Bank Negara Malaysia mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran terhadap Maybank Islamic Berhad berikutan ketidakpatuhan terhadap Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Dokumen Dasar Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat - Keperluan Mengenai Penghantaran, Penggunaan dan Perlindungan Maklumat Kredit
Pada 3 Mac 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP)[1] sebanyak RM1,200,000 terhadap Maybank Islamic Berhad (MIB) kerana tidak mematuhi perenggan 155(3)(b) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Islamic Financial Services Act 2013, IFSA) berkaitan dengan penghantaran maklumat kepada BNM, dibaca bersama dengan perenggan 21.1 dan 21.2 dalam Dokumen Dasar Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System, CCRIS) – Keperluan Mengenai Penghantaran, Penggunaan dan Perlindungan Maklumat Kredit (CCRIS PD) yang dikeluarkan pada 1 Disember 2023.
Di bawah dokumen CCRIS PD, institusi kewangan dikehendaki untuk menyerahkan maklumat CCRIS yang tepat pada masanya, betul dan lengkap. Pelaporan maklumat CCRIS yang tepat oleh institusi kewangan adalah sanngat penting untuk membolehkan penilaian kredit yang adil dibuat oleh pemberi pinjaman terhadap bakal peminjam. Langkah ini bagi mengurangkan risiko bakal peminjam tidak mendapat pinjaman atau pembiayaan disebabkan oleh rekod kredit yang tidak tepat. MIB telah gagal untuk memastikan maklumat berkaitan dengan kemudahan pembiayaan yang diberikan kepada tiga peminjam telah dihantar mengikut keperluan dokumen CCRIS PD. Tindakan ini seterusnya telah memberikan kesan pada rekod kredit peminjam-peminjam tersebut.
MIB telah mengambil langkah pemulihan untuk mencegah ketidakpatuhan yang sama daripada berulang.
Semasa membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk:
- kesan ketidakpatuhan terhadap laporan/data yang sangat penting;
- tindakan pembetulan dan pemulihan yang diambil oleh MIB; dan
- rekod pematuhan MIB pada masa lalu.
MIB telah membayar sebanyak RM1,200,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM pada 11 Mac 2025.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] BNM mengenakan AMP menurut perenggan kecil 245(3)(b)(i) IFSA.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.