Bank Negara Malaysia mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran terhadap CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad berikutan ketidakpatuhan pada Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013
Pada 29 Julai 2024, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty (AMP)[1] sebanyak RM760,000 terhadap CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Behad (secara kolektif dirujuk sebagai CIMB) berikutan ketidakpatuhan pada perenggan 48(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA) dan perenggan 58(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Islamic Financial Services Act 2013, IFSA) yang dibaca bersama dengan perenggan 10.32 Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (Risk Management in Technology, RMiT).
Di bawah perenggan 10.32 Dokumen Dasar RMiT, institusi kewangan perlu memastikan sistem kritikal yang relevan direka bentuk dengan tahap ketersediaan yang tinggi, khususnya:
(a) masa terhenti tidak terancang yang mempengaruhi antara muka (interface) pengguna secara terkumpul hendaklah tidak melebihi empat jam dalam tempoh 12 bulan secara berterusan (rolling basis); dan
(b) masa terhenti maksimum yang boleh diterima (maximum tolerable downtime) selama 120 minit bagi setiap kejadian.
Pada 8 dan 9 April 2024, pelanggan CIMB mengalami gangguan perkhidmatan berpanjangan yang menjejaskan saluran perbankan elektronik, Mesin Juruwang Automatik (Automated Teller Machine, ATM) serta kad debit dan kad kredit. Tempoh gangguan perkhidmatan CIMB ini melebihi paras ambang yang ditetapkan oleh BNM. Siasatan punca insiden tersebut mendapati bahawa ketidakpatuhan CIMB disebabkan oleh kegagalan proses tindak balas dan pemulihan untuk menghentikan gangguan sistem dengan segera, lantas memberikan kesan terhadap tahap ketersediaan perkhidmatan perbankan penting untuk pelanggan dan pihak lain yang berkenaan.
CIMB telah mengambil tindakan pemulihan yang sewajarnya, termasuk mempertingkatkan fungsi pemantauan infrastruktur IT masa nyatanya bagi menambah baik lagi keupayaan pemulihan sistem dan mencegah ketidakpatuhan pada masa hadapan.
Faktor-faktor Penyebab dan Pengurangan
Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk:
- kegagalan mengambil langkah yang wajar untuk mengurangkan insiden masa terhenti dan mengelakkan ketidakpatuhan;
- tahap keseriusan ketidakpatuhan, termasuk impak gangguan perkhidmatan terhadap pelanggan dan pihak lain yang berkenaan;
- rekod pematuhan lampau dan sejarah tindakan penguatkuasaan formal yang dikenakan; dan
- keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah insiden daripada berulang.
BNM menghendaki semua institusi kewangan untuk mengekalkan tahap daya tahan teknologi yang tinggi terhadap gangguan operasi bagi memastikan perkhidmatan kewangan penting terus tersedia. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya terhadap institusi kewangan yang tidak memenuhi kehendak pengawalseliaan.
CIMB membayar sebanyak RM760,000 bagi AMP yang dikenakan oleh BNM pada 12 Ogos 2024.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Pendekatan Penguatkuasaan yang diterbitkan. Untuk maklumat lanjut, sila layari Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] BNM mengenakan AMP berdasarkan subseksyen 234(3)(b)(i) FSA dan subseksyen 245(3)(b)(i) IFSA.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.