Ringgit dan Pasaran Kewangan

BNM menyokong pembangunan dan fungsi pasaran kewangan melalui peranannya dalam infrastruktur pasaran, pembangunan penanda aras, operasi sekuriti kerajaan dan inisiatif pasaran pertukaran asing.

Rejim Kadar Pertukaran

Seperti kebanyakan negara lain, Malaysia mengamalkan rejim kadar pertukaran yang fleksibel. Hal ini bermakna ringgit ditentukan oleh pasaran, iaitu bergantung pada penawaran dan permintaan terhadap ringgit. Turun naik dalam ringgit harus dijangkakan dari semasa ke semasa, iaitu menjadi kukuh atau lemah berbanding dengan mata wang asing lain, sebagai tindak balas terhadap perubahan persekitaran ekonomi dan kewangan pada peringkat global dan domestik.

Ringkasnya, terdapat 3 manfaat utama mempunyai kadar pertukaran yang fleksibel:

  1. Pada masa sukar, ringgit yang fleksibel membantu mengurangkan kesan kepada ekonomi negara yang disebabkan oleh perubahan keadaan global, dengan melaraskan harga relatif barangan dan perkhidmatan. Walaupun langkah ini akan menyebabkan harga import lebih mahal, ringgit yang lebih lemah juga menjadikan eksport negara lebih berdaya saing serta barangan dan perkhidmatan dalam negeri lebih menarik, kerana semua ini secara relatif menjadi lebih murah. Keadaan ini membantu menyokong pekerjaan dan pendapatan dalam industri berorientasikan eksport dan membantu mencegah penurunan perbelanjaan yang mendadak oleh isi rumah. Sebaliknya, ringgit yang lebih kukuh meningkatkan penggunaan barangan dan perkhidmatan yang diimport kerana barangan dan perkhidmatan tersebut menjadi secara relatif lebih murah.

  2. Dengan keadaan pasaran kewangan yang teratur, iaitu tiada perubahan kadar pertukaran yang besar dan mengakibatkan gangguan, kadar pertukaran yang fleksibel berfungsi sebagai penyerap kejutan dan bukan penguat kejutan kepada ekonomi dalam negeri. Hal ini membantu perniagaan merancang dan melaksanakan keputusan perniagaan dan pelaburan dengan lebih pasti, yang seterusnya akan menyokong pemulihan yang lebih mampan.

  3. Kadar pertukaran yang fleksibel membolehkan Jawatankuasa Dasar Monetari menetapkan kadar dasar secara bebas, berdasarkan prospek pertumbuhan dalam negeri dan inflasi Malaysia. Jika ringgit ditambat, Malaysia perlu mengikuti pergerakan dasar monetari mata wang yang ditambatkan kepada ringgit.

BNM tidak menyasarkan atau menyokong mana-mana tahap kadar pertukaran tertentu. Sebaliknya, dasar BNM bertujuan untuk memastikan keadaan pasaran yang teratur bagi ringgit dan mencegah perubahan mendadak atau besar dalam nilai ringgit, yang boleh menjejaskan ekonomi negara dengan teruk. BNM menggunakan pelbagai alat dasar bagi memastikan matlamat tersebut dicapai:

  • Campur tangan dalam pasaran pertukaran asing dengan membeli atau menjual mata wang asing apabila pergerakan pasaran ringgit tidak teratur dan untuk memastikan mudah tunai dalam sistem perbankan adalah mencukupi

  • Langkah pertukaran asing yang berhemat bagi melindungi ringgit daripada aktiviti pengambilan risiko yang berlebihan oleh bank atau syarikat yang boleh memberikan kesan kepada ekonomi semasa tempoh kejutan luaran

BNM juga menggalakkan pelabur asing jangka panjang yang lebih stabil di Malaysia untuk meminimumkan volatiliti aliran keluar modal semasa tempoh tekanan.

Ketahui apa yang mendorong pergerakan ringgit dan bagaimana kadar pertukaran boleh menjejaskan perniagaan, isi rumah

Ketahui pertukaran balas (trade-off) menambat ringgit dan bagaimana kadar pertukaran tetap boleh menghadkan fleksibiliti dasar monetari dalam ekonomi terbuka.


Dasar Pertukaran Asing

Malaysia mengamalkan dasar pertukaran asing yang liberal. Bank Negara Malaysia komited untuk memastikan dasar ini terus menyokong daya saing ekonomi dengan memudahkan aktiviti ekonomi sebenar rentas sempadan.

Ketahui tentang rangka kerja dasar pertukaran asing Malaysia dan peraturan yang mengawal transaksi rentas sempadan dan aktiviti mata wang asing.

Ketahui bagaimana Program Pelabur Pemastautin Layak (QRI) menyokong syarikat pemastautin yang memulangkan dan menukar dana mata wang asing daripada pelaburan di luar negara.

Ketahui bagaimana perniagaan, pelabur dan individu boleh menyelesaikan transaksi rentas sempadan dengan Thailand dan Indonesia menggunakan mata wang tempatan.


Pasaran Kewangan & Operasi

Pasaran kewangan Malaysia memudahkan aktiviti pinjaman, memberi pinjaman, pelaburan dan pengurusan risiko di seluruh ekonomi. Pasaran ini terdiri daripada pasaran wang, pasaran bon dan pasaran pertukaran asing.

BNM menyokong pembangunan dan fungsi pasaran kewangan melalui peranannya dalam infrastruktur pasaran, pembangunan penanda aras, operasi sekuriti kerajaan dan inisiatif pasaran pertukaran asing.

Akses maklumat pasaran, kadar penanda aras, maklumat penerbitan sekuriti dan sumber pasaran kewangan yang lain.

Ketahui tentang Jawatankuasa Pasaran Kewangan dan peranannya dalam menggalakkan pembangunan dan fungsi pasaran kewangan Malaysia.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu?