BNM mengeluarkan duit syiling peringatan sempena Ulang Tahun ke-120 Jabatan Audit Negara dan Ulang Tahun ke-75 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

02 Nov 2026 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pengeluaran dua duit syiling peringatan edisi terhad bagi memperingati pencapaian yang berikut:

  1. Ulang Tahun ke-120 Jabatan Audit Negara (JAN120)

  2. Ulang Tahun ke-75 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP75)

JAN120

Duit syiling peringatan JAN120 yang dijual terdiri daripada:

  • sekeping duit syiling perak sterling pruf dengan ketulenan 92.5% dan berat 31 gram. Duit syiling ini mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM418 setiap satu. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 keping.

  • sekeping duit syiling emas Nordic (Brilliant Uncirculated, B.U.) yang diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain, dengan berat 8.5 gram dan nilai muka RM1. Syiling peringatan ini akan dijual pada harga RM16.50 setiap satu. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 5,000 keping.

  • set 2 dalam 1 yang mengandungi satu keping duit syiling perak sterling pruf dan satu keping duit syiling emas Nordic pruf. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 set dan akan dijual pada harga RM451 setiap set. 

KWSP75

Duit syiling peringatan KWSP75 yang dijual terdiri daripada:

  • sekeping duit syiling perak sterling pruf berwarna dengan ketulenan 92.5% dan berat 31 gram. Duit syiling ini mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM418 setiap satu. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 keping.

  • sekeping duit syiling emas Nordic B.U. yang diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain, dengan berat 8.5 gram dan nilai muka RM1. Duit syiling peringatan ini akan dijual pada harga RM16.50 setiap satu dengan kuantiti tempaan sebanyak 10,000 keping.

  • set 2 dalam 1 yang mengandungi satu keping duit syiling perak sterling pruf berwarna dan satu keping duit syiling emas Nordic pruf. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 set dan akan dijual pada harga RM451 setiap set.

Maklumat teknikal mengenai semua duit syiling peringatan ini diperincikan dalam Lampiran.

Reka Bentuk Duit Syiling

1. JAN120

Bahagian Hadapan

Bahagian Belakang

Bahagian Hadapan

Bahagian Belakang

Perak Sterling

Emas Nordic

Bahagian Hadapan – Reka bentuk bahagian hadapan memaparkan tulisan “1906–2026” dan angka “120 Tahun” di tengah syiling bagi memperingati ulang tahun ke-120 Jabatan Audit Negara (JAN). Reka bentuk tersebut menampilkan sisi muka manusia yang digayakan dan dikelilingi elemen kotak semakan, tanda semak dan unsur grafik lain berkaitan audit. Semua elemen ini melambangkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan, serta peranan JAN dalam memelihara kepercayaan awam melalui aktiviti pengauditan yang bebas. Corak geometri melambangkan proses yang tersusun dan teliti dalam menyokong pengawasan sektor awam yang berkesan. Pendekatan reka bentuk moden ini mencerminkan evolusi berterusan JAN sepanjang 120 tahun perkhidmatannya kepada negara.

Bahagian Belakang – Bahagian belakang menampilkan nilai muka “10 RINGGIT” bagi syiling perak sterling dan “1 RINGGIT” bagi syiling emas Nordic berserta tulisan “BANK NEGARA MALAYSIA” selaku pihak berkuasa pengeluar duit syiling peringatan ini sepanjang pinggir syiling. Reka bentuk berpusat pada garisan yang saling berjalin membentuk reben, melambangkan kesinambungan, integriti dan kemajuan. Lengkungan garisan tersebut mencerminkan hubungan yang saling berkait antara tadbir urus yang mantap, akauntabiliti dan pembangunan negara yang mampan.

2. KWSP75

Bahagian Hadapan

Bahagian Belakang

Bahagian Hadapan

Bahagian Belakang

Perak Sterling Berwarna

Emas Nordic

Bahagian Hadapan – Bahagian hadapan menggambarkan sekumpulan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mewakili kepelbagaian ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Pada bahagian atas dipaparkan logo KWSP yang melambangkan kepercayaan dan keyakinan ahli terhadap peranan KWSP dalam melindungi serta menguruskan simpanan persaraan mereka.

Bahagian Belakang – Bahagian belakang menampilkan logo rasmi ulang tahun ke-75 KWSP pada ruang tengah syiling, dikelilingi corak geometri yang memancar keluar. Aliran corak tersebut melambangkan pertumbuhan simpanan ahli serta peranan KWSP dalam menyokong kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia. Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa pengeluar duit syiling peringatan ini dipaparkan pada bahagian atas syiling. Nilai muka “10 RINGGIT” bagi syiling perak sterling dan “1 RINGGIT” bagi syiling emas Nordic dipaparkan pada bahagian bawah syiling.

Jualan Duit Syiling Peringatan

Duit syiling peringatan ini dijual secara individu. Bagi memberikan peluang yang adil kepada orang ramai, had pembelian dikenakan untuk setiap reka bentuk. Setiap individu boleh membeli satu set 2 dalam 1, satu duit syiling perak sterling pruf, dan maksimum lima duit syiling emas Nordic B.U.

Orang ramai boleh membuat pesanan melalui laman sesawang duit.bnm.gov.my bermula dari 2:00 petang, 2 November 2026 hingga 2:00 petang, 12 November 2026.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan melalui sistem dalam talian BNM dan bukan melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah. Semua tempahan akan dipertimbangkan dan tiada keutamaan akan diberikan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi kuantiti yang ditawarkan, cabutan undi akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya.

Lampiran

Spesifikasi Teknikal Duit Syiling

No.

Kategori

Logam

Aloi

Nilai Muka (RM)

Diameter (mm)

Berat

 (g)

Kuantiti Tempaan (keping/set)

Harga (RM)

JAN120

1

Sekeping

Perak Sterling (pruf)

Ag92.5

10

40.7

31

1,000 keping

418.00

Emas Nordic (B.U.)

Cu89 Zn5

Al5 Sn1

1

30

8.5

5,000 keping

16.50

2

Set

2 dalam 1

Perak Sterling (pruf) dan

Emas Nordic (pruf)

Ag92.5

dan

Cu89 Zn5

Al5 Sn1

10

dan

1

40.7

dan

30

31

dan

8.5

1,000 set

451.00

KWSP75

1

Sekeping

Perak Sterling Berwarna (pruf)

Ag92.5

10

40.7

31

1,000 keping

418.00

Emas Nordic (B.U.)

Cu89 Zn5

Al5 Sn1

1

30

8.5

10,000 keping

16.50

2

Set 2 dalam 1

Perak Sterling Berwarna (pruf) dan

Emas Nordic (pruf)

Ag92.5

dan

Cu89 Zn5

Al5 Sn1

10

dan

1

40.7

dan

30

31

dan

8.5

1,000 set

451.00

Nota: Harga yang dinyatakan termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST) sebanyak 10% dan berdasarkan harga semasa bahan-bahan yang digunakan.


Bank Negara Malaysia
02 November 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?