Soalan Lazim
Apakah polisi/sijil Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (ITPK)?
Secara amnya, polisi/sijil ITPK direka untuk melindungi kos rawatan perubatan swasta, seperti kos kemasukan ke hospital dan penjagaan kesihatan, sekiranya anda didiagnosis dengan penyakit yang dilindungi atau ditimpa kemalangan.
Mengapakah saya patut membeli polisi/sijil ITPK?
Polisi/sijil ITPK dapat membantu anda membayar pelbagai perbelanjaan hospital dan perubatan sekiranya anda jatuh sakit atau cedera. Perbelanjaan ini mungkin termasuk kos bilik hospital, fi pembedahan dan profesional, serta kos perkhidmatan dan rawatan.
Apakah jenis-jenis polisi/sijil ITPK?
Terdapat beberapa jenis polisi/sijil ITPK, namun berikut adalah empat jenis utama:
- Insurans / Takaful hospital dan pembedahan;
- Insurans / Takaful penyakit merbahaya atau penyakit kritikal;
- Insurans / Takaful pendapatan akibat hilang upaya; dan
- Insurans / Takaful pendapatan hospital.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi syarikat insurans/pengendali takaful anda.
Apakah manfaat yang dilindungi di bawah polisi/sijil ITPK?
Perlindungan bergantung kepada jenis polisi/sijil yang anda beli. Anda dinasihatkan untuk membaca terma-terma dan syarat-syarat polisi/sijil untuk memahami perlindungan dan pengecualian keatas polisi/sijil anda.
Di manakah saya boleh mendapatkan perlindungan ITPK?
Anda boleh mendapatkan perlindungan ITPK melalui:
- pelan insurans/takaful berkumpulan di tempat kerja; atau
- pelan insurans/takaful individu yang boleh dibeli sendiri.
Bagaimanakah saya boleh membeli polisi/sijil ITPK?
Anda boleh membeli polisi/sijil ITPK terus daripada syarikat insurans/pengendali takaful, atau melalui ejen insurans/takaful yang sah, atau melalui penasihat kewangan yg diluluskan, penasihat kewangan Islam yang diluluskan dan broker insurans/takaful yang diluluskan (biasanya untuk polisi ITPK berkumpulan). Anda boleh merujuk kepada Unit Aduan syarikat insurans atau pengendali takaful di sini.
Apakah yang boleh berlaku apabila anda ingin memperbaharui polisi/sijil anda?
Apabila anda ingin memperbaharui polisi/sijil, syarikat insurans/pengendali takaful mungkin membaharui polisi/sijil dengan kadar premium/sumbangan yang setara; membaharui polisi dengan kadar premium/sumbangan yang baharu; atau menolak untuk membaharui polisi/sijil anda.
Adakah saya akan dikenakan bayaran jika saya berubah fikiran dan ingin membatalkan polisi/sijil ITPK saya setelah pembelian?
Anda boleh membatalkan polisi/sijil ITPK anda dengan memberikan notis secara bertulis kepada syarikat insurans/pengendali takaful tanpa dikenakan sebarang cas sekiranya pembatalan dilakukan dalam tempoh rujukan percuma selama 15 hari. Sekiranya pembatalan dilakukan 15 hari setelah pembelian polisi/sijil, anda mungkin tidak akan dikembalikan premium/caruman yang telah dibayar atau anda mungkin menerima hanya sebahagian bayaran balik premium/caruman yang telah anda bayar.
Siapa yang perlu anda rujuk untuk memahami terma-terma dan syarat-syarat polisi/sijil ITPK?
Adalah mustahak untuk anda memahami istilah yang digunakan di dalam polisi/sijil ITPK. Sekiranya anda mempunyai sebarang keraguan tentang maksud istilah-istilah berkenaan, anda hendaklah bertanya kepada perantara seperti ejen, broker dan penasihat kewangan yang sah atau syarikat insurans/pengendali takaful yang menjual polisi/sijil ITPK kepada anda.
Pengecualian polisi insurans/sijil takaful.
Polisi/sijil ITPK juga mengandungi pengecualian tertentu seperti syarat-syarat pra-wujud, penyakit-penyakit yang ditetapkan, tempoh kelayakan/menunggu yang tidak dilindungi oleh polisi/sijil anda. Adalah amat penting untuk anda mengetahui tentang pengecualian ini dan sekiranya anda tidak faham, bertanyalah kepada perantara seperti ejen, broker dan penasihat kewangan yang sah atau syarikat insurans/pengendali takaful anda.
Bagaimana saya boleh membuat tuntutan ITPK?
Sebelum anda menerima rawatan, sekiranya boleh, anda perlu menghubungi perantara yang menjual polisi/sijil ITPK kepada anda seperti ejen, broker dan penasihat kewangan yang sah atau syarikat insurans/pengendali takaful anda untuk memastikan bahawa anda dilindungi untuk rawatan tersebut atau hospital berkenaan adalah panel hospital syarikat insurans/pengendali takaful anda. Malah, beberapa syarikat insurans/pengendali takaful bertegas mengenai keperluan ini. Syarikat insurans/pengendali takaful anda akan memberi segala panduan yang anda perlukan, mengesahkan perlindungan anda, dan sekiranya perlu, menghantar borang tuntutan kepada anda.
Apa yang perlu anda lakukan jika anda didiagnosis ketidakupayaan yang membawa kepada perbelanjaan yang boleh dituntut?
Anda perlu memaklumkan secepat mungkin kepada syarikat insurans/pengendali takaful anda. Dapatkan dan ikut nasihat perubatan yang betul dan syarikat insurans/pengendali takaful akan membuat pembayaran balik kos sebenar rawatan yang ditanggung tertakluk kepada had-had dalam polisi/sijil anda.