BNM kenakan Penalti Monetari Pentadbiran terhadap Bank Simpanan Nasional berikutan ketidakpatuhan pada Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 dan Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi
Bank Negara Malaysia mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP) terhadap Bank Simpanan Nasional (BSN) berikutan ketidakpatuhan pada Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (Development Financial Institutions Act 2002, DFIA) dan Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (Risk Management in Technology, RMiT)
Pada 16 Jun 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan AMP[1] sebanyak RM995,000 terhadap BSN kerana tidak mematuhi seksyen 41(4)(a) DFIA, dibaca bersama dengan perenggan 10.32 Dokumen Dasar RMiT yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2023.
Menurut perenggan 10.32 Dokumen Dasar RMiT, institusi kewangan perlu memastikan sistem kritikal yang relevan direka bentuk dengan tahap ketersediaan yang tinggi. Ketersediaan ini bermakna:
a) masa terhenti tidak terancang yang mempengaruhi antara muka pengguna (user interface) secara terkumpul tidak melebihi empat jam dalam tempoh 12 bulan secara berterusan (rolling basis); dan
b) terhenti maksimum yang boleh diterima (maximum tolerable downtime) selama 120 minit bagi setiap kejadian.
Antara 1 Jun 2023 hingga 31 Oktober 2024, BSN telah mengalami masa terhenti tidak terancang sebanyak beberapa kali yang mengakibatkan gangguan berpanjangan terhadap perkhidmatan perbankannya seperti saluran e-perbankan, mesin pengeluaran tunai automatik (automated teller machine, ATM) serta sistem kad debit dan kad kredit. Kesemua tempoh gangguan tersebut telah melebihi paras ambang yang ditetapkan dalam perenggan 10.32 Dokumen Dasar RMiT. Ketidakpatuhan BSN berpunca daripada kelemahan dalam pelaksanaan proses tindak balas dan pemulihan untuk memulihkan sistem yang terganggu dengan segera, yang telah menjejaskan ketersediaan perkhidmatan perbankan penting kepada pelanggan dan pihak lain yang berkenaan.
BSN telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk meningkatkan keupayaan pemulihan serta memperkukuhkan infrastruktur IT sebagai sebahagian daripada rancangan pelaburan infrastruktur teknologi berbilang tahunnya untuk mengelakkan ketidakpatuhan pada masa hadapan.
Semasa membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk:
- kegagalan BSN mengambil langkah yang wajar untuk mengurangkan insiden masa terhenti, yang mengakibatkan ketidakpatuhan;
- tahap keseriusan ketidakpatuhan, termasuk impak gangguan perkhidmatan terhadap pelanggan dan pihak lain yang berkenaan;
- rekod pematuhan BSN pada masa lalu; dan
- keberkesanan tindakan pemulihan untuk mencegah insiden daripada berulang.
BNM menghendaki semua institusi kewangan untuk mengekalkan tahap daya tahan teknologi yang tinggi terhadap gangguan operasi bagi memastikan perkhidmatan kewangan penting terus tersedia. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya terhadap institusi kewangan yang tidak memenuhi kehendak pengawalseliaan.
BSN telah membayar sebanyak RM995,000 pada 25 Jun 2025 bagi AMP yang dikenakan oleh BNM.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 106A(3)(b)(i) DFIA.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.