Draf Dedahan Mengenai Tadbir Urus Produk dan Pengurusan Risiko

20 Nov 2026 Notis Umum

Draf Dedahan ini menggariskan kehendak Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap institusi kewangan untuk mewujudkan tadbir urus produk yang mantap dan pengurusan risiko yang kukuh dalam penawaran produk. Hal ini termasuk akauntabiliti yang jelas oleh lembaga pengarah dan pengurusan kanan serta proses yang berkesan untuk mengenal pasti, menilai dan menguruskan risiko sepanjang kitaran hayat produk. 

Seiring dengan perkembangan inovasi teknologi, perubahan keadaan ekonomi dan keperluan pelanggan yang terus membentuk landskap kewangan, institusi kewangan perlu berupaya untuk memanfaatkan peluang baharu dengan sewajarnya dan pada masa yang tepat, di samping memastikan risiko diuruskan dengan berkesan dan pelanggan dilayan secara adil sepanjang kitaran hayat produk.

Bagi menyokong usaha ini, BNM mencadangkan pendekatan yang lebih progresif dan berfokuskan hasil bagi pengenalan produk baharu. Pendekatan yang dicadangkan ini memberikan tanggungjawab yang lebih besar kepada institusi kewangan untuk mengenal pasti, menilai dan menguruskan risiko berkaitan produk serta bertanggungjawab terhadap risiko tersebut, dan pada masa yang sama menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab dan pertumbuhan yang mampan.

Melalui pendekatan yang dicadangkan, institusi kewangan kekal bertanggungjawab untuk memastikan:

  • produk dinilai dengan sewajarnya sebelum ditawarkan;

  • risiko dikenal pasti, difahami dan diuruskan dengan sewajarnya;

  • kawalan yang berkesan dilaksanakan;

  • tanggungjawab dan akauntabiliti kakitangan yang berkaitan dengan produk ditetapkan dengan jelas; dan

  • pelanggan dilayan secara adil.

Walau bagaimanapun, produk dan aktiviti tertentu masih tertakluk pada keperluan untuk mendapatkan pandangan atau kelulusan BNM sebagaimana yang diperuntukkan di bawah keperluan sedia ada.

BNM akan terus memantau pengawalan dan penyeliaan terhadap risiko berkaitan produk serta mengekalkan kuasa untuk mengambil tindakan sekiranya perlu. Hal ini termasuk mengambil tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan pentadbiran seperti:

  • mengenakan penelitian pengawalseliaan yang lebih ketat terhadap institusi kewangan atau produk tertentu termasuk menghendaki semakan atau kelulusan terlebih dahulu;

  • mengarahkan tindakan pembetulan termasuk membuat perubahan terhadap atau menarik balik sesuatu produk;

  • mengarahkan langkah pemulihan dilaksanakan dengan segera termasuk pemberian restitusi kepada pengguna yang terjejas; dan

  • menerbitkan butiran tindakan pembetulan yang diambil terhadap institusi kewangan.

BNM mengalu-alukan maklum balas secara bertulis mengenai keperluan pengawalseliaan yang dicadangkan termasuk maklum balas terhadap soalan-soalan khusus yang dikemukakan dalam Draf Dedahan ini. Maklum balas hendaklah bersifat membina dan disokong oleh alasan yang jelas serta bukti, contoh atau ilustrasi yang relevan bagi membantu BNM dalam membuat penilaian (jika berkenaan). Maklum balas perlu dikemukakan secara elektronik kepada BNM selewat-lewatnya pada 28 Februari 2027 melalui pautan ini.

Tarikh Penerbitan
20 November 2026

Jabatan yang Menerbitkan Dokumen
Jabatan Dasar Kewangan Pruden

Dokumen
Draf Dedahan Mengenai Tadbir Urus Produk dan Pengurusan Risiko


Bank Negara Malaysia
20 November 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?