BNM mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran terhadap Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) berikutan ketidakpatuhan pada Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1200 pada Selasa, 1 Oktober 2024
01 Okt 2024 Notis Umum

Pada 3 September 2024, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP)[1] sebanyak RM660,000 terhadap Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) kerana tidak mematuhi subseksyen 41(4) Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (AIKP) dibaca bersama dengan perenggan 27.4.1, 27.4.2, 28.3.1 dan 28.3.2 dalam Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions, AML/CFT and TFS for FIs).[2]

Di bawah Dokumen Dasar AML/CFT and TFS for FIs, institusi pelapor (reporting institutions, RI) dikehendaki menjalankan saringan sekatan terhadap pelanggan sedia ada, bakal pelanggan atau pelanggan baharu berdasarkan Senarai Domestik[3] dan Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council Resolutions, UNSCR)[4] sebagai sebahagian daripada proses usaha wajar pelanggan dan proses usaha wajar yang berterusan. RI juga dikehendaki menyaring seluruh pangkalan data pelanggan mereka untuk sebarang padanan nama positif sebaik sahaja senarai berkenaan diterbitkan oleh pihak berkuasa berkaitan dengan segera.

BNM mengesan ketidakpatuhan ini semasa pemeriksaan di lokasi, yang mendedahkan kekurangan pada dasar dan prosedur dalaman Agrobank serta pelaksanaannya, yang menyebabkan kegagalan untuk menjalankan saringan sekatan yang tepat pada masanya terhadap pelanggan dan pemilik benefisial. Meskipun tiada entiti yang dikenakan sekatan yang diambil sebagai pelanggan dan tiada transaksi yang dibuat untuk entiti yang dikenakan sekatan, kekurangan yang dikesan ini telah mendedahkan Agrobank kepada risiko besar untuk disalahgunakan bagi pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan (proliferation financing).

Agrobank telah mengambil langkah-langkah pemulihan untuk menyemak semula dasar dalamannya serta menambah baik sistem saringan dalamannya bagi memastikan saringan sekatan dilakukan dengan segera. BNM akan terus memantau dan menyelia pematuhan Agrobank serta keberkesanannya dalam melaksanakan keperluan berkaitan saringan sekatan.

Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk:

  1. kekurangan dalam dasar dan prosedur serta sistem dalaman Agrobank untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan pada setiap masa;
  2. kawalan semasa Agrobank yang memerlukan penambahbaikan untuk memenuhi piawaian industri; dan
  3. rekod pematuhan Agrobank pada masa lalu.

Agrobank telah membayar RM660,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM pada 13 September 2024.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Pendekatan Penguatkuasaan yang diterbitkan.

 


[1] BNM mengenakan AMP berdasarkan subperenggan 106A(3)(b)(i) AIKP.

[2] Dokumen Dasar AML/CFT and TFS for FIs berkuat kuasa antara 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions, AML/CFT and TFS for FIs), yang berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. Kesemua keperluan ini dikekalkan di bawah perenggan 27.4.1, 27.4.4, 28.3.1 dan 28.3.4 dalam AML/CFT/CPF and TFS for FIs.

[3] Senarai Domestik ialah senarai nama dan butiran entiti tertentu yang diisytiharkan oleh Menteri Dalam Negeri di bawah perundangan subsidiari berkaitan yang dibuat di bawah seksyen 66B(1) AMLA, berikutan penglibatan entiti dalam tindakan keganasan.

[4] Senarai UNSCR ialah senarai nama dan butiran individu seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council, UNSC) atau Jawatankuasa Sekatan yang berkaitan, berdasarkan UNSCR yang berkaitan dan dianggap sebagai entiti khusus berdasarkan seksyen 66C(2) AMLA.

 


Bank Negara Malaysia
01 Oktober 2024

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?