BNM kenakan Penalti Monetari Pentadbiran terhadap Bank Islam Malaysia Berhad berikutan ketidakpatuhan pada Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi, dan Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan

30 Jul 2025 Notis Umum

Bank Negara Malaysia telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP) terhadap Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) berikutan ketidakpatuhan pada Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Islamic Financial Services Act 2013, IFSA), Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (Risk Management in Technology, RMiT) dan Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Target Financial Sanctions for Financial Institutions, AML/CFT and TFS for FIs)

AMP yang dikenakan adalah sebanyak RM3,445,000 kerana tidak mematuhi keperluan yang berkaitan dengan gangguan perkhidmatan yang berpanjangan (prolonged service disruption) dan keperluan saringan sekatan (sanctions screening) seperti yang berikut:

A. Ketidakpatuhan berkaitan gangguan perkhidmatan yang berpanjangan

Pada 16 Jun 2025, BNM telah mengenakan AMP[1] sebanyak RM1,745,000 terhadap BIMB kerana tidak mematuhi seksyen 58(1)(a) IFSA, dibaca bersama dengan perenggan 10.32 Dokumen Dasar RMiT yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2023.

Menurut perenggan 10.32 Dokumen Dasar RMiT, institusi kewangan perlu memastikan sistem kritikal yang relevan direka bentuk dengan tahap ketersediaan yang tinggi. Ketersediaan ini bermakna:

a) masa terhenti tidak terancang yang mempengaruhi antara muka pengguna (user interface) secara terkumpul tidak melebihi empat jam dalam tempoh 12 bulan secara berterusan (rolling basis); dan

b) masa terhenti maksimum yang boleh diterima (maximum tolerable downtime) selama 120 minit bagi setiap kejadian.

Antara 1 Jun 2023 hingga 31 Disember 2024, BIMB telah mengalami masa terhenti tidak dirancang sebanyak beberapa kali yang mengakibatkan gangguan berpanjangan terhadap perkhidmatan perbankannya seperti saluran e-perbankan, sistem kad debit dan transaksi pembayaran dalam talian. Tempoh kesemua gangguan tersebut telah melebihi paras ambang yang ditetapkan dalam perenggan 10.32 Dokumen Dasar RMiT. Ketidakpatuhan BIMB berpunca daripada kelemahan dalam pelaksanaan proses tindak balas dan pemulihan untuk memulihkan sistem yang terganggu dengan segera. Kelemahan ini menjejaskan kebolehcapaian perkhidmatan perbankan penting kepada pelanggan dan pihak lain yang berkenaan.

BIMB telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk meningkatkan keupayaan pemulihan dan memperkukuh infrastruktur IT sebagai sebahagian daripada rancangan pelaburan infrastruktur teknologi berbilang tahunnya untuk mencegah ketidakpatuhan pada masa hadapan.

Semasa membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk:

  1. kegagalan BIMB mengambil langkah yang wajar untuk mengurangkan insiden masa terhenti, yang mengakibatkan ketidakpatuhan;
  2. tahap keseriusan ketidakpatuhan, termasuk impak gangguan perkhidmatan terhadap pelanggan dan pihak lain yang berkenaan;
  3. rekod pematuhan BIMB pada masa lalu dan tindakan penguatkuasaan formal yang pernah dikenakan terhadap BIMB; dan
  4. keberkesanan tindakan pemulihan untuk mencegah berulangnya ketidakpatuhan.

BNM menghendaki semua institusi kewangan untuk mengekalkan tahap daya tahan teknologi yang tinggi terhadap gangguan operasi bagi memastikan perkhidmatan kewangan penting terus tersedia.

B. Ketidakpatuhan berkaitan dengan keperluan saringan sekatan

Pada 27 Mei 2025, BNM telah mengenakan AMP sebanyak RM1,700,000 terhadap BIMB berikutan ketidakpatuhan yang berikut:

a) Ketidakpatuhan 1: Seksyen 58(1)(a) IFSA, dibaca bersama dengan perenggan 27.4.2 dan 28.3.2 Dokumen Dasar AML/CFT and TFS for FIs[2]; dan

b) Ketidakpatuhan 2: Seksyen 58(1)(a) IFSA, dibaca bersama dengan perenggan 27.4.1, 27.4.2 dan 27.7.1 Dokumen Dasar AML/CFT and TFS for FIs.

Menurut Dokumen Dasar AML/CFT and TFS for FIs, institusi pelapor (reporting institution, RI) dikehendaki melaksanakan saringan sekatan atas pelanggan sedia ada, bakal pelanggan berpotensi atau pelanggan baharu berdasarkan Senarai Domestik[3] dan Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council Resolutions, UNSCR)[4] sebagai sebahagian daripada proses usaha wajar pelanggan dan proses usaha wajar berterusan. RI perlu menyaring seluruh pangkalan data pelanggan mereka untuk mengenal pasti sebarang padanan nama yang positif sebaik sahaja pihak berkuasa yang berkaitan menerbitkan senarai masing-masing. Seterusnya, RI dikehendaki melaporkan kepada BNM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan segera apabila mendapati mereka memiliki atau mengawal dana atau harta milik mana-mana entiti yang tersenarai[5] (specified entities) dan/atau pihak berkaitan. Proses ini penting untuk melindungi RI dan keseluruhan sistem kewangan daripada disalahgunakan untuk mengumpulkan, memindahkan dan menggunakan dana oleh pengganas, organisasi pengganas dan pembiaya pengganas.

