Bank Negara Malaysia dan Bangko Sentral ng Pilipinas Perkukuh Kerjasama dalam Perbankan Pusat dan Pembangunan Sektor Kewangan

20 Nov 2026 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP) hari ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding, MoU) yang mewujudkan rangka kerja kerjasama dalam bidang perbankan pusat dan pembangunan sektor kewangan.

MoU ini menandakan komitmen rasmi kedua-dua bank pusat untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk kewangan Islam, jalinan pembayaran rentas sempadan, transaksi mata wang tempatan, serta inovasi dan pendigitalan kewangan.

Gabenor BNM Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “MoU ini dimeterai pada waktu yang sesuai memandangkan landskap kewangan dan ekonomi menjadi semakin kompleks. Berasaskan hubungan kerjasama erat yang sedia terjalin, MoU ini akan membolehkan BNM dan BSP memperkukuh keutamaan bersama, saling belajar antara satu sama lain, meneroka peluang baharu dan menangani cabaran yang sedang muncul secara bersama .”

Gabenor BSP Eli M. Remolona, Jr. pula berkata, “MoU ini menandakan satu lagi kemajuan yang ketara dalam hubungan kerjasama yang telah lama terjalin antara BSP dengan BNM. Setelah asas kerjasama yang kukuh diwujudkan, ukuran kejayaan seterusnya terletak pada keupayaan kita untuk membina institusi yang lebih mantap, infrastruktur kewangan yang lebih baik, serta program praktikal yang benar-benar meningkatkan kesejahteraan rakyat bagi kedua-dua negara.”

Selain bekerjasama untuk memberikan manfaat yang nyata kepada ekonomi negara masing-masing, kedua-dua bank pusat juga menyasarkan untuk menterjemahkan rangka kerja ini kepada kerjasama yang bermakna ke arah integrasi kewangan serantau yang lebih mendalam.

 

Bank Negara Malaysia
Bangko Sentral ng Pilipinas
20 November 2026

Gabenor Bank Negara Malaysia Abdul Rasheed Ghaffour dan Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas Eli M. Remolona, Jr. di majlis tandatangan Memorandum Persefahaman


Bank Negara Malaysia
20 November 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?