Hasil Mesyuarat Keenam Forum Badan Berautoriti Syariah Berpusat

30 Okt 2025 Notis Umum

Bank Negara Malaysia (BNM) menjadi tuan rumah Mesyuarat Ke-6 Forum Badan Berautoriti Syariah Berpusat[1] (Centralised Shariah Authorities Forum, CSAF) pada 15 Oktober 2025 di Kuala Lumpur. Mesyuarat ini terus menjadi platform utama bagi badan-badan berautoriti Syariah berpusat untuk bertukar-tukar pandangan dan memperkukuh kerjasama antara negara dalam usaha memajukan kewangan Islam.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Dato’ Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim, Pengerusi Majlis Penasihat Shariah BNM, dan telah menghimpunkan lebih 50 delegasi daripada 10 buah negara peserta[2] serta badan penetapan piawaian Islam antarabangsa.[3]

  1. Badan berautoriti daripada negara peserta telah berkongsi pengalaman masing-masing dalam usaha memajukan kewangan Islam, termasuk peralihan daripada perbankan konvensional, penjajaran kewangan Islam dengan matlamat pembangunan negara dan penggunaan instrumen kewangan sosial untuk menyokong komuniti. Pendekatan yang pelbagai ini, yang dibentuk berdasarkan latar tempatan, telah memperkaya pemahaman bersama dan kemajuan landskap kewangan Islam global.
  1. Berhubung dengan bidang takaful, mesyuarat mengambil maklum tentang perkembangan pengawalseliaan yang berkaitan dengan penggunaan konsep ta`awun (bantuan bersama) yang lebih meluas dalam takaful. Sehubungan dengan itu, mesyuarat mengambil maklum bahawa BNM merancang untuk menerbitkan dokumen dasar mengenai penggunaan ta’awun yang lebih meluas bagi takaful menjelang akhir tahun 2025. Dokumen dasar ini akan menggariskan keperluan Syariah dan pengawalseliaan yang bertujuan untuk merungkai potensi penuh takaful dalam usaha menggalakkan daya tahan kewangan dan rangkuman kewangan, selaras dengan objektif Syariah (maqasid Syariah).
  1. Mesyuarat turut membincangkan pembaharuan undang-undang baru-baru ini yang mengiktiraf dana takaful sebagai entiti undang-undang yang berasingan. Sehubungan dengan itu, mesyuarat mengambil maklum bahawa Central Bank of the United Arab Emirates merancang untuk memperkukuh rangka kerja tadbir urus dana takaful bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan pematuhan Syariah. Mekanisme utama yang diketengahkan untuk mengukuhkan lagi pengawasan termasuk peranan lembaga pemegang amanah dan penetapan piagam dana yang dirangka untuk memelihara kepentingan peserta dan penerima manfaat.
  1. Berkaitan dengan instrumen baharu seperti mata wang digital bank pusat (central bank digital currencies, CBDC), mesyuarat ini turut membincangkan asas-asas wang moden dan implikasi Syariah yang dikaji berdasarkan kertas kajian asas terbitan BNM. Kertas kajian tersebut mengetengahkan sifat kredit wang moden yang terangkum dalam hubungan struktur antara penggiat kewangan (financial actors). Pandangan ini sejajar dengan perspektif semasa sebahagian besar pihak berkuasa monetari global dan berfungsi sebagai alternatif kepada pandangan arus perdana mengenai wang. Dengan pemahaman yang dikemas kini ini, implikasi Syariah dikaji untuk menjadi panduan ke arah rangka kerja yang lebih jelas bagi perbincangan mengenai inovasi wang digital.
  1. Mesyuarat secara rasminya menerima Terma Rujukan (Terms of Reference, ToR) bagi platform CSAF, lantas menandakan langkah penting dalam memperkukuh struktur tadbir urus, memperjelas peranan dan tanggungjawab serta memantapkan penyelarasan dalam kalangan anggota badan berautoriti untuk mencapai objektif strategik bersama.

 


[1] Sebelum ini dikenali sebagai Badan Berautoriti Penasihat Syariah Berpusat (Centralised Shariah Advisory Authorities, CSAA).

[2] Libya, Malaysia, Maldives, Maghribi, Nigeria, Oman, Pakistan, Filipina, Emiriah Arab Bersatu dan Uzbekistan (sebagai pemerhati).

[3] Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) dan Islamic Financial Services Board (IFSB) sebagai pemerhati.


Bank Negara Malaysia
30 Oktober 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?