasan premium tahunan akibat inflasi tuntutan perubatan, yang kurang daripada 10%.

Baca pengumuman ini untuk senarai penuh langkah-langkah tersebut.

Untuk maklumat lanjut dan untuk mendapatkan langkah interim, hubungi syarikat insurans atau pengendali takaful anda.


Panduan Mudah MHIT

MHIT_photo_4

Adakah anda memerlukan bantuan untuk membeli produk MHIT sehingga membuat tuntutan?

Sila rujuk Panduan Mudah MHIT


Usaha bagi menggalakkan pengurusan tuntutan MHIT yang adil, telus, dan pantas

MHIT_photo_5

Pengguna perlu dilayan secara adil sepanjang semua peringkat proses tuntutan. Sebagai sebahagian daripada proses pengurusan tuntutan, syarikat insurans dan pengendali takaful (insurance and takaful operators, ITO) atau pentadbir pihak ketiga (third-party administrator, TPA) yang dilantik oleh mereka, akan menilai tuntutan yang dikemukakan untuk mengesahkan rawatan adalah termasuk dalam liputan perlindungan di bawah kontrak polisi insurans. Penentuan ini dibuat berdasarkan protokol rawatan yang diterima dan garis panduan amalan klinikal.

Pelanggan yang tidak berpuas hati dengan penyelesaian tuntutan boleh mengemukakan aduan kepada Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (Financial Market Ombusdman Service, FMOS). Bagi aduan yang berada di luar skop FMOS, pengguna boleh mendapatkan bantuan daripada BNMLINK.


Healthcare Partners Protocol and Solutions Committee (HPPSC)

(dahulu dikenali sebagai Jawatankuasa Mekanisme Aduan)

MHIT_photo_9

HPPSC ditubuhkan bersama oleh Persatuan Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Association, MMA), Persatuan Hospital Swasta Malaysia (Association of Private Hospitals of Malaysia, APHM), Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) berserta Kementerian Kesihatan Malaysia dan Bank Negara Malaysia sebagai pemerhati, untuk memperkukuh kolaborasi, ketelusan, dan keadilan dalam pengurusan tuntutan perubatan.

HPPSC menyemak semula kes-kes yang berkaitan prosedur tuntutan, seperti pengeluaran surat jaminan, pertikaian mengenai caj hospital, dan hal-hal berkaitan pengurusan tuntutan. HPPSC juga berperanan sebagai saluran untuk penyedia dan pengamal perubatan menyelesaikan isu-isu yang mungkin dihadapi mereka dalam mendapatkan kelulusan atau pembayaran bagi tuntutan yang sah daripada ITO.


Galeri


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?