Pembentangan oleh Gabenor Dato' Sri Abdul Rasheed Ghaffour di FIDE Forum: Advancing Islamic Finance as Part of the National Agenda

Kuala Lumpur | 24 September 2026

"Menerajui Fasa Seterusnya: Kewangan Islam Sebagai Pemangkin Kesejahteraan Negara"

 

Perjalanan ekonomi Malaysia sentiasa melalui perubahan dan tidak pernah statik. Pengalaman pembangunan negara telah dicorakkan oleh beberapa fasa transformasi ekonomi yang berturutan. Sejak tahun 1990, saiz ekonomi Malaysia telah berkembang hampir 17 kali, seiring dengan perubahan berterusan dalam sumber pertumbuhan. Kita telah bergerak daripada membina asas ekonomi kepada memperluas penyertaan industri, memperkukuh proses perindustrian dan seterusnya meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai.

Setiap fasa pembangunan negara telah membuka enjin pertumbuhan baharu serta turut mendedahkan kita kepada cabaran ekonomi yang kian kompleks. Kini, peralihan tersebut terus berlaku dalam persekitaran global yang lebih mencabar, seiring dengan pertumbuhan global yang lebih rendah, pemecahan perdagangan yang ketara serta kedudukan penampan luaran yang lebih terhad berikutan cabaran yang dihadapi sejak beberapa tahun lalu. Tugas kita bukan lagi sekadar mengembangkan kegiatan ekonomi, malah untuk membina ekonomi yang produktif dan berdaya tahan.

Setakat hari ini, KDNK negara telah melangkaui paras RM2 trilion, dengan unjuran pertumbuhan bagi tahun 2026 dijangka kekal sekitar 4% hingga 5%. Cabaran yang kita hadapi bukan sekadar mengekalkan pertumbuhan, justeru memperkukuh kualiti pertumbuhan tersebut. Melangkah ke fasa pembangunan seterusnya, terdapat sekurang-kurangnya empat anjakan penting bagi Malaysia:

  • Pertama, struktur ekonomi yang semakin kompleks apabila Malaysia terus bergerak ke arah perkilangan termaju, aktiviti intensif teknologi dan perkhidmatan bernilai lebih tinggi.
  • Kedua, produktiviti yang lebih kukuh, iaitu pertumbuhan yang semakin bergantung pada teknologi yang lebih baik, pelaburan modal yang lebih mendalam serta penggunaan tenaga mahir yang lebih berkesan.
  • Ketiga, keupayaan tempatan yang lebih mendalam supaya Malaysia dapat memperoleh bahagian nilai yang lebih besar daripada semua industri ini, bukan sekadar menjadi lokasi kepada kegiatan ekonomi tersebut, dan
  • Keempat, agenda peralihan tenaga yang memerlukan pelaburan yang besar dan pada masa yang sama memastikan daya saing ekonomi negara terus terpelihara.

Hal ini membawa kita kepada satu persoalan penting: bagaimanakah modal perlu diperuntukkan untuk tahun-tahun mendatang? Seiring dengan kematangan ekonomi dan anjakan pertumbuhan, produktiviti akan semakin menjadi penentu potensi keupayaan pertumbuhan negara. Bagi memperkukuh kapasiti produktif Malaysia, modal pelaburan perlu disalurkan kepada keperluan yang tepat.

Di sinilah letaknya peranan yang amat besar buat institusi perbankan negara. Keputusan pembiayaan yang dibuat oleh bank-bank masa kini adalah mustahak untuk membentuk fasa pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan. Memandangkan bank ialah perantara utama bagi menggerakkan modal domestik, institusi perbankan kekal menjadi tunjang utama sistem kewangan Malaysia.

Semua keutamaan ini tidak sekali-kali bersifat terasing, sebaliknya telah diintegrasikan sepenuhnya ke dalam kerangka strategi pembangunan nasional Malaysia. Rancangan Malaysia Ketiga Belas dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (New Industrial Masterplan, NIMP 2030) telah menetapkan hala tuju secara umum. Strategi peringkat sektor seperti Strategi Semikonduktor Nasional (National Semiconductor Strategy, NSS), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) dan Pelan Induk Industri Halal (Halal Industry Master Plan, HIMP) 2030 pula akan memberikan perincian yang lebih jelas mengenai keupayaan dan industri yang perlu kita bangunkan. Kita juga semakin teliti berhubung dengan kualiti pelaburan. Kerangka Insentif Baharu (New Incentive Framework, NIF) telah mengalihkan tumpuan dengan tidak lagi menilai kuantiti pelaburan semata-mata. NIF memberikan lebih penekanan pada nilai ekonomi yang dijana oleh pelaburan tersebut. Secara keseluruhannya, jajaran strategi ini menetapkan hala tuju yang lebih jelas tentang keupayaan dan pelaburan yang perlu dibangunkan oleh Malaysia.

