Bank Negara Malaysia mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran ke atas Worldwide Superstar Money Changer Sdn. Bhd. kerana ketidakpatuhan pada Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 dan Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan

28 Jan 2025 Notis Umum

Pada 28 Ogos 2024, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP)[1] sebanyak RM51,000 terhadap Worldwide Superstar Money Changer Sdn. Bhd. (WSMC) kerana tidak mematuhi keperluan usaha wajar pelanggan (customer due diligence, CDD) di bawah seksyen 74 dan 75(1)(b) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA), dibaca bersama dengan perenggan 14C.1(b) dan 14C.12.1 dalam Dokumen Dasar Anti Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT and TFS for FIs PD). Selain itu, WSMC juga gagal memastikan pemasangan dan liputan kamera CCTV di premis dengan sewajarnya. Hal ini merupakan pelanggaran seksyen 74 dan 75(1)(b) MSBA dibaca bersama dengan perenggan 29.8.3(a) dari Dokumen Dasar Tadbir Urus, Pengurusan Risiko dan Operasi untuk MSB (Governance, Risk Management and Operations for MSB Policy Document, GRMO).

BNM telah mengesan ketidakpatuhan ini semasa pemeriksaan di premis. WSMC gagal melaksanakan CDD ke atas empat pelanggan berhubung dengan tindakan sengaja membahagikan transaksi kepada beberapa transaksi berjumlah bawah RM3,000 bagi pelaksanaan CDD. Pemeriksaan juga mendapati bahawa WSMC tidak memasang sebarang kamera CCTV di bahagian premis yang menyimpan dana perniagaannya.

Institusi Pelapor (reporting institutions, RI) dikehendaki melaksanakan CDD ke atas pelanggan bagi membolehkan RI menilai dedahan mereka terhadap risiko pengubahan wang haram/pembiayaan keganasan serta mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mencegah RI daripada menjadi saluran yang memudahkan pengubahan wang haram/pembiayaan keganasan serta aktiviti jenayah serius lain. Di samping itu, WSMC gagal melaksanakan langkah kawalan penting iaitu operasi kamera CCTV yang membolehkan pengurusan menjalankan pengawasan yang sewajarnya dan memantau operasi perniagaan secara berterusan bagi melindungi operasi MSB daripada disalahgunakan untuk pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan atau tujuan haram lain.

Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan relevan, yang termasuk:

  1. tahap kesalahan individu dalam syarikat yang mengakibatkan ketidakpatuhan;
  2. keberkesanan kawalan sedia ada untuk mengesan dan mencegah ketidakpatuhan;
  3. rekod pematuhan WSMC pada masa lalu; dan
  4. tindakan pemulihan yang diambil oleh WSMC untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang. Hal ini termasuk langkah yang diambil untuk memperkukuh proses CDD, memperluas liputan kamera CCTV dan memberi amaran kepada individu yang gagal mematuhi keperluan CDD.

WSMC[2] telah membayar sebanyak RM51,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM pada
26 November 2024.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Pendekatan Penguatkuasaan.

 


[1] BNM mengeluarkan AMP berdasarkan seksyen 75(2)(b) MSBA.

[2] WSMC memutuskan untuk menyerahkan kembali lesen operasinya pada 12 Disember 2024.


Bank Negara Malaysia
28 Januari 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?