Bank Negara Malaysia, Bank Indonesia, Bank of Thailand dan Bangko Sentral ng Pilipinas Menandatangani Memorandum Persefahaman bagi Memperkukuh Kerjasama di bawah Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan
Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Indonesia (BI), Bank of Thailand (BOT) dan Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP) telah menandatangani memorandum persefahaman (memorandum of understanding, MoU) mengenai kerjasama di bawah Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan (Local Currency Transaction, LCT) pada 13 November 2026. MoU tersebut ditandatangani oleh Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor BI Destry Damayanti, Gabenor BOT Vitai Ratanakorn dan Gabenor BSP Eli M. Remolona, Jr.
MoU baharu ini mewujudkan rangka kerja kerjasama antara keempat-empat bank pusat untuk menggalakkan dan memudahkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian transaksi dua hala antara negara-negara yang mengambil bahagian, termasuk perdagangan, pelaburan dan transaksi lain yang layak. MoU ini menggantikan MoU dua hala terdahulu mengenai Rangka Kerja Kerjasama untuk Menggalakkan Transaksi Dua Hala dalam Mata Wang Tempatan yang dimeterai antara BNM, BI dan BOT pada bulan Ogos 2023.
Menerusi galakan penggunaan mata wang tempatan secara lebih meluas dalam transaksi serantau, rangka kerja ini bertujuan meningkatkan kecekapan penyelesaian rentas sempadan, mengurangkan kos yang berkaitan dengan pertukaran mata wang yang berbilang dan memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada perniagaan serta peserta pasaran lain dalam menguruskan risiko pertukaran asing.
Bank-bank pusat yang mengambil bahagian akan terus bekerjasama untuk memajukan pembangunan dan pelaksanaan Rangka Kerja LCT. Inisiatif ini dijangka memperluas transaksi dalam mata wang tempatan secara beransur-ansur bagi menyokong kegiatan ekonomi serta memperkukuh kerjasama kewangan serantau dan daya tahan ekonomi.
Bank Negara Malaysia
Bank Indonesia
Bank of Thailand
Bangko Sentral ng Pilipinas
13 November 2026
Gabenor Bank Negara Malaysia Abdul Rasheed Ghaffour (kiri atas), Gabenor Bank Indonesia Destry Damayanti (kiri bawah), Gabenor Bank of Thailand Vitai Ratanakorn (kanan atas) dan Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas Eli M. Remolona, Jr. (kanan bawah) menunjukkan Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani bagi memeterai kerjasama di bawah Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.