Namun, apabila kita memerhatikan aliran pembiayaan negara pada hari ini, masih terdapat jurang antara aspirasi negara dengan hasil yang ingin direalisasikan. Meskipun aspirasi dasar telah dinyatakan dengan jelas dalam semua pelan induk negara, pembiayaan kepada sektor-sektor pemangkin utama (catalytic priority sectors) masih kekal sederhana, dengan kelulusan pemberian pinjaman terus ditumpukan pada sektor perkhidmatan.

Walaupun kelulusan pembiayaan kepada sektor perkilangan telah meningkat seiring peredaran masa, jumlahnya masih kecil berbanding dengan skala pelaburan yang diperlukan untuk membangunkan industri yang benar-benar berdaya saing pada peringkat global. Keadaan ini tidak semestinya menunjukkan bahawa institusi kewangan tidak bersedia untuk memberikan pembiayaan. Sebaliknya, hal ini menandakan masih terdapat jurang maklumat, ketidakpadanan daripada segi struktur dan keupayaan serta beberapa jurang lain yang boleh kita tangani secara bersama.

Mungkin persoalan yang lebih penting untuk kita jawab hari ini ialah: Adakah model pembiayaan kita masih bersifat reaktif terhadap keperluan ekonomi hari ini, atau adakah kita sudah mula proaktif dalam mendepani ekonomi masa akan datang?

Seiring dengan peranan kewangan Islam yang kian signifikan dalam sistem kewangan Malaysia, evolusi sektor ini menjadi satu kemestian. Malah, kewangan Islam perlu menerajui evolusi ini. Cabaran utamanya kini adalah untuk menterjemahkan skala pasaran yang besar kepada impak yang lebih relevan terhadap hala tuju ekonomi. Tatkala kegiatan ekonomi menjadi semakin kompleks, pendekatan pembiayaan konvensional mungkin tidak lagi memadai. Situasi ini memerlukan pembangunan lebih banyak penyelesaian berpaksikan sektor, tempoh pelaburan yang lebih panjang serta struktur pembiayaan yang mampu memenuhi keperluan pelbagai profil risiko.

Sepanjang dekad lalu, bahagian pembiayaan perbankan Islam berkembang hampir berganda sejak tahun 2015 daripada 25% kepada 48% daripada jumlah pembiayaan keseluruhan. Pertumbuhan ini bukan sekadar berbentuk relatif, malah perkembangan yang serupa turut diperhatikan dalam pasaran modal Islam. Saiz dananya meningkat daripada RM420 bilion kepada RM670 bilion dalam tempoh yang sama, sementara bahagian pasarannya kekal kukuh melebihi 60%. Maka, kewangan Islam kini bukan lagi berada di pinggiran sistem kewangan, sebaliknya merupakan salah satu saluran utama pengantaraan kewangan negara.

Yang penting, pertumbuhan ini disokong oleh ekosistem institusi yang meluas. Di sebalik semua angka ini terdapat keupayaan teras yang telah lama dipupuk dalam bidang penstrukturan produk, tadbir urus Syariah, pengurusan risiko dan penggemblengan modal. Semua asas ini telah tersedia. Seterusnya, bagaimanakah kita memanfaatkan kedudukan pasaran yang kukuh ini ke arah pembiayaan yang menyokong pelaburan produktif dan mempertingkatkan hasil sosial? Bagaimanakah asas ini menghasilkan tenaga mahir yang memahami bukan sahaja kewangan Islam, justeru semakin mahir dalam teknologi, sektor baharu dan struktur pembiayaan yang semakin mencabar?

