Bank Negara Malaysia mengenakan kompaun terhadap AmBank (M) Berhad berikutan ketidakpatuhan terhadap Akta Perkhidmatan Kewangan 2013
Pada 18 November 2024, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan kompaun[1] berjumlah RM875,000 terhadap AmBank (M) Berhad (AmBank) kerana gagal mematuhi Arahan kepada Institusi Kewangan, yang dikeluarkan menurut seksyen 214(6) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK 2013). AmBank gagal meneliti kelulusan BNM yang diberikan kepada individu pemastautin yang mempunyai pinjaman domestik dalam ringgit sebelum menjalankan dua urus niaga pelaburan dalam aset mata wang asing bagi individu tersebut. Tindakan ini telah melanggar seksyen 214(6) APK 2013.
Di bawah Arahan Kepada Institusi Kewangan Berhubung Dasar Pertukaran Asing, institusi kewangan dikehendaki mempunyai dan melaksanakan kawalan dalaman serta prosedur untuk memastikan pematuhan oleh institusi kewangan dan pelanggan mereka dengan mana-mana arahan, kelulusan, keperluan, sekatan dan syarat yang dikeluarkan oleh BNM di bawah seksyen 214 APK 2013. Hal ini termasuk meneliti kelulusan bertulis daripada BNM sebelum memudahkan atau melaksanakan apa-apa urus niaga yang memerlukan kelulusan tersebut.
Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kelemahan yang telah dikenal pasti dalam dasar dan prosedur dalaman AmBank. AmBank telah mengambil langkah yang sewajarnya untuk memperkukuhkan amalan dan prosedur dalaman berhubung dengan dasar pertukaran asing. Langkah ini termasuk memberikan latihan yang sesuai kepada kakitangan dan menambah baik aliran maklumat dalaman untuk memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan domestik yang terpakai.
Dalam membuat keputusan untuk mengenakan kompaun, BNM mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk fakta kes di atas serta rekod ketidakpatuhan AmBank sebelum ini.
AmBank telah membayar kompaun berjumlah RM875,000 yang dikenakan pada 6 Disember 2024. Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Pendekatan Penguatkuasaan.
BNM ingin menegaskan bahawa institusi kewangan dan orang ramai dikehendaki memastikan pematuhan dengan peraturan Dasar Pertukaran Asing yang relevan apabila menjalankan urus niaga sedemikian, termasuk mendapatkan kelulusan bertulis dari BNM, jika berkenaan. Selain itu, institusi kewangan diingatkan untuk menasihati pelanggan dengan sewajarnya mengenai keperluan ini. Maklumat lebih lanjut mengenai peraturan ini boleh didapati dalam Dasar Pertukaran Asing.
[1] BNM mengenakan kompaun menurut seksyen 253 APK 2013.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.