Bolehkah institusi kewangan membekukan akaun perbankan saya tanpa memberikan sebab?

Ya. Institusi kewangan boleh membekukan/menutup akaun perbankan pengguna selaras dengan terma dan syarat akaun. Namun begitu, institusi kewangan perlu memaklumkan pelanggan terlebih dahulu sebelum menutup akaun dan membayar balik dana yang ada.

Mengapa institusi perbankan membeku/menutup akaun bank saya?

Institusi kewangan akan membeku/menutup akaun pelanggan apabila institusi kewangan mendapati pelanggan melanggar terma dan syarat akaun perbankan selepas usaha yang sewajarnya telah dijalankan oleh bank masing-masing.

Kemungkinan pembekuan/penutupan akaun perbankan, adalah seperti berikut:

  1. Perkara insolvensi;
  2. Perintah/arahan dari pihak berkuasa;
  3. Institusi kewangan mengesyaki pemegang akaun bank atau pihak ketiga menyalahgunakan, menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang atau melibatkan penipuan melalui akaun perbankan (hal ini termasuk pengambilan deposit secara haram dan penipuan);
  4. Pihak institusi kewangan menerima perintah mahkamah atau dokumen undang-undang lain yang melarang pengendalian akaun perbankan oleh pemegang akaun.

(Senarai di atas tidak menyeluruh, pemegang akaun boleh merujuk kepada terma dan syarat am akaun perbankan masing-masing)

Anda boleh merujuk kepada Unit Aduan institusi kewangan atau Semak Mule milik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) untuk maklumat lanjut.

Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya akaun bank saya dibekukan/ ditutup oleh institusi kewangan?

Anda dinasihatkan untuk menghubungi pihak institusi kewangan dengan kadar segera untuk penjelasan dan tindakan selanjutnya.

Adakah pemegang akaun bank dibenarkan merayu untuk pembukaan semula akaun bank?

Pelanggan boleh merayu untuk pembukaan semula akaun tetapi keputusan untuk membuka semula, tertakluk kepada keputusan komersial institusi kewangan, berdasarkan pengurusan risiko dan polisi dalaman mereka. Bank Negara Malaysia tidak campur tangan dalam keputusan tersebut.

Pelanggan boleh merujuk kepada Unit Aduan institusi kewangan untuk membuat rayuan tersebut.

Saya telah memohon untuk membuka akaun perbankan baru, walau bagaimanapun pihak institusi kewangan menolak permohonan saya dengan alasan saya mempunyai rekod buruk di institusi kewangan terdahulu. Memandangkan saya mempunyai beberapa akaun bank sebelum ini, bagaimana saya hendak tahu institusi kewangan mana yang telah menyenaraihitamkan saya?

Sila rujuk institusi kewangan di mana anda mempunyai akaun atau anda boleh membuat semakan di Semak Mule CCID untuk maklumat lanjut. Bank Negara Malaysia tidak mengendalikan sebarang "senarai hitam" dan tidak mempengaruhi institusi kewangan berkenaan pembukaan atau penutupan akaun perbankan sedia ada.

Apakah yang dimaksudkan dengan transaksi / pengeluaran tanpa kebenaran?

Transaksi tanpa kebenaran merujuk kepada sebarang aktiviti pengeluaran atau pemindahan wang dari akaun bank, tanpa pengetahuan atau kebenaran dari pemilik akaun.

Apa yang perlu anda lakukan jika anda melihat transaksi yang tidak dibenarkan?

Jika anda melihat transaksi perbankan yang tidak dibenarkan:

  1. Segera hubungi talian hotline 24/7 bank anda atau talian hotline Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) 997.
  2. Buat laporan polis di balai polis berhampiran secepat mungkin.

Walaupun kejadian itu berlaku lebih daripada 24 jam yang lalu, anda harus melaporkan kejadian itu kepada institusi kewangan anda. Anda juga boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) NSRC.

Bagaimanakah anda menghalang transaksi/pengeluaran yang tidak dibenarkan daripada berlaku?

Anda dinasihati untuk mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

  • Jangan kongsi PIN dan kata laluan dengan sesiapa sahaja
  • Tukar kata laluan anda dengan kerap
  • Jangan dedahkan butiran bank anda kepada orang lain
  • Jangan biarkan orang lain menggunakan kad kredit anda
  • Jangan klik pada pautan yang mencurigakan
  • Jangan muat naik aplikasi daripada sumber yang tidak diketahui
  • Simpan kad kredit di tempat yang sama bagi memudahkan anda mengesan jika kehilangan kad tersebut
  • Jangan rekod PIN kad kredit/debit pada kad, atau pada apa-apa yang disimpan berdekatan dengan kad kredit/debit
  • Laporkan kepada pihak pengeluar kad sekiranya kad anda hilang
Berapa lamakah proses siasatan akan dijalankan oleh pihak institusi kewangan?

Proses siasatan adalah berbeza bagi setiap kes, bergantung atas kerumitan kes tersebut. Walaubagaimanapun, pihak bank harus memaklumkan berkaitan status siasatan dalam tempoh 14 hari dari tarikh aduan diterima.

Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya keputusan siasatan dari pihak institusi kewangan tidak memuaskan saya?

Anda dinasihati agar menghantar aduan anda kepada Unit Aduan institusi kewangan. Jika anda masih tidak berpuas hati dengan maklum balas yang diberi, anda boleh merujuk kepada Ombudsman untuk Perkhidmatan Kewangan.

Saya diganggu oleh pemungut hutang yang dilantik oleh institusi kewangan. Apa patut saya buat?

Anda dinasihatkan untuk membuat aduan kepada Unit Aduan institusi kewangan yang terlibat mengenai tindakan pengutip hutang mereka.

Anda boleh merujuk senarai Unit Aduan bank-bank di sini.

Bagaimana untuk memastikan bahawa pemungut hutang telah diberi kuasa untuk memungut hutang bagi pihak institusi kewangan?

Sekiranya anda dikunjungi pemungut hutang, minta kad kebenarannya yang mengandungi nama syarikatnya, serta notis bertulis mengenai hutang tersebut.

{{ item.title }}