HSBC Bank Malaysia Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad dikenakan Penalti Monetari Pentadbiran kerana tidak mematuhi Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 serta keperluan berkaitan Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan Senjata Pemusnah Besar-Besaran dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan
Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP) berjumlah RM3,264,000 terhadap HSBC Bank Malaysia Berhad (HBMY) kerana tidak mematuhi keperluan yang berkaitan dengan usaha wajar pelanggan (customer due diligence, CDD) dan keperluan saringan sekatan (sanctions screening), serta terhadap HSBC Amanah Malaysia Berhad (HBMS) kerana tidak mematuhi keperluan saringan sekatan:
A. Ketidakpatuhan berkaitan dengan keperluan usaha wajar pelanggan
Pada 13 Mac 2025, BNM telah mengenakan AMP[1] sebanyak RM324,000 terhadap HBMY kerana tidak mematuhi perenggan 48(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA), dibaca bersama dengan perenggan 14A.1(h), 14A.3(c) and 14A.9.6 dalam Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan 2019 (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT and TFS for FIs 2019 PD)[2].
Di bawah dokumen AML/CFT and TFS for FIs 2019 PD, institusi-institusi pelapor (reporting institutions, RI) dikehendaki untuk mengenal pasti dan mengambil langkah yang munasabah untuk mengesahkan identiti orang sebenar yang merupakan pemilik benefisial (beneficial owners, BO) pelanggan mereka. Keperluan ini membolehkan RI menilai dedahan mereka terhadap risiko pengubahan wang haram/pembiayaan keganasan dan mengambil langkah kawalan yang sewajarnya. Selain itu, langkah-langkah ini bertujuan untuk mencegah individu daripada menyalahgunakan entiti syarikat mereka untuk menyembunyikan aset tidak sah dengan mengekalkan penampilan yang sah dalam sistem kewangan.
BNM telah mengenal pasti ketidakpatuhan tersebut semasa menjalankan pemeriksaan di premis HBMY. Pemeriksaan tersebut mendedahkan kurangnya kefahaman mengenai keperluan pemilik benefisiari seperti yang digariskan dalam Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan 2019. Sebagai tindakan susulan, HBMY telah melaksanakan langkah pemulihan, termasuk memperkukuh proses pemantauan pematuhan dan menyediakan program latihan ulang kaji untuk meningkatkan kefahaman kakitangan mengenai keperluan pemilik benefisiari.
Semasa membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk:
- kekurangan langkah yang munasabah diambil untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan pengenalpastian pemilik benefisiari;
- rekod pematuhan pada masa lalu dan tindakan formal yang telah dikenakan sebelum ini; dan
- tindakan pemulihan yang telah dilaksanakan untuk mengurangkan jurang tersebut.
Maklumat lanjut mengenai keperluan usaha wajar pelanggan untuk RI boleh didapati di laman sesawang mikro AML/CFT.
B. Ketidakpatuhan berkaitan dengan keperluan saringan sekatan
Pada 13 Mac 2025, BNM telah mengenakan AMP[3] sebanyak RM2,940,000 terhadap HBMY and HBMS (dirujuk secara kolektif sebagai HSBC), kerana tidak mematuhi perenggan 58(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Islamic Financial Services Act, IFSA), dibaca bersama dengan perenggan 27.4.1 dan 28.3.1 dalam dokumen AML/CFT and TFS for FIs 2019 PD dan perenggan 27.4.1 dan 28.3.1 dalam Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan Senjata Pemusnah Besar-Besaran dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan 2024 (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs 2024 PD).
Di bawah dokumen AML/CFT and TFS for FIs 2019 PD dan dokumen AML/CFT/CPF and TFS for FIs 2024 PD, RI dikehendaki untuk melaksanakan saringan sekatan terhadap pelanggan baharu berdasarkan Senarai Domestik[4] dan Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council Resolutions, UNSCR)[5]. Langkah ini penting untuk melindungi RI dan keseluruhan sistem kewangan daripada disalahgunakan untuk tujuan pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan senjata pemusnah besar-besaran.
HSBC telah mengenal pasti ketidakpatuhan tersebut semasa melakukan semakan kendiri pada tahun 2023. Dapatan menunjukkan bahawa pelanggan baharu tidak melalui saringan sekatan yang sewajarnya disebabkan oleh kesilapan kakitangan dan fungsi maker-checker yang tidak berkesan, serta keupayaan sistem yang tidak mencukupi. Langkah pemulihan yang dilaksanakan oleh HSBC didapati tidak memadai, mengakibatkan berulangnya pelanggaran yang sama pada tahun 2024 iaitu kegagalan menjalankan saringan sekatan terhadap pelanggan baharu. Walau bagaimanapun, tidak ada pelanggan HSBC yang terdiri daripada entiti yang tersenarai[6] dan HSBC tidak menjalankan apa-apa transaksi yang melibatkan entiti berkenaan.
HSBC telah meningkatkan keupayaan sistemnya untuk menghalang pembukaan akaun sehingga semua proses saringan sekatan selesai dilaksanakan.
Semasa membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk:
- kekurangan langkah yang munasabah untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan saringan sekatan;
- langkah kawalan yang tidak mencukupi, termasuk keupayaan sistem yang tidak memadai, fungsi dwikawalan yang tidak berkesan dan kesilapan kakitangan; dan
- rekod pematuhan pada masa lalu dan tindakan formal yang telah dikenakan sebelum ini.
HSBC telah membayar sejumlah RM3,264,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM pada 24 Mac 2025.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] BNM mengenakan AMP menurut subperenggan 234(3)(b)(i) FSA.
[2] Dokumen AML/CFT and TFS for FIs PD berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh dokumen AML/CFT/CPF and TFS for FIs 2024 PD, yang berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. Keperluan ini dikuatkuasakan di bawah perenggan 14A.1(h), 14A.3(c) and 14A.9.6 dalam dokumen AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD.
[3] BNM mengenakan AMP menurut subperenggan 234(3)(b)(i) FSA dan subperenggan 245(3)(b)(i) IFSA.
[4] Senarai Domestik ialah senarai nama dan butiran entiti ditentukan yang diisytiharkan oleh Kementerian Dalam Negeri di bawah perundangan subsidiari yang berkaitan yang dibuat di bawah seksyen 66B(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA).
[5] Senarai UNSCR ialah senarai nama dan butiran individu yang ditentukan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council, UNSC) atau Jawatankuasa Sekatan yang berkaitan mengikut UNSCR yang relevan dan dianggap sebagai:
- entiti ditentukan menurut seksyen 66C(2) AMLA untuk TFS-TF; dan
- orang yang ditetapkan dibawah peraturan turunan Akta Perdagangan Strategik 2010 (Strategic Trade Act 2010, STA) yang berkaitan untuk TFS-PF.
[6] Individu atau entiti yang disenaraikan dalam Senarai Domestik dan Senarai UNSCR.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.