BNM kenakan Penalti Monetari Pentadbiran terhadap Alipay Malaysia Sdn. Bhd. (kini dikenali sebagai AIMY Merchant Services Sdn. Bhd.)
Pada 19 Jun 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP)[1] sebanyak RM340,000 terhadap Alipay Malaysia Sdn. Bhd. (Alipay) kerana tidak mematuhi seksyen 48(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA). Seksyen Akta ini dibaca bersama dengan perenggan 27.3.5, 27.3.7, 27.4.2, 27.6.1, dan 27.7.1 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions, AML/CFT and TFS for FIs).[2]
Menurut Dokumen Dasar AML/CFT and TFS for FIs, institusi pelapor (reporting institution, RI) dikehendaki mengemas kini pangkalan data sekatan Senarai Domestik[3] dan Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council Resolutions, UNSCR)[4] sebaik sahaja diterbitkan. RI juga dikehendaki menjalankan saringan sekatan (sanctions screening) ke atas keseluruhan pangkalan data pelanggan mereka untuk mengenal pasti sebarang padanan nama yang positif sebaik sahaja senarai tersebut diterbitkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan tanpa sebarang kelewatan. Sekiranya terdapat padanan dengan pelanggan mereka, RI dikehendaki membekukan dana pelanggan tersebut dan menghantar laporan kepada BNM tanpa sebarang kelewatan.
BNM telah mengenal pasti ketidakpatuhan ini berikutan laporan Alipay mengenai beberapa transaksi yang dilaksanakan oleh pelanggan Alipay yang merupakan entiti yang tersenarai[5] dalam Senarai Domestik. Alipay telah gagal mengemas kini pangkalan data saringan sekatan dalamannya susulan perubahan pada Senarai Domestik yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan. Kegagalan ini memberikan kesan terhadap saringan pelanggan yang seterusnya serta mengakibatkan kelewatan dalam pembekuan akaun pelanggan dan laporan kepada BNM.
Alipay telah membuat semakan pada dasar dan proses dalamannya bagi memastikan kemas kini yang segera terhadap pangkalan data saringan sekatan serta saringan, pembekuan dan laporan selanjutnya terhadap mana-mana entiti yang tersenarai.
Semasa membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk:
- tahap keseriusan ketidakpatuhan yang menyebabkan individu yang dikenakan sekatan berjaya melaksanakan transaksi;
- kekurangan tahap perhatian yang wajar oleh Alipay dalam mematuhi keperluan saringan sekatan;
- ketidakpatuhan ini merupakan yang pertama dalam kategori ini oleh Alipay; dan
- penilaian terhadap amalan Alipay selepas insiden ketidakpatuhan, termasuk tindakan pemulihan yang diambil oleh Alipay bagi menambah baik dasar dan prosedurnya.
Alipay telah membayar RM340,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM pada 3 Julai 2025.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] BNM telah mengenakan AMP menurut perenggan 234(3)(b)(i) FSA.
[2] Dokumen Dasar AML/CFT and TFS for FIs berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (AML/CFT/CPF and TFS for FIs), yang mula berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. Keperluan ini dikekalkan bawah perenggan 27.3.5, 27.3.7, 27.4.4, 27.6.1 dan 27.7.1 dalam Dokumen Dasar AML/CFT/CPF and TFS for FIs.
[3] Senarai Domestik ialah senarai nama dan butiran entiti yang tersenarai (specified entities) yang diisytiharkan oleh Menteri Dalam Negeri bawah perundangan subsidiari yang berkaitan yang dibuat bawah seksyen 66B(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA), susulan penglibatan entiti tersebut dalam aktiviti keganasan.
[4] Senarai UNSCR ialah senarai nama dan butiran individu yang ditentukan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) atau Jawatankuasa Sekatan yang berkaitan menurut UNSCR yang relevan dan dianggap sebagai:
- entiti yang tersenarai menurut seksyen 66C(2) AMLA untuk Sekatan Kewangan Bersasar bagi Pembiayaan Keganasan, dan
- individu yang ditetapkan bawah perundangan subsidiari yang berkaitan dalam Akta Perdagangan Strategik 2010 (Strategic Trade Act, STA) bagi Sekatan Kewangan Bersasar bagi Pembiayaan Keganasan.
[5] Individu atau entiti yang disenaraikan dalam Senarai Domestik dan Senarai UNSCR.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.