BNM kenakan Penalti Monetari Pentadbiran terhadap Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad berikutan ketidakpatuhan pada Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 dan Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi

30 Jul 2025 Notis Umum

Bank Negara Malaysia mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP) terhadap Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (BKRM) berikutan ketidakpatuhan pada Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (Development Financial Institution Act 2002, DFIA) dan Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (Risk Management in Technology, RMiT)

Pada 16 Jun 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan AMP[1] sebanyak RM2,850,000 terhadap BKRM kerana tidak mematuhi seksyen 41(4)(a) DFIA, dibaca bersama dengan perenggan 10.32 Dokumen Dasar RMiT, yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2023.

Menurut perenggan 10.32 Dokumen Dasar RMiT, institusi kewangan perlu memastikan sistem kritikal yang relevan direka bentuk dengan tahap ketersediaan yang tinggi. Ketersediaan ini bermakna:

a) masa terhenti tidak terancang yang mempengaruhi antara muka pengguna (user interface) secara terkumpul tidak melebihi empat jam dalam tempoh 12 bulan secara berterusan (rolling basis); dan

b) masa terhenti maksimum yang boleh diterima (maximum tolerable downtime) selama 120 minit bagi setiap kejadian.

Antara 1 Jun 2023 hingga 31 Disember 2024, BKRM telah mengalami masa terhenti tidak dirancang sebanyak beberapa kali yang mengakibatkan gangguan berpanjangan kepada perkhidmatan perbankannya seperti saluran e-perbankan, mesin pengeluaran tunai automatik (automated teller machines, ATM) serta sistem kad debit dan kad kredit. Tempoh kesemua gangguan tersebut telah melebihi paras ambang yang ditetapkan dalam perenggan 10.32 Dokumen Dasar RMiT. Ketidakpatuhan BKRM berpunca daripada kelemahan dalam pelaksanaan proses tindak balas dan pemulihan untuk memulihkan sistem yang terganggu dengan segera. Hal ini telah menjejaskan ketersediaan perkhidmatan perbankan penting kepada pelanggan dan pihak lain yang berkenaan.

BKRM telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk meningkatkan keupayaan pemulihan serta memperkukuh infrastruktur IT sebagai sebahagian daripada rancangan pelaburan infrastruktur teknologi berbilang tahunnya untuk mengelakkan ketidakpatuhan pada masa hadapan.

Semasa membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk:

  1. kegagalan BKRM mengambil langkah yang wajar untuk mengurangkan insiden masa terhenti, yang mengakibatkan ketidakpatuhan;
  2. tahap keseriusan ketidakpatuhan, termasuk impak gangguan perkhidmatan terhadap pelanggan dan pihak lain yang berkenaan;
  3. rekod pematuhan BKRM pada masa lalu; dan
  4. keberkesanan tindakan pemulihan untuk mencegah insiden daripada berulang.

BNM menghendaki semua institusi kewangan untuk mengekalkan tahap daya tahan teknologi yang tinggi terhadap gangguan operasi bagi memastikan perkhidmatan kewangan penting terus tersedia. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya terhadap institusi kewangan yang tidak memenuhi kehendak pengawalseliaan.

BKRM telah membayar sebanyak RM2,850,000 pada 26 Jun 2025 bagi AMP yang dikenakan oleh BNM.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Pendekatan Penguatkuasaan.

 


[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 106A(3)(b)(i) DFIA.


Bank Negara Malaysia
30 Julai 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?