Dua insiden ketidakpatuhan terhadap keperluan saringan sekatan adalah seperti yang berikut:

A. Ketidakpatuhan 1

BNM telah mengenal pasti ketidakpatuhan ini semasa pemeriksaan di lokasi, yang mendedahkan kelemahan dalam proses dan sistem saringan sekatan BIMB. Kelemahan ini menyebabkan kelewatan dalam melaksanakan saringan sekatan terhadap pemilik benefisial (beneficial owners) bukan pelanggan berdasarkan Senarai Domestik dan Senarai UNSCR. Walau bagaimanapun, tidak ada pelanggan BIMB yang terdiri daripada entiti yang tersenarai dan BIMB tidak menjalankan apa-apa transaksi yang melibatkan entiti berkenaan.

B. Ketidakpatuhan 2

BIMB gagal menjalankan saringan sekatan mengikut waktu yang ditetapkan terhadap keseluruhan pangkalan data pelanggan berdasarkan Senarai Domestik sebaik sahaja Warta Persekutuan[6] diterbitkan pada tahun 2022 dan 2023. Hal ini menyebabkan kelewatan dalam mengenal pasti dan mengesahkan padanan nama positif bagi tiga entiti tertentu. Selain itu, BIMB juga lewat mengemukakan laporan kepada BNM selepas mengesahkan ada memiliki atau mengawal dana atau harta milik sebuah entiti yang tersenarai.

BNM mendapati bahawa ketidakpatuhan ini berlaku disebabkan oleh kelemahan dalam proses dan prosedur saringan sekatan BIMB, termasuk pengurusan sekatan yang tidak berkesan, latihan yang tidak mencukupi dan kecuaian kakitangan berhubung dengan obligasi pematuhan. BNM memandang serius ketidakpatuhan ini kerana transaksi telah dibuat oleh entiti yang tersenarai dalam tempoh sebelum pengenalpastian dan pengesahan padanan nama yang positif mengikut Senarai Domestik.

BIMB telah memperkukuh proses saringan sekatannya dengan mempertingkatkan sistem, termasuk sistem perbankan teras, sistem bahagian hadapan (front-end system) dan sistem saringan AML, bagi memastikan saringan sekatan dijalankan dengan segera. BIMB juga telah menambah baik pengurusan saringan sekatannya, termasuk menyemak prosedur operasi standard dan mempertingkatkan latihan untuk kakitangan.

Semasa membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan termasuk:

a) langkah-langkah pengawalseliaan yang tidak mencukupi oleh BIMB dalam mengurangkan risiko terjadinya ketidakpatuhan;

b) rekod pematuhan BIMB pada masa lalu dan tindakan penguatkuasaan formal yang pernah dikenakan terhadap BIMB; dan

c) keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah berulangnya ketidakpatuhan.

BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya terhadap institusi kewangan yang tidak memenuhi kehendak pengawalseliaan.

BIMB telah membayar sebanyak RM1,700,000 pada 29 Mei 2025 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM bagi ketidakpatuhan berkaitan dengan keperluan saringan sekatan dan sebanyak RM1,745,000 pada 30 Jun 2025 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM bagi ketidakpatuhan berkaitan gangguan perkhidmatan yang berpanjangan.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.

 


[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 245(3)(b)(i) IFSA.

[2] Dokumen Dasar AML/CFT and TFS for FIs berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions, AML/CFT/CPF and TFS for FIs), yang berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. Keperluan ini dikekalkan bawah perenggan 27.4.1, 27.4.4, 27.7.1 dan 28.3.4 dalam Dokumen Dasar AML/CFT/CPF and TFS for FIs.

[3] Senarai Domestik ialah senarai nama dan butiran entiti yang tersenarai (specified entities) yang diisytiharkan oleh Kementerian Dalam Negeri di bawah perundangan subsidiari yang berkaitan yang dibuat di bawah seksyen 66B(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA).

[4] Senarai UNSCR ialah senarai nama dan butiran individu yang ditentukan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council, UNSC) atau Jawatankuasa Sekatan yang berkaitan mengikut UNSCR yang relevan dan dianggap sebagai:

  1. entiti yang tersenarai menurut seksyen 66C(2) AMLA untuk Sekatan Kewangan Bersasar bagi Pembiayaan Keganasan; dan
  2. individu yang ditetapkan di bawah perundangan subsidiari Akta Perdagangan Strategik 2010 (Strategic Trade Act 2010, STA) yang berkaitan untuk Sekatan Kewangan Bersasar bagi Pembiayaan Percambahan.

[5] Individu atau entiti yang disenaraikan dalam Senarai Domestik dan Senarai UNSCR.

[6] P.U. (A) 127/2022 berkuat kuasa pada 25 April 2022 dan P.U. (A) 42/2023 berkuat kuasa pada 15 Februari 2023.

[7] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 106A(3)(b)(i) DFIA.

[8] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 106A(3)(b)(i) DFIA.


Bank Negara Malaysia
30 Julai 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?