Bank Negara Malaysia Menambah Baik Penerbitan Sorotan dan Statistik Bulanan

30 Nov 2023 Notis Umum
  • Lapan set data baharu untuk Sorotan dan Statistik Bulanan
  • Terma Penggunaan Baharu bagi set data BNM untuk menyokong inisiatif data terbuka Kerajaan

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menerbitkan lapan set data baharu serta metadata dalam penerbitan Sorotan Bulanan dan Statistik (Monthly Highlights and Statistics, MHS).

Penambahbaikan ini merupakan susulan kepada kajian secara menyeluruh ke atas set data BNM yang diterbitkan. Langkah ini juga selaras dengan inisiatif pembangunan ekosistem data terbuka di bawah Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 dan agenda data terbuka oleh Kerajaan. Matlamat utama kajian ini adalah untuk meningkatkan ketersediaan dan kebolehcapaian set data BNM untuk menyokong proses membuat keputusan berasaskan data. Matlamat lain adalah untuk membangunkan pemahaman baharu serta mengenal pasti peluang kolaboratif dan inovatif.

Lapan Set Data Baharu

Sebanyak lapan set data baharu (lihat jadual) dipilih berdasarkan rekod permintaan data terdahulu daripada pelbagai pihak bekepentingan. Maklum balas juga dikumpulkan menerusi maklum balas orang ramai melalui kajiselidik yang dibuat pada bulan Ogos 2022. BNM juga membuat penanda aras terhadap set data yang diterbitkan oleh bank-bank pusat lain.

Bidang

Set Data

Ciri-ciri Pengembangan Data

Tarikh Penerbitan

Sektor Luaran

1.   Sistem Perbankan: Kedudukan Rentas Sempadan berbanding dengan Bukan Pemastautin Mengikut Sektor dan Instrumen Rakan Niaga

Pengasingan mengikut rakan niaga bukan pemastautin

30 November 2023

Insurans dan Takaful

2.   Nisbah kecukupan modal suku tahunan

Penerbitan setiap suku tahunan

3.   Aset dan liabiliti suku tahunan syarikat insurans

4.   Nisbah bendungan suku tahunan

5.   Premium dan tuntutan suku tahunan

Monetari dan Perbankan

6.   Pinjaman isi rumah mengikut tujuan

Pengasingan mengikut tujuan

7.   Transaksi kad debit mengikut jenis transaksi

Pengasingan mengikut jenis transaksi

8.   Sistem Perbankan: Pinjaman/Pembiayaan Mengikut Lokasi

Pengasingan mengikut negeri

30 Jun 2024


Sebagai tambahan kepada lapan set data baharu ini, BNM juga menerbitkan set data yang lebih terperinci untuk Jumlah Pinjaman/Pembiayaan Mengikut Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (Malaysian Financial Reporting Standards 9, MFRS9) dan Jumlah Peruntukan, dengan menambah pengasingan data mengikut dedahan klasifikasi. Pemerincian ini adalah selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

Semua set data sudah tersedia pada hari ini kecuali set data Pinjaman/Pembiayaan Mengikut Lokasi yang akan diterbitkan pada suku kedua tahun 2024.

Terma Penggunaan Baharu

BNM juga memperkenalkan Terma Penggunaan (Terms of Use, TOU) baharu untuk set datanya yang membolehkan pengguna memanfaatkan data bagi tujuan komersial dan bukan komersial. TOU baharu ini terpakai untuk data yang penyusun utamanya ialah BNM. Sebelum ini, set data terikat dengan TOU umum untuk laman sesawang BNM yang membenarkan data digunakan untuk tujuan makluman sahaja.

Bagi membolehkan BNM memberikan maklum balas yang lebih baik kepada permintaan data yang sedang berkembang, BNM akan terus meningkatkan ketersediaan dan akses orang ramai kepada set datanya. Hal ini dibuat melalui semakan berkala menerusi perbandingan dengan amalan terbaik antarabangsa serta sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Orang ramai boleh terus menghubungi BNMLINK menerusi borang web pada pautan bnmlink.bnm.gov.my atau talian 1-300-88-5465 untuk pertanyaan lanjut.

Lihat juga:


Bank Negara Malaysia
30 November 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?