Bank Negara Malaysia mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran Terhadap Bank Pembangunan Malaysia Berhad berikutan ketidakpatuhan terhadap Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 dan Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan
Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP) berjumlah RM493,500 terhadap Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) kerana tidak mematuhi keperluan yang berkaitan dengan usaha wajar pelanggan (customer due diligence, CDD) dan keperluan saringan sekatan (sanctions screening):
A. Ketidakpatuhan berkaitan dengan keperluan usaha wajar pelanggan
Pada 14 Februari 2025, BNM telah mengenakan AMP[1] sebanyak RM229,500 terhadap BPMB kerana tidak mematuhi perenggan 41(4)(a) Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (Development Financial Institutions Act 2002, DFIA), dibaca bersama dengan perenggan 14A.3(c) and 14A.9.6 dalam Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT and TFS for Fis PD).[2]
Di bawah dokumen AML/CFT and TFS for Fis PD, institusi-institusi pelapor (reporting institutions, RI) dikehendaki untuk mengenal pasti dan mengambil langkah yang munasabah untuk mengesahkan identiti orang sebenar yang merupakan pemilik benefisial (beneficial owners) pelanggan mereka. Keperluan ini membolehkan RI menilai dedahan mereka terhadap risiko pengubahan wang haram/pembiayaan keganasan dan mengambil langkah kawalan yang sewajarnya. Selain itu, langkah-langkah ini bertujuan untuk mencegah individu daripada menyalahgunakan entiti syarikat mereka untuk menyembunyikan aset tidak sah dengan mengekalkan penampilan yang sah dalam sistem kewangan.
BNM telah mengenal pasti ketidakpatuhan tersebut semasa menjalankan pemeriksaan di premis BPMB. Ketidakpatuhan tersebut disebabkan oleh kakitangan yang kurang faham mengenai keperluan khusus berkaitan dengan pemilik benefisial. Sejak itu, BPMB telah memperkukuh pematuhannya terhadap keperluan CDD dengan cara memantapkan tatacara pengendalian piawaiannya untuk pemilik benefisiari. BPMB juga telah melaksanakan program latihan untuk meningkatkan kefahaman kakitangan mengenai pengenalpastian dan pengesahan pemilik benefisiari, serta keperluan pengawalseliaan lain yang berkaitan dengan langkah-langkah CDD.
Semasa membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk:
- kegagalan BPMB untuk mengambil langkah-langkah munasabah bagi memastikan kakitangannya faham tentang keperluan-keperluan tersebut;
- tindakan pemulihan yang telah dilaksanakan oleh BPMB untuk mengurangkan jurang tersebut; dan
- ketidakpatuhan ini merupakan ketidakpatuhan AML/CFT pertama BPMB.
Maklumat lanjut mengenai keperluan usaha wajar pelanggan untuk RI boleh didapati di laman sesawang mikro AML/CFT.
B. Ketidakpatuhan berkaitan dengan keperluan saringan sekatan
Pada 7 April 2025, BNM telah mengenakan AMP[3] sebanyak RM264,000 terhadap BPMB kerana tidak mematuhi perenggan 41(4)(a) DFIA 2002, dibaca bersama dengan perenggan 27.3.2, 27.3.5, 27.3.7 and 27.4.2 dalam dokumen AML/CFT and TFS for FIs PD.[4]
Di bawah dokumen AML/CFT and TFS for FIs PD, RI dikehendaki untuk memastikan bahawa maklumat yang terkandung dalam pangkalan data saringan sekatan dikemas kini dan dilaksanakan sebaik sahaja Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council Resolutions, UNSCR)[5] diterbitkan di laman sesawang UN dan Senarai Domestik[6] diterbitkan dalam Warta Kerajaan. Seterusnya, RI perlu menyaring seluruh pangkalan data pelanggan mereka untuk mengenal pasti sebarang padanan nama yang positif sebaik sahaja pihak berkuasa yang berkaitan menerbitkan senarai masing-masing. Langkah ini penting untuk melindungi RI dan keseluruhan sistem kewangan daripada disalahgunakan untuk pembiayaan keganasan.
Ketidakpatuhan tersebut yang dikenal pasti semasa BNM menjalankan pemeriksaan di premis, adalah disebabkan oleh jurang dalam proses penyaringan sekatan BPMB yang seterusnya menyebabkan kegagalan untuk menjalankan proses penyaringan sekatan ke atas pelanggan sedia ada dengan segera. BPMB telah mengambil langkah yang sewajarnya untuk memperkukuh proses penyaringan sekatan dan meningkatkan keberkesanan pengurusan penyaringan sekatan, termasuk mengadakan latihan untuk kakitangan. Walau bagaimanapun, tidak ada pelanggan BPMB yang terdiri daripada entiti yang tersenarai[7] dan BPMB tidak menjalankan apa-apa transaksi yang melibatkan entiti berkenaan.
Semasa membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk:
- kekurangan langkah yang munasabah oleh BPMB untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan untuk menyenggarakan senarai sekatan dan penyaringan sekatan secara berterusan disebabkan oleh jurang pada dasar dan prosedur, serta sistem dalaman BPMB;
- kawalan sedia ada BPMB yang memerlukan penambahbaikan selanjutnya bagi memenuhi piawaian industri;
- tindakan pemulihan yang telah dilaksanakan oleh BPMB untuk mengurangkan jurang tersebut; dan
- ketidakpatuhan ini merupakan ketidakpatuhan pertama yang dilakukan oleh BPMB bagi kesalahan seperti ini.
Secara keseluruhan, BPMB telah membayar RM493,500 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM pada 5 Mac (RM229,500) dan 16 April 2025 (RM264,000).
Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] BNM mengenakan AMP menurut perenggan kecil 106A(3)(b)(i) DFIA.
[2] Dokumen AML/CFT and TFS for FIs PD berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan Senjata Pemusnah Besar-Besaran dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD), yang berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. Keperluan ini dikuatkuasakan di bawah perenggan 14A.3(c) and 14A.9.6 dalam dokumen AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD .
[3] BNM mengenakan AMP menurut perenggan kecil 106A(3)(b)(i) DFIA.
[4] Keperluan ini dikuatkuasakan di bawah perenggan 27.3.2, 27.3.5, 27.3.7 dan 27.4.4 dalam dokumen AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD yang berkuat kuasa mulai 6 Februari 2024.
[5] Senarai UNSCR ialah senarai nama dan butiran individu seperti yang ditentukan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council, UNSC) atau Jawatankuasa Sekatan yang berkaitan mengikut UNSCR yang berkenaan dan dianggap sebagai entiti yang ditentukan menurut seksyen 66C(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA).
[6] Senarai Domestik ialah senarai nama dan butiran entiti ditentukan yang diisytiharkan oleh Kementerian Dalam Negeri di bawah perundangan subsidiari yang berkaitan yang dibuat di bawah seksyen 66B(1) AMLA.
[7] Individu atau entiti yang disenaraikan dalam Senarai Domestik dan Senarai UNSCR.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.