Hasil Mesyuarat Meja Bulat Ketiga dalam kalangan Badan Berautoriti Penasihat Syariah Berpusat bagi Kewangan Islam
Bank Negara Malaysia (BNM) telah menjadi tuan rumah bagi mesyuarat meja bulat ketiga dalam kalangan Badan Berautoriti Penasihat Syariah Berpusat (Centralised Shariah Advisory Authorities, CSAA) bagi Kewangan Islam[1] pada 21 Disember 2021. Mesyuarat ini diadakan secara maya dan disertai lebih 50 delegasi daripada 16 negara[2] dan tiga badan penetapan piawaian antarabangsa[3].
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Shariah BNM, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar. Mesyuarat ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan dan memupuk rasa saling hormat-menghormati antara lembaga Syariah di peringkat bank pusat dan negara.
Perkara-perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah seperti yang berikut:
- Memandangkan CSAA memainkan peranan penting dalam membawa kewangan Islam kepada masyarakat dengan lebih meluas, adalah penting untuk CSAA mempunyai gambaran yang lebih mendalam mengenai pembangunan kewangan Islam di negara masing-masing. Hal ini merangkumi isu-isu di peringkat industri yang tidak dapat diselesaikan oleh institusi-institusi kewangan Islam (IKI) secara individu mahupun lembaga Syariah masing-masing. Antaranya ialah dengan menyediakan panduan Syariah bagi krisis yang belum pernah berlaku, merangka parameter Syariah berhubung dengan pembetulan transaksi dan pendapatan yang tidak patuh Syariah serta menggalakkan tingkah laku beretika yang terbaik dalam kalangan ahli lembaga Syariah dan pengurusan IKI, di samping memelihara kesucian Syariah dalam operasi IKI.
- CSAA perlu berusaha untuk lebih memantapkan penyelarasan dengan pihak pengawal selia dan kerajaan dalam memacu inisiatif jangka panjang yang kukuh (future-proof initiatives) bagi industri kewangan Islam. Adalah penting untuk CSAA menangani pelbagai cabaran termasuk cabaran yang timbul daripada rangka kerja pengawalseliaan yang tidak selaras dengan prinsip Syariah. Sebagai contoh, bagi menangani impak perubahan iklim, CSAA boleh bekerjasama dengan Kerajaan dan pihak pengawal selia relevan yang lain untuk menerbitkan rangka kerja bagi projek hijau pada peringkat kebangsaan yang selaras dengan prinsip-prinsip Syariah. CSAA juga boleh memberikan panduan kepada pihak pengawal selia untuk memantapkan undang-undang dan dasar pengawalseliaan supaya sesuai dengan pembangunan industri kewangan Islam masing-masing.
- Berhubung dengan tadbir urus Syariah, mesyuarat mengiktiraf kepentingan rangka kerja yang kukuh bagi memastikan lembaga Syariah yang berkualiti dari segi tingkah laku, pelaksanaan tugas yang diamanahkan dan sikap dalam usaha memenuhi mandat yang diberikan. Mesyuarat turut mengiktiraf peranan utama Sekretariat Syariah yang cekap dalam menyokong fungsi lembaga penasihat Syariah yang berkesan pada peringkat negara dan IKI.
- Mesyuarat bersetuju untuk memberikan lebih tumpuan pada perbincangan mengenai isu-isu strategik yang utama, maqasid Syariah dan komitmen yang berorientasikan tindakan (action-oriented commitments) dalam menyokong kewangan yang lestari pada mesyuarat-mesyuarat akan datang.
[1] CSAA diwujudkan bagi membincangkan hal ehwal Syariah dalam kewangan Islam. Setiap negara menerapkan model dan pendekatan yang berbeza dalam menubuhkan badan berautoriti penasihat Syariah, sepadan dengan saiz dan tahap kompleksiti industri kewangan Islam serta budaya masing-masing. Peranan badan berautoriti penasihat Syariah adalah penting bagi memelihara kesucian Syariah dan keyakinan masyarakat terhadap urus niaga kewangan Islam, lantas mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk industri berinovasi dan berkembang.
[2] Afghanistan, Algeria, Bahrain, Bangladesh, Brunei, Djibouti, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Kuwait, Libya, Maghribi, Malaysia, Maldives, Nigeria, Pakistan, dan Turki.
[3] Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), General Council for Islamic Banks and Financial Institutions (CIBAFI) dan Islamic Financial Services Board (IFSB).
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.