BNM melancarkan SSDS+: Pemacu terbitan bon dan sukuk digital dan token
Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pelancaran SSDS+ iaitu platform generasi baharu untuk terbitan, depositori dan penyimpanan bon dan sukuk token.
Dengan memaparkan sekuriti secara digital, SSDS+ berupaya memudahkan transaksi, menawarkan fleksibiliti yang lebih tinggi dalam reka bentuk instrumen kewangan dan memperluas akses kepada peluang pelaburan.
Dibangunkan secara dalaman menggunakan teknologi awan dan lejar teragih (cloud and distributed ledger technologies), SSDS+ berlandaskan platform sedia ada Scripless Securities Depository System (SSDS) iaitu depositori pusat sekuriti bagi pasaran kewangan borong. Di samping terbitan borong, SSDS+ bersedia menyokong terbitan bon kerajaan dan bon korporat runcit token.
SSDS+ diintegrasikan dengan RENTAS+ bagi membolehkan perkhidmatan pembayaran dan penyelesaian secara selamat yang beroperasi sepanjang masa. SSDS+ menguruskan pemindahan sekuriti token dan rekod pemilikan sekuriti digital, manakala RENTAS+ memudahkan pemindahan dana berkaitan secara selamat untuk pembelian bon menggunakan wang bank pusat.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Pelancaran SSDS+ menandakan suatu pencapaian penting dalam usaha memodenkan infrastruktur pasaran kewangan Malaysia. RENTAS+ dan SSDS+ secara bersama menyediakan asas yang lebih selamat, lebih pantas, lebih fleksibel dan bercirikan digital untuk kes penggunaan baharu bagi sekuriti dan pembayaran. Kedua-dua platform ini akan menyokong inovasi dan menyumbang kepada pasaran kewangan yang lebih cekap dan responsif.”
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.