Belanjawan 2027
Bank Negara Malaysia (BNM) mengalu-alukan pengumuman yang dibuat dalam ucapan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim.
Susulan pengumuman tersebut, BNM ingin memberikan maklumat lanjut mengenai inisiatif yang dilaksanakan oleh BNM dan industri kewangan bagi membantu rakyat Malaysia meraih peluang pertumbuhan, menguruskan cabaran kewangan dengan lebih baik serta menyokong daya tahan perniagaan.
Menyokong Daya Tahan PKS
-
Sebanyak RM5 bilion tambahan akan diperuntukkan kepada Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME Stabilisation Relief Facility, SME SRF). Peruntukan tambahan ini dijangka memberikan manfaat kepada kira-kira 9,000 lagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk perusahaan mikro untuk mendapatkan akses kepada modal kerja pada kos yang berpatutan. Kemudahan ini akan membantu PKS menguruskan tekanan aliran tunai sementara, mengekalkan operasi perniagaan dan memperkukuh daya tahan perniagaan dalam menghadapi kesan ekonomi berikutan konflik yang berterusan di Timur Tengah. Setakat 30 September 2026, pembiayaan berjumlah RM3.8 bilion melalui peruntukan awal RM5 bilion telah diluluskan, sekali gus memberikan manfaat kepada lebih 6,800 akaun PKS.
Kemudahan SME SRF ini akan terus disediakan untuk PKS yang terjejas dalam semua sektor ekonomi hingga 30 Jun 2027 atau sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya, mana-mana yang lebih awal. Untuk maklumat lanjut, sila layari bnm.gov.my/funds4sme. -
Pelaksanaan CAKNA akan terus diperkukuh bagi memperluas akses kepada modal kerja untuk kontraktor kecil (G1-G4)[1] yang melaksanakan projek Kerajaan. Langkah ini akan membantu menyokong projek-projek tersebut disiapkan mengikut jadual. Bagi mengurangkan lagi kos pembiayaan, kadar duti setem nominal RM10 bagi perjanjian pembiayaan CAKNA I dan II turut dilanjutkan hingga 31 Disember 2030.
Memperluas Pilihan Pengguna
-
MediAsas akan diperkenalkan kepada orang ramai pada bulan Januari 2027. Premium/sumbangan yang dibayar bagi pelan insurans/takaful perubatan dan kesihatan (medical and health insurance/takaful, MHIT) sukarela ini layak untuk mendapat pelepasan cukai pendapatan. Pelepasan cukai ini boleh dituntut bagi perlindungan untuk diri sendiri dan ahli keluarga terdekat. Di samping itu, RM40 juta akan diperuntukkan bagi penyediaan baucar MediAsas kepada pekerja PKS yang mempunyai kurang daripada 75 pekerja untuk menggalakkan perlindungan yang lebih meluas dalam kalangan tenaga kerja yang mempunyai perlindungan MHIT yang terhad atau tidak mempunyai perlindungan langsung. Sebagai sebahagian daripada strategi RESET, langkah-langkah ini akan membantu meningkatkan persediaan kewangan bagi keperluan penjagaan kesihatan, di samping mengurangkan beban kewangan disebabkan oleh perbelanjaan perubatan.
-
Institusi perbankan akan mula menawarkan kad kredit asas secara berperingkat mulai bulan Oktober 2026. Produk ini direka untuk menyediakan pilihan kad kredit yang lebih mampu milik dengan ciri-ciri yang ringkas kepada pengguna. Kad kredit asas menawarkan struktur ringkas tanpa program ganjaran atau pulangan tunai. Produk ini juga menawarkan kadar faedah atau keuntungan maksimum sebanyak 14% setahun. Pemegang kad sedia ada boleh beralih kepada kad kredit asas dan memindahkan baki tertunggak yang layak, sekali gus menikmati kos pembiayaan yang lebih rendah di samping menggalakkan penggunaan kredit dan pengurusan hutang yang bertanggungjawab.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Belanjawan 2027 mencerminkan pendekatan seimbang yang terus memacu agenda pembaharuan penting dan pada masa yang sama menyokong isi rumah dan perniagaan dalam persekitaran global yang masih tidak menentu. Belanjawan ini memberikan penekanan yang lebih tinggi terhadap usaha memperkukuh daya tahan ekonomi, meningkatkan pendapatan rakyat, menambah baik kemampuan mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta menyokong pelaburan yang produktif, di samping mengekalkan disiplin fiskal. Pada masa hadapan, cabaran utama adalah untuk memastikan produktiviti, inovasi dan pelaburan terus diperkukuh seiring dengan peningkatan pendapatan supaya pertumbuhan ekonomi kekal mampan dan manfaatnya dapat dinikmati secara meluas.”
[1] G1-G4 merujuk gred kontraktor yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Construction Industry Development Board, CIDB).
Lihat juga: Ucapan Belanjawan 2027 oleh YAB Perdana Menteri
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.