Segala kelebihan ini sudah pun lazim bagi kita; perkongsian risiko, sumber modal yang lebih meluas dan struktur pembiayaan yang dapat disesuaikan mengikut keperluan ekonomi yang berbeza. Di sinilah letaknya keunikan kewangan Islam. Peluang yang muncul adalah untuk kita menggerakkan kelebihan ini secara lebih terarah, terutamanya bagi memenuhi keperluan pembiayaan jangka panjang, lebih khusus atau yang tidak dapat ditampung oleh model konvensional. Saya percaya bahawa fasa kewangan Islam yang seterusnya perlu berpaksikan tahap relevan dan impak yang dapat dibawa kepada ekonomi sebenar, dan bukannya semata-mata menghasilkan sesuatu yang baharu. Inilah inti pati yang mendasari inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based Intermediation).

Meskipun keupayaan sedia ada industri telah menyokong sektor matang dengan berkesan, keupayaan baharu diperlukan bagi menerokai peluang pertumbuhan yang sedang berkembang. Hal ini menuntut penilaian keupayaan rantaian nilai pembiayaan secara menyeluruh. Matlamatnya bukanlah untuk membina setiap jenis keupayaan, sebaliknya memberikan tumpuan pada bidang khusus yang paling sejajar dengan keutamaan strategik sesebuah institusi.  Keutamaan ini termasuk:

  • Kecerdasan sektor dan teknologi bagi menilai model perniagaan dan risiko yang baharu;

  • Keupayaan penstrukturan yang lebih sofistikated bagi memenuhi keperluan pembiayaan yang semakin pelbagai dan khusus;

  • Penggemblengan modal jangka panjang (patient capital) dan modal risiko bagi melengkapi pembiayaan berasaskan kunci kira-kira tradisional; dan

  • Keupayaan pelaksanaan yang lebih kukuh yang merangkumi tenaga mahir, data, sistem dan proses dalaman.

Walau bagaimanapun, keupayaan dan ekosistem yang kukuh semata-mata tidak menjamin kejayaan. Akhirnya, pemacu sebenar ialah kepimpinan yang mampu menetapkan hala tuju dan menterjemahkan wawasan menjadi tindakan. Izinkan saya mengetengahkan ramuan terpenting, iaitu peranan kepimpinan. Melangkah ke fasa seterusnya, kewangan Islam tidak lagi boleh digerakkan secara berasingan oleh pemimpin industri. Hal ini memerlukan komitmen dan teraju secara kolektif, iaitu setiap pihak dalam institusi bertanggungjawab membentuk hala tuju kewangan Islam. Dalam hal ini, tidak bermakna satu institusi perlu merebut semua peluang.

Bagi Ahli Lembaga, persoalan utamanya ialah: di manakah kita boleh memberikan sumbangan yang paling bermakna? Cabarannya adalah untuk mengenal pasti bidang yang meletakkan institusi pada kedudukan terbaik untuk menyumbang. Namun, penetapan aspirasi hanyalah permulaan. Aspirasi ini perlu dizahirkan secara jelas melalui keputusan berkaitan kesanggupan mengambil risiko, pengagihan modal serta penetapan kayu ukur kejayaan.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif dan pihak pengurusan, tumpuan kemudiannya beralih kepada pelaksanaan. Bagaimanakah aspirasi tersebut dapat diterjemahkan kepada peluang yang berdaya maju dan hasil yang nyata? Hal ini mungkin memerlukan pembinaan keupayaan baharu, sama ada melalui kepakaran sektor yang lebih mendalam, penggunaan data yang lebih baik, tenaga mahir khusus atau kerjasama yang lebih kukuh merentasi ekosistem yang lebih luas.

Bagi Jawatankuasa Syariah, timbul persoalan yang sama pentingnya: apakah bentuk keberhasilan sebenar yang ingin diwujudkan? Peranan mereka mampu memberikan impak yang paling besar apabila dilibatkan sejak peringkat awal proses. Pendekatan sebegini membolehkan pertimbangan Syariah menyokong inovasi dengan cara yang kekal berteraskan prinsip asas dan pada masa yang sama menjana nilai yang bermakna buat ekonomi dan masyarakat.

