Bank Negara Malaysia mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran terhadap Malayan Banking Berhad dan Maybank Islamic Berhad berikutan ketidakpatuhan pada Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013

14 Ogo 2024 Notis Umum

Pada 29 Julai 2024, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty (AMP)[1] sebanyak RM4,320,000 terhadap Malayan Banking Berhad dan Maybank Islamic Berhad (secara kolektif dirujuk sebagai Maybank) berikutan ketidakpatuhan pada perenggan 48(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA) dan perenggan 58(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Islamic Financial Services Act 2013, IFSA) dibaca bersama dengan perenggan 10.32 Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (Risk Management in Technology, RMiT).

Di bawah perenggan 10.32 Dokumen Dasar RMiT, institusi kewangan perlu memastikan sistem kritikal yang relevan direka bentuk dengan  tahap ketersediaan yang tinggi, khususnya:

(a) masa terhenti tidak terancang yang mempengaruhi antara muka (interface) pengguna secara terkumpul hendaklah tidak melebihi empat jam dalam tempoh 12 bulan secara berterusan (rolling basis); dan

(b) masa terhenti maksimum yang boleh diterima (maximum tolerable downtime) selama 120 minit bagi setiap kejadian.

Antara 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024, aplikasi Regional Mobile Bank Platform (RMBP) dan MAE Maybank mengalami beberapa kali masa terhenti tidak dirancang yang menyebabkan gangguan berpanjangan terhadap beberapa antara muka (interface) perkhidmatan perbankan dengan pelanggan dan pihak lain yang berkenaan. Tempoh gangguan melebihi paras ambang yang ditetapkan dalam perenggan 10.32 Dokumen Dasar RMiT. Siasatan punca insiden tersebut mendapati bahawa ketidakpatuhan Maybank adalah disebabkan oleh ketidakupayaannya untuk melaksanakan langkah pemulihan gangguan sistem luar jangka dengan berkesan dan segera, lantas mengakibatkan kesan yang serius terhadap pengalaman antara muka (interface) perkhidmatan perbankan dalam talian untuk pelanggan dan pihak lain yang berkenaan. Langkah-langkah yang diambil oleh Maybank untuk mengukuhkan lagi aplikasi dan daya tahan infrastrukturnya seperti yang ditetapkan oleh BNM juga tidak lengkap pada masa insiden, lantas menjejaskan kesan pemulihan.

Maybank telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menangani jurang ini sebagai sebahagian daripada pelaburan infrastruktur berbilang tahunnya untuk mengelakkan ketidakpatuhan pada masa hadapan.

Faktor-faktor Penyebab dan Pengurangan

Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk:

  1. kegagalan mengambil langkah yang wajar untuk mengurangkan insiden masa terhenti dan mengelakkan ketidakpatuhan;
  2. tahap keseriusan ketidakpatuhan, termasuk impak gangguan perkhidmatan terhadap pelanggan dan pihak lain yang berkenaan; dan
  3. rekod pematuhan dahulu dan sejarah tindakan penguatkuasaan formal yang dikenakan.

BNM menghendaki semua institusi kewangan untuk mengekalkan tahap daya tahan teknologi yang tinggi terhadap gangguan operasi bagi memastikan perkhidmatan kewangan penting terus tersedia. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya terhadap institusi kewangan yang tidak memenuhi kehendak pengawalseliaan.

Maybank membayar sebanyak RM4,320,000 bagi AMP yang dikenakan oleh BNM pada 8 Ogos 2024.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Pendekatan Penguatkuasaan yang diterbitkan. Untuk maklumat lanjut, sila layari Pendekatan Penguatkuasaan.

 


[1] BNM mengenakan AMP berdasarkan subseksyen 234(3)(b)(i) FSA dan subseksyen 245(3)(b)(i) IFSA.

 


Bank Negara Malaysia
14 Ogos 2024

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?