Kompaun Dikenakan terhadap Boardroom Corporate Services Sdn. Bhd.
Pada 17 November 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan kompaun[1] sebanyak RM46,000 terhadap Boardroom Corporate Services Sdn. Bhd. (Boardroom) berikutan kegagalan untuk mengemukakan laporan transaksi yang mencurigakan (suspicious transaction report, STR)[2] pada kadar segera dan kegagalan untuk menjalankan usaha wajar pelanggan yang dipertingkatkan (enhanced customer due diligence, EDD).[3]
Sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), Boardroom dikehendaki untuk mengemukakan STR kepada BNM[4] pada kadar segera apabila mana-mana pelanggan menepati kriteria dalaman (“tanda amaran” atau “red flags”) yang telah ditetapkan oleh RI.[5] Keperluan ini adalah untuk mengurangkan risiko RI daripada digunakan sebagai saluran untuk pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (money laundering and terrorism financing, ML/TF), serta aktiviti jenayah serius yang lain. Selain itu, STR yang dikemukakan dapat memberikan maklumat dan/atau risikan yang bernilai mengenai kemungkinan aktiviti jenayah kepada BNM dan agensi penguatkuasaan undang-undang lain bagi menyokong siasatan jenayah kewangan.
RI juga dikehendaki untuk menjalankan EDD terhadap pelanggan[6] apabila risiko ML/TF dinilai lebih tinggi atau apabila perkhidmatan penama (nominee services)[7] disediakan. EDD membolehkan RI menilai dedahan mereka kepada risiko ML/TF dengan lebih berkesan serta melaksanakan langkah pengurangan risiko yang bersesuaian.
Semasa pemeriksaan di premis, BNM mendapati bahawa Boardroom telah gagal mengemukakan STR dengan kadar segera berhubung satu pelanggan yang menepati kriteria dalaman (“red flags”) yang ditetapkan oleh Boardroom. Boardroom juga gagal menjalankan EDD terhadap satu pelanggan berisiko tinggi dan dua pelanggan yang menerima perkhidmatan penama. Kegagalan ini berlaku disebabkan kurangnya tahap kesedaran Boardroom mengenai tanggungjawabnya sebagai sebuah RI.
Boardroom telah mengambil langkah-langkah pemulihan untuk memperkukuh kawalan dan proses AML/CFT. Ini termasuk semakan menyeluruh terhadap profil dan transaksi pelanggan berisiko tinggi bagi memastikan pelaporan STR yang lebih berkesan, serta penambahbaikan terhadap prosedur pendokumenan dan penyimpanan rekod bagi proses EDD.
Dalam membuat keputusan untuk mengenakan kompaun, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor berikut:
- kelemahan keseluruhan Boardroom dalam langkah kawalan AML/CFT ketika tempoh berkenaan;
- rekod pematuhan Boardroom pada masa lalu; dan
- tingkah laku Boardroom selepas ketidakpatuhan dikesan serta keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil oleh Boardroom untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.
Pada 16 Disember 2025, Boardroom telah membayar RM46,000 untuk kompaun yang dikenakan oleh BNM.
BNM menghendaki semua RI untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan AML/CFT. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sesuai sekiranya terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap Boardroom adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan yang telah diterbitkan.
[1] BNM mengenakan kompaun menurut seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA), dengan keizinan bertulis daripada Pendakwa Raya.
[2] Ini diperuntukkan di bawah seksyen 86(b) AMLA, dibaca bersama dengan seksyen 83 Akta yang sama bagi ketidakpatuhan perenggan 19.3.2 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Perniagaan dan Profesion Bukan Kewangan yang Ditentukan (DNFBP) dan Institusi Kewangan Bukan Bank (NBFI) (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Designated Non-Financial Businesses and Professions (DNFBPs) and Non-Bank Financial Institutions (NBFIs) Policy Document, AML/CFT and TFS for DNFBPs and NBFIs PD).
[3] Ini diperuntukkan di bawah seksyen 86(b) AMLA, dibaca bersama dengan seksyen 16(5) Akta yang sama bagi ketidakpatuhan perenggan 14.11.1 dan 14C.2.1 AML/CFT and TFS for DNFBPs and NBFIs PD.
Nota: AML/CFT and TFS for DNFBPs and NBFIs PD berkuatkuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan Senjata Pemusnah Besar-Besaran dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Perniagaan dan Profesion Bukan Kewangan yang Ditentukan (DNFBP) dan Institusi Kewangan Bukan Bank (NBFI) (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Designated Non-Financial Businesses and Professions (DNFBPs) and Non-Bank Financial Institutions (NBFIs) Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for DNFBPs and NBFIs PD), yang berkuatkuasa pada 6 Februari 2024. Keperluan ini dikekalkan di bawah perenggan 19.3.2, 14.11.1 dan 14C.2.1 AML/CFT/CPF and TFS for DNFBPs and NBFIs PD.
[4] BNM ialah pihak berkuasa berwibawa sebagaimana yang dilantik di bawah seksyen 7(1) AMLA.
[5] Di bawah perenggan 19.3.2 AML/CFT and TFS for DNFBPs and NBFIs PD, RI hendaklah mempertimbangkan untuk mengemukakan STR apabila terdapat apa-apa transaksi atau cubaan transaksi oleh pelanggannya yang menepati keterangan kriteria dalaman (“red flags”) RI.
[6] Di bawah perenggan 14.11.1 dan 14C.2.1 AML/CFT and TFS for DNFBPs and NBFIs PD, RI hendaklah menjalankan EDD apabila risiko ML/TF dinilai sebagai risiko yang lebih tinggi dan apabila perkhidmatan penama disediakan.
Nota: Keperluan berkaitan perkhidmatan penama terpakai khususnya kepada sektor-sektor DNFBP tertentu.
[7] Merujuk kepada penama pegangan saham, penama lembaga pengarah atau penama perkhidmatan perkongsian bersama, jika berkenaan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.