Meskipun ada perbezaan dalam tanggungjawab Lembaga, pihak pengurusan, dan jawatankuasa Syariah, usaha semua pihak ini harus kekal selaras. Kesepakatan mengenai keutamaan strategik, timbang tara risiko serta keberhasilan yang dihasratkan adalah mustahak. Pada dasarnya, kayu ukur sebenar kepimpinan bukanlah sekadar aspirasi yang disuarakan, justeru keupayaan membina kompetensi, menggerakkan sumber serta membuahkan keberhasilan yang nyata bagi merealisasikan aspirasi tersebut.

Cabaran ini tidak hanya mendepani Lembaga dan pihak pengurusan semata-mata, malah turut merangkumi pihak pengawal selia. Peranan kami perlu beranjak daripada sekadar mengawal selia pasaran sedia ada kepada menggerakkan semua perkara yang perlu diwujudkan.

Khususnya dalam landskap kewangan Islam, kami komited memastikan rangka kerja yang ada memberikan ruang kepada industri untuk memanfaatkan kepelbagaian kontrak Syariah. Bagaimanapun, penyediaan ruangan ini tidak bermakna merendahkan tahap piawaian kawal selia. Seiring dengan peningkatan tahap kecanggihan pasaran, kehendak kami berhubung dengan aspek tadbir urus, perlindungan pelabur, ketelusan serta pengurusan risiko juga wajib dipertingkatkan. Pada dasarnya, kami sebagai pengawal selia juga perlu bermuhasabah dan menilai diri berdasarkan kayu ukur yang sama dengan industri: adakah tindakan kami sebagai pengawal selia telah membantu sektor kewangan memacu impak yang lebih besar kepada ekonomi benar?

Walaupun penyediaan rangka kerja yang kondusif adalah penting, perkembangan akhirnya akan tetap bersandarkan kepada sejauh mana kita mampu menghimpunkan keupayaan pelaksanaan secara berkesan merentasi seluruh ekosistem. Kita perlu sedar bahawa tidak semua kepakaran harus berpusat pada satu institusi sahaja. Sudah tiba masanya untuk institusi meneliti di luar sempadan organisasi masing-masing dan memanfaatkan ekosistem yang lebih luas secara aktif, sama ada untuk mendapatkan kepakaran teknikal, modal tambahan atau kapasiti perkongsian risiko. Dalam kebanyakan situasi, semua asas ini telah sedia wujud. Keberadaannya adalah di institusi kewangan lain, pelabur institusi, sektor awam atau rakan teknikal. Langkah seterusnya adalah untuk menghubungkan semua titik keupayaan ini secara lebih bersasar berlandaskan agenda keutamaan negara.

Jadi, apakah sebenarnya keperluan dan aspirasi negara yang perlu disokong oleh kewangan Islam? Hal ini merupakan sesuatu yang sedang dipertimbangkan oleh Bank Negara Malaysia dalam usaha berterusan untuk merangka Pelan Sektor Kewangan 2027–2030. Melalui penelitian mendalam terhadap pelbagai pelan induk negara serta keperluan ekonomi di lapangan, beberapa aspirasi jangka panjang negara kini semakin jelas.

Secara keseluruhan, Pelan Sektor Kewangan menggambarkan Malaysia yang ingin kita bina. Sebuah negara yang rakyatnya dapat hidup lebih lama, lebih sihat dan lebih terjamin dari segi kewangan; pertumbuhan menghasilkan pekerjaan yang lebih baik dan pendapatan yang lebih tinggi; perniagaan dan sumber pendapatan rakyat kekal mampan; dan negara yang ekonominya menjadi lebih berdaya tahan serta lebih lestari seiring dengan peredaran masa. Di sinilah kewangan Islam perlu memaparkan matlamatnya yang sebenar. Kejayaan kewangan Islam tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan atau pematuhan Syariah semata-mata, tetapi juga berdasarkan keberkesanannya menggembleng modal demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menyokong sebuah masyarakat yang makmur.

Dengan menghimpunkan modal kredit, ekuiti dan dermawan, kewangan Islam berpotensi menghubungkan semua aspirasi negara ini dengan hasil ekonomi dan sosial yang nyata. Inilah peluang strategik yang terbentang luas bagi kewangan Islam berperanan bukan sekadar sebagai peserta dalam fasa pembangunan Malaysia yang seterusnya, malah bertindak sebagai pemangkin yang mencorakkan masa hadapan negara.

Untuk dibaca bersama: Slaid Pembentangan


Bank Negara Malaysia
24 September 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?