Kenyataan Maklum Balas: Kecerdasan Buatan (AI) dalam Sektor Kewangan Malaysia

19 Nov 2026 Notis Umum

Bank Negara Malaysia (BNM) telah menerbitkan Pernyataan Maklum Balas Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) dalam Sektor Kewangan Malaysia, susulan penerbitan Kertas Perbincangan Mengenai AI dalam Sektor Kewangan Malaysia pada 5 Ogos 2025 serta sesi libat urus menyeluruh dengan pihak berkepentingan industri.

Pernyataan Maklum Balas ini disediakan berdasarkan maklum balas daripada 113 responden, termasuk institusi kewangan, penyedia perkhidmatan pembayaran, penanggung insurans dan pengendali takaful, penyedia teknologi serta peserta lain dalam ekosistem tersebut.

Dapatan menunjukkan bahawa penggunaan AI semakin mendapat momentum dalam sektor kewangan, terutamanya dalam bidang seperti kecekapan operasi, perkhidmatan pelanggan, pengurusan penipuan dan penilaian risiko. Pihak berkepentingan secara umumnya menyokong pendekatan yang bertanggungjawab dan seimbang dalam penggunaan AI, sambil menekankan kepentingan tadbir urus, akauntabiliti, pengurusan data, pembangunan tenaga mahir dan kerjasama industri yang berterusan.

Pernyataan Maklum Balas ini menggariskan:

  • Maklum balas mengenai pertimbangan peluang, risiko dan tadbir urus yang berkaitan dengan AI;

  • Pendekatan BNM dalam menyokong penggunaan serta inovasi AI yang bertanggungjawab;

  • Bidang kerjasama industri bagi memperkukuh keupayaan dan berkongsi amalan terbaik; dan

  • Pertimbangan yang disyorkan untuk institusi kewangan apabila penggunaan AI terus berkembang.

Seiring dengan kemajuan keupayaan AI, BNM akan terus bekerjasama rapat dengan peserta industri untuk menyokong inovasi yang dapat meningkatkan hasil dan manfaat kepada pengguna, memperkukuh kepercayaan, meningkatkan daya tahan serta memajukan pembangunan sektor kewangan.

Selaras dengan usaha ini, BNM mengalu-alukan inisiatif yang diterajui industri untuk menterjemahkan risiko dan amalan yang sedang berkembang kepada panduan praktikal. Inisiatif ini termasuk AI Model Risk Management Framework yang akan diterbitkan oleh Asian Institute of Chartered Bankers (AICB). Rangka kerja ini diterajui Chief Risk Officers’ Forum (CROs Forum) AICB dan disokong oleh Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (The Association of Banks in Malaysia, ABM) serta akan membantu institusi memperkukuh pendekatan dalam menguruskan risiko model AI.

Dapatkan maklumat lanjut mengenai agenda inovasi BNM dan inisiatif berkaitan melalui bnm.gov.my/innovation. 

Jabatan yang Menerbitkan Dokumen

Jabatan Pembangunan Sektor Kewangan dan Inovasi

Dokumen

Pernyataan Maklum Balas AI dalam Sektor Kewangan Malaysia

 

 


Bank Negara Malaysia
19 November 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?