Bank Negara Malaysia Memperkenalkan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS Berjumlah RM5 bilion bagi Menyokong Perniagaan yang Terjejas oleh Konflik Asia Barat

28 Apr 2026 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME Stabilisation Relief Facility, SME SRF), iaitu kemudahan pembiayaan berjumlah RM5 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk perusahaan mikro, yang terjejas oleh konflik semasa di Asia Barat. BNM menyedari bahawa PKS dalam segmen tertentu mungkin mengalami gangguan operasi, cabaran aliran tunai serta kesukaran untuk memenuhi komitmen kewangan jangka pendek.

Seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa perbincangan meja bulat dengan para ketua pegawai eksekutif institusi kewangan pada 21 April 2026, SME SRF akan menyediakan pembiayaan modal kerja bagi membantu perniagaan yang berdaya maju untuk meneruskan operasi dan mengharungi tempoh ketidakpastian ini. PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan hingga RM750,000 untuk tempoh sehingga lima tahun, dengan kadar pembiayaan maksimum sebanyak 3.75% setahun (termasuk yuran jaminan). Pembiayaan ini akan disokong oleh jaminan hingga 80% daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), terutamanya bagi PKS yang tidak mempunyai cagaran yang mencukupi.

Permohonan untuk SME SRF akan dibuka mulai 15 Mei 2026 hingga 31 Disember 2026, atau sehingga kemudahan ini digunakan sepenuhnya. PKS boleh memohon secara terus kepada institusi kewangan peserta, termasuk bank perdagangan, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM.

Dalam persekitaran semasa, BNM amat menggalakkan perniagaan yang menjangkakan atau sudahpun mengalami kesukaran kewangan untuk berhubung lebih awal dengan institusi kewangan masing-masing. Tindakan proaktif membolehkan bank bekerjasama dengan peminjam untuk mengenal pasti penyelesaian yang sesuai, termasuk fleksibiliti bayaran balik pinjaman, penstrukturan semula kemudahan pembiayaan, atau langkah-langkah sokongan lain yang disesuaikan untuk membantu perniagaan kekal berdaya maju. Institusi kewangan sentiasa bersedia untuk membantu dan komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan PKS yang terkesan sepanjang tempoh ini.

Selain itu, PKS juga boleh mendapatkan khidmat nasihat kewangan, sokongan pendidikan kewangan, serta bantuan khidmat nasihat bayaran balik pinjaman secara menyeluruh daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui program seperti:

  • Program Pengurusan Kredit (PPK) untuk individu dan peniaga milikan tunggal
  • Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) untuk PKS

Untuk penjelasan atau bantuan, PKS boleh menghubungi institusi kewangan mereka secara langsung atau menghubungi BNM melalui bnm.gov.my/LINK.

Lihat juga: Dana BNM untuk PKS


Bank Negara Malaysia
28 